Followers

Tentang Saf

Thursday, October 21, 2010

Ramai di antara kita yang mengambil sikap mudah dalam solat berjemaah. Mereka merasakan bahawa sudah cukup sekiranya mereka menunaikan solat berjemaah di masjid sedangkan kedudukan saf bersimpang siur bak cacing kepanasan.

Jika ada yang menarik tangan atau baju supaya berada dalam keadaan rapat, mereka membatu sahaja, bahkan ’mengeraskan’ diri, tidak berganjak dari tempatnya.

Sesetengahnya pula apabila ternampak ruang kosong pada saf di hadapan, mereka melangkah selangkah, berhenti beberapa ketika ( adakalanya sampai seminit), kemudian melangkah selangkah lagi, berhenti beberapa ketika, kemudian selangkah lagi barulah sampai ke ruang kosong. Alasan mereka, tidak boleh bergerak 3 kali berturut-turut kerana ia membatalkan solat. Sedangkan yang sebenarnya pergerakan yang tidak dibenarkan ialah perbuatan yang tiada kaitan dengan solat.

Meluruskan saf bukan hanya para jemaah lelaki sahaja, bahkan jemaah muslimat juga perlu mengambil perhatian. Terkadang jemaah muslimat mengambil sikap lewa dalam masalah ini. Kita di Malaysia, sudah menjadi satu budaya, muslimat pasti (atau kebiasaanya) akan bawa sejadah sendiri jika bersolat di masjid.

Tentunya jika masing-masing solat menggunakan sejadah sendiri, akan ada ruang antara mereka. Tidak rapat. Bahkan lebih teruk jika diminta untuk merapatkan saf, ada yang menjawab:

”solatlah kat sejadah sendiri!!”

Ya Allah, mereka amat susah untuk ’meninggalkan’ sejadah mereka.

Di sini, saya bawakan beberapa hadith Nabi saw dalam permasalahan saf


1-عن أنس رضي الله عنه قال: أقيمت الصلاة فأقبل علينا رسول الله e بوجهه فقال: (أقيموا صفوفكم وتراصوا ، فإني أراكم من وراء ظهري) وفي رواية قال أنس :( وكان أحدنا يلزق منكبه بمنكب صاحبه ، وقدمه بقدمه ) أخرجه البخاري (ح / 719-725) .

Maksudnya : Daripada Anas bin Malik ra, katanya: Solat telah diiqamah, lantas Nabi berpaling ke arah kami seraya bersabda : Luruskan saf kamu dan rapatkan, sesungguhnya aku boleh melihat dari belakangku. Dalam riwayat lain Anas berkata, lalu setiap dari kami sentuhkan bahu ke bahu, kaki dengan kaki.



2- عن النعمان بن بشير رضي الله عنه قال : ( كان رسول الله e يسوي صفوفنا ، حتى كأنما يسوي بها الِقداح ، حتى رأى أنا قد عقلنا عنه ،ثم خرج يوماً فقام حتى كاد يكبر ، فرأى رجلاً بادياً صدره من الصف ، فقال: عِباد الله ، لتسوّن صفوفكم أو ليخالفن الله بين وجوهكم ). أخرجه مسلم (ح / 436) ، والبخاري في مختصراً (ح / 717) .

Maksudnya: Dari Nukman bin Basyir ra katanya : Adalah Rasulullah saw meluruskan saf-saf kami sehingga seolah-olah baginda membetulkan dengan anak panah, sehingga apabila baginda melihat kami sudah faham tentangnya (meluruskan saf). Kemudian pada suatu hari baginda keluar (untuk solat) dan hampir bertakbir, baginda ternampak seorang lelaki yang terkedepan dari saf, baginda lantas bersabda: Wahai hamba Allah, betulkan saf kamu jika tidak Allah akan menukar rupa kamu



3- عن النعمان بن بشير قال : ( كان رسول الله e يسوي صفوفنا إذا قمنا للصلاة ، فإذا استوينا كبر ) صحيح أبي داود (ح / 665) .

Maksudnya: Dari Nukman bin Basyir ra katanya: Rasulullah akan meluruskan saf-saf kami ketika kami ingin solat, apabila kami telah lurus, baginda bertakbir



4 ـ عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما : أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : "أقيموا الصفوف وحاذوا بين المناكب ، وسدوا الخلل ، ولينوا بأيدي إخوانكم ، ولا تذروا فرجات للشيطان ، ومن وصل صفاً وصله الله ومن قطع صفاً قطعه الله " . صحيح أبي داود (ح / 666)

Maksudnya : Dari Abdullah bin Umar ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Betulkan saf-saf dan samakan antara bahu, tutupi ruang kosong, capailah tangan saudaramu (untuk membetulkan saf), jangan biarkan ada ruang untuk syaitan, sesiapa yang menyambung saf pasti Allah akan sambungkan (rahmat) kepadanya, sesiapa yang memutuskan saf pasti Allah akan memutuskan (rahmat)-Nya



5 ـ عن أنس بن مالك رضي الله عنه عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال :" رصوا صفوفكم ، وقاربوا بينها ، وحاذوا بين الأعناق ، فوالذي نفسي بيده إني لأرى الشيطان يدخل من خلل الصف كأنها الحذف " . صحيح أبي داود (ح / 667).

Maksudnya: Dari Anas bin Malik ra, Rasulullah saw bersabda: Rapatkan saf kamu, dekat-dekatkan, selaraskan antara leher. Demi jiwaku di tangan-Nya,sesungguhnya aku melihat syaitan memasuki ruang saf seumpama kambing hitam kecil.



6 ـ عن أنس بن مالك رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال :" أتموا الصف المقدم ، ثم الذي يليه ، فما كان من نقص فليكن في الصف المؤخر " صحيح أبي داود (ح / 671).

Maksudnya: Dari Anas bin Malik ra, bahawa Rasulullah saw bersabda: sempurnakan saf yang di depan kemudian yang selepasnya, apa yang kurang (saf sudah penuh) maka beradalah di saf yang belakang (mulakan saf baru)

1. Meluruskan saf seperti mana yang diperintahkan oleh baginda, adalah melalui :

i. Selari antara tumit dan bahu sehingga berada dalam satu garis tanpa ada yang terkedepan atau terkebelakang

ii. Berada dalam kedudukan rapat antara satu sama lain dan tidak membiarkan ada ruang antara orang bersebelahan supaya tidak memberi ruang untuk syaitan mengganggu dan berada di ruang kosong

iii. Memenuhkan saf pertama, jangan dimulakan saf baru sehinggalah saf sudah penuh

iv. Jarak antara saf- saf haruslah hampir dan tidak jauh, cukup sekadar 3 hasta atau ruang untuk sujud


2. Sepatutnya kita ‘ringan’ ketika ada jemaah yang bersebelahan menarik tangan kita bagi membetul atau merapatkan saf

3. Para imam perlu mengambil berat perihal saf, jangan terlalu cepat untuk bertakbir sebelum memerhati keadaan saf terutamanya ketika solat jumaat. Berikan sedikit masa untuk makmum memenuhkan saf.

4. Memenuhkan dan meluruskan saf bukan hanya pada solat fardhu sahaja, bahkan pada semua jenis solat jemaah yang lain seperti terawih, gerhana dan sebagainya

0 comments: