Followers

Masih Belum Puas?

Thursday, December 31, 2009

Seusai saya menghabiskan kelas tutorial untuk satu kelas, saya menerima panggilan telefon.

Gayanya, nombor telefon ini tidak tercatat dalam memori handphone.

Assalamualaikum
wa'alaikumusalam
Duk mano tu?
Ado duk nak ngaja smetar
oh, maah la, nak tanya ni
Guano
Eh dengar kata ustaz Pu kena ban, tokleh ngaja
Ha? bakpo pulok?
Sebab ustaz Pu ni ISMA
Maghi mano pulok cito ni?Gini la, ana gi tempat enta, kito kecek molek


Saya bergegas ke rumah sahabat yang menelefon. Jarak perjalanan lebih kurang 2 jam atau 110km.

Sepanjang perjalanan, saya hanya bermonolog sendirian.


Kenapa isu ISMA dibangkitkan tatkala saya bersedia untuk menjadi tenaga pengajar tutorial bagi akhawat?

Adakah hanya kerana saya juga menjadi tenaga pengajar tutorial bagi pelajar-pelajar di bawah Amanah Raya yang beberapa pelajar mereka menjadi ahli ISMA?

Jika hanya berdasarkan itu, saya rasa tidak boleh menjadi ukurannya kerana Ustaz Nazrul Nasir ( Fellow MANHAL ) juga merupakan salah seorang tenaga pengajar mereka bagi subjek Tafsir.


Lebih kurang jam 9 malam , saya sampai di rumah sahabat yang menelefon.

Seusai menikmati juadah yang dihidang, saya mula menyuarakan perkara yang menjadi tujuan utama saya merentasi perjalanan seusai kelas tadi

Katanya

Begini, tadi adik W** dihubungi akhawat senegerinya, dia tanya kenal atau tidak ustaz Saiful.
Kemudian dia tanya boleh atau tidak dia mahu ikuti kelas tutorial di bawah ustaz Saiful
Adik W** tanya kenapa pulak tidak boleh.
Akhawat tu jawab, sebab Exco cakap Ustaz Saiful tu ahli ISMA



AstaghfiruLLAH. Saya yang agak kepenatan badan, terus terasa sampai ke minda

Saya tidak kenal siapa ahli ISMA, saya juga tidak kenal pemimpin ISMA .
Saya akui saya tidak pernah mencerca ISMA secara terbuka juga tidak pernah menyuarakan menerima ISMA.
Pendek kata saya tidak pernah membicarakan pasal ISMA
Lantas saya meminta nombor telefon ketua Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) untuk minta bantuannya untuk mengesahkan samada betul atau tidak kenyataan fitnah ini. Moga akan terungkai segala fitnah ini dalam masa terdekat.

Lebih kurang selepas maghrib, saya menerima panggilan telefon dari ketua DPM hubungi saya dan menyatakan bahawa tiada seorang pun yang di kalangan pimpinan DPM sana yang keluarkan kenyataan sebegitu.

AlhamduliLLAH, saya menarik nafas lega. Saya sudah mengagak bahawa ia bukannya datang dari pimpinan atasan bahkan ada yang cuba untuk melagakan saya dengan pimpinan.


Saya tidak punyai apa-apa kepentingan untuk dilagakan. Saya tidak punyai jawatan, tidak punyai taraf yang boleh menganggu gugat sesiapa. Jadi untuk apa direka pelbagai fitnah?

Sedari saya mula menjejakkan kaki ke bumi Mesir, telah mula timbul suara-suara sumbang yang menyanyi di belakang tabir.

Para 'penyanyi itu' mula mendendangkan 'lagu fitnah', bermula dari fitnah dengan akhawat, diteruskan pula dengan desas desus ingin menyebarkan fahaman Wahabi dan berhasrat untuk membuka kelas ke arah itu. Tidak kurang juga ada di kalangan pimpinan yang turut terpengaruh dengan fitnah itu.

Legasi fitnah terus dicanang apabila mengaitkan saya dengan ISMA, juga dilibatkan nama pimpinan.


UNTUK APA INI SEMUA??

Bukankah Islam itu bersaudara?
Di mana sifat seorang pelajar muslim?
Apa untung yang kamu dapat dari fitnah itu?

Saya masih ingat lagi, tatkala saya mula menjejaki kaki ke bumi Mesir, saya bermimpi bertemu Aisyah ra ( semoga itu adalah Aisyah ra).

Dalam mimpi itu, saya sedang mengajar Sunan Abi Daud, dan beliau berada di saf belakang bersama dengan beberapa orang wanita. Setelah selesai kuliah, saya didatangi beliau bersama 2 wanita yang lainnya. Tika saya terpegun dengan kehebatannya, satu suara kedengaran

" Jangan ada di hati kamu apa-apa perasaan kerana dia itu Aisyah Ummul Mukminin"

Saya terus tunduk , lantas beliau ( Aisyah ra dalam mimpi itu) mengarahkan beberapa orang lelaki untuk tolong mengangkat kitab -kitab saya.


Sedar dari mimpi, saya berisitghfar. seolah-olah dapat rasakan sesuatu akan berlaku pada diri saya

Bukan saya hendak nyatakan bahawa saya memandai dalam tafsiran mimpi. Tidak pernah, cuma saya terfikir, Aisyah ra menerima ujian fitnah yang agak berat hinggakan demam berpanjangan, yang kemudiannya dibersihkan dari tohmahan dengan penurunan wahyu dari tujuh petala langit.

Moga akan ada sinar bagi saya, juga agar secubit tabah dihadirkan dalam diri

Bersawang Sudah

Saturday, December 26, 2009

Nampak gayanya, blog ini sudah mula ada sesawang :p . Merayu-rayu nampaknya, meminta untuk diisikan coretan.

Teringat satu sabda Nabi SAW :

" Setiap sesuatu itu akan ada zaman kemuncaknya, dan setiap yang ada zaman kemuncak, pasti akan ada zaman lesunya "

Seakan sabda ini kena pada batang hidung sendiri. Saat otak ligat, hati bersemangat, perasaan penuh menyuntik kudrat, banyak yang ingin dicatat. Tapi bila jiwa berserabut, semangat turut mengecut.

Apa pun kurniaan Ilahi, dalam masa seminggu ini telah dapat saya habiskan bberapa kelas tutorial. Antaranya kelas Qadhaya Muasirah ( Persoalan Semasa) Tahun 2 Syariah Kaherah, Mabahist Fi Ilmi Takhrij ( Perbahasan Ilmu Takhrij Hadis ) Tahun 4 Usuluddin Banat Kaherah.



AlhamduliLLAH, Tarikh Adab Arabiy Fi Asr Umawi ( Sejarah Keusasteraan Arab Zaman Umawiyah ) Tahun 2 Bahasa Arab Banat Kaherah dan Qawaidh Fiqhiyyah (Kaedah-kaedah Feqah ) Tahun 4 Syariah Banat Kaherah turut dapat dihabiskan muzakarah

Tinggal beberapa kitab sahaja lagi yang perlu dihabiskan minggu ini, sebelum saya ke Iskandariah bagi mengendalikan kelas tutorial Kuliyyah Bahasa Arab Tahun 1. ( Setelah berulang kali saya menolak, tapi memandangkan mereka memang ketiadaan tenaga untuk mengendalikannya, saya rasa perlu membantu- maaf agak terlewat)



Untuk Ikhwah, insya Allah, kita akan teruskan juga kelas sehingga selesai ..;)


Sekarang ini, musim sejuk kat mesir. Maka musim faraulah kembali,





Sejajar dengan musim sejuk juga, baby di Mesir akan mula 'berbungkus'. Busainah pun sama


Anak Luar Nikah : Terbelakah?

Wednesday, December 16, 2009

AlhamduliLLAh sekarang ini agak mempunyai kelapangan masa untuk mencoretkan sesuatu
Beberapa hari lepas, ada pelbagai persoalan yang saya kira agak menarik untuk dikongsikan bersama sahabat pengunjung blog

Kelahiran anak luar nikah ( atau dalam istilah lebih kasar " anak zina"), semakin hari semakin terpampang di dada akhbar. Dari timur hinggalah ke Barat, utara ke Selatan, mana-mana negara berdepan dengan masalah ini.

Pelbagai pihak tampil memberi pandangan tentang penyelesaian yang terbaik untuk mengatasi kemelut ini. Saya percaya, sahabat semua sependapat dengan saya bahawa, hanya dengan pemantapan rohani dan penguatkuasaan undang-undang Islam sahaja yang mampu membawa kita keluar dari kepompong ini.


Penguatkuasaan Undang-undang Islam bukan sahaja bermaksud, melaksanakan hukum hudud bahkan lebih luas dari itu. Pengawalan bahan bacaan, undang-undang media,akta seni hiburan, akta jalur lebar dan sebagainya yang mempunyai kaitan rapat dengan punca kemelut.

Juga apa yang perlu dititik beratkan ialah pindaan Undang-undang Keluarga Islam yang diamalkan oleh Mahkamah Syariah. Saya mungkin bukan orang yang berautoriti untuk membicarakan soal Undang-undang Mahkamah Syariah, namun saya masih berhak untuk menyuarakan pandangan sesuai dengan bidang keagamaan.


Kita tengok beberapa kajian kes

Kes 1

Seorang wanita yang terlanjur dengan suami orang, yang kemudian lelaki tadi tidak mahu bertanggungjawab dengan membiarkan wanita tersebut. Atas keinsafan dan ingin bertaubat, wanita ingin menjaga 'baby' tapi dalam masa yang sama bimbang baby apabila besar kelak akan tertekan bila mengetahui dia adalah anak luar nikah. Sementelah 'tradisi' masyarakat yang memandang hina terhadap anak luar nikah


Kes 2

Wanita yang mengandung anak luar nikah, ingin menasabkan ( mem'bin'kan) anaknya kepada 'bapa anak' tetapi tidak dapat mengesahkannya dengan mengemukakan bukti dan dokumen perkahwinan atau sebagainya. Masalah muncul sekali lagi apabila anak luar nikah ingin dikahwini, tiada wali


Dari 2 kes tersebut kita dapati bahawa, dalam kerangka masyarakat Malaysia, kejadian ini saban hari menghantui dan memberi impak yang kurang elok.

Ada beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan dalam menghadapi permasalahan ini.


1. Pindaan akta dan undang-undang keluarga

Apa yang menjadi amalan sebelum ini ialah, anak luar nikah (zina) tidak boleh di'bin'kan kepada penzina. Berdasarkan kepada pandangan Jumhur dan ia digunapakai sejak berzaman

Namun setelah perbahasan dibuka semula dalam permasalah ini, telah wujud resolusi yang membenarkan anak luar nikah (zina) di'bin' kepada penzina ( saya tidak mahu membahaskan persoalan dalil dan komentar-komentar di sini, ada baiknya para sahabat merujuk kepada beberapa artikel di sini)

Mungkin ada yang ingin bertanya : " Apa faedah jika pindaan dibuat?"

Saya ingin nyatakan, banyak faedah dan kesan dari pindaan undang-undang ini :

a. Anak akan di'bin' kepada 'bapa', dengan itu dia mempunyai bapa

b. Wanita boleh membuat tuntutan 'nafkah' dari 'bapa baby' melalui mahkamah, kerana lelaki
yang membuat hubungan dengan wanita tadi dianggap
'bapa'

c. Sekiranya 'bapa' enggan/ingkar arahan mahkamah, tindakan lain boleh dikenakan terhadap lelaki tersebut, seperti memaksa bayar melalui pengeluaran surat kepada pihak bank (jika ) lelaki mempunyai akaun di mana-mana bank atau aset/akaun dibekukan sehinggalah membayar nafkah.


2. Pindaan Undang-undang Sivil

Hasil daripada pindaan yang dibuat pada Undang-undang Keluarga Islam atau Mahkamah, ia akan mengheret sama pindaan dalam undang-undang sivil.

Maksud saya, jika pindaan membenarkan anak luar nikah didaftar dengan ber'bin'kan atas nama 'penzina' (sebagai bapa), ia akan memudahkan lagi proses-proses yang memerlukan pengisian nama dan dokumen-dokumen berkaitan dengannya.

Begitu juga, tuntutan-tuntutan hak akan boleh difailkan di mahkamah sivil, kerana mahkamah sudah mempunyai autoriti untuk membicarakan kes.

Walaupun begitu, ada beberapa hak yang tidak boleh dituntut oleh anak luar nikah seperti harta warisan, namun sekurang-kurangnya ada sedkit pembelaan terhadap anak luar nikah


3. Adanya masyarakat yang tampil untuk menjadikan anak luar nikah sebagai anak angkat mereka

Cara ini agaknya menurut mereka boleh mengurangkan 'tekanan' yang dijangka berlaku pada anak tersebut. Sekurang-kurangnya, membawa keluar mereka dari suasana dan orang-orang sekeliling yang maklum peristiwa/kisah yang berlaku.

Dalam beberapa ketika, dapat 'menutup' kisah malangnya


Bukanlah bermakna pandangan saya ini akan lebih membuka ruang kepada yang diluar sana untuk membuat hubungan haram secara suka sama suka sebagaimana amalan di Barat, tetapi lebih kepada pandangan alternatif untuk apa yang berlaku. Ia umpama pengharusan amalan demokrasi pilihanraya, yang mana bukanlah dengan penerimaan demokrasi pilihanraya ini bermakna akan menafikan sistem khilafah Islam, tapi ia hanya berbentuk "temporary"

Ia lebih kepada memberi pembelaan kepada anak luar nikah yang tidak berdosa.

Di samping itu juga, ia untuk menghindari daripada anak luar nikah dibuang merata, kerana dianggap sebagai beban.

Juga bagi memberi harapan dan semangat kepada yang terlanjur untuk menginsafi 'lorong gelap' yang dilalui sebelum ini.

Kita sedia maklum bahawa ramai juga yang inginkan jalan pulang, buktinya ramai anak-anak muda yang berteduh di Pusat-pusat Perlindungan umpamanya di Darus Sakinah, Raudhah dan sebagainya yang memberi sinar harapan kepada mereka.

Masyarakat juga sepatutnya tidak membuka aib seseorang selama mana orang tersebut tidak mengulangi perbuatan buruk atau tidak berbangga dengan dosa yang dilakukan.

Pihak media juga janganlah memberi saham menyebar rata aib orang, bahkan menyandarkan " hak kebebasan media" demi mengharuskan tindakan mereka atau berhujah mengatakan " ia adalah berita sensasi dan ingin memberi keinsafan/teguran membina".


Ustazah, Tak Ada Hagah ke?

Monday, December 14, 2009

Kelas tutorial makin rancak. Kalau tengok jadual yang ditampal di pintu masuk musolla ( Dewan Tok Kenali ) Rumah Kelantan Baru, memang penuh. Setiap hari, setiap masa, ada je tempat yang digunakan untuk kelas tutorial..sama ada di ruang Dewan Ikhwah, Dewan Akhwat mahu pun Maktabah Darul Ulum



Alhamdulillah.Kalau la semangat menuntut ilmu sebegini berterusan tidak kira di ambang peperiksaan atau tidak, alangkah eloknya. Tapi mungkin suasana sebegini tidak akan wujud seusai peperiksaan melabuhkan tirai. Itulah situasi di sini, ada musim yang perlu diberi laluan. Laluan untuk program lain ( tak boleh ulas panjang nanti kena serang heee )



Emm tentang tutorial. Terkadang ada yang saya kira agak lawak.


Rata-rata para tenaga kelas tutorial ini adalah ustaz. Walau sebenarnya ada juga para ustazah yang lebih mantap ilmunya dari ustaz, tapi entahlah, mungkin kerana kurang keyakinan atau hanya pandai sendirian. Saya kira, mungkin atas sebab lain atau paling tidak mereka punyai masa yang terbatas mungkin.


Iya la, jadi ustaz-ustaz yang handle kelas tutorial

Kebanyakn ustaz-ustaz Kelantan, jarang nak handle kelas pelajar luar Kelantan. Sebabnya….. kurang mahir nak berkomunikasi ( mengajar) menggunakan bahasa rasmi ( ala bahasa surat gitu laa). Kekok sangat hiii



Aha…satu ketika saya bersembang dengan rakan-rakan tenaga pengajar

"Syeikh enta ngaja kelas ape?" Tanya seorang rakan

"Ana kelas bla bla bla"

"Kelantan?"

" tak, luar"

"emmm nampaknya tak ade hagah la…hahaha." guraunya


Saya tersengih.



Memang agaknya satu kebiasaan jika ustaz-ustaz Kelantan ni, jarang nak mengajar akhawat luar Kelantan. Tapi saya tidak mahu mengatakan puncanya kerana tiada hagah. Ye kan??



Satu kes berlaku pada seorang ustaz Kelantan, selepas mengajar, seluruh badannya terketar-ketar. Bila ditanya kenapa, jawabnya



" Ana belum makan apa-apa pun lagi,,terus datang untuk kelas, ingatkan pihak akhawat ada sediakan sedikit kuih muih. .."



Simpati pada ustaz tersebut, seorang teman yang menghuni Rumah Kelantan Baru mengajaknya untuk menjamah hidangan yang baru dimasak. Alhamdulillah, nampaknya ustaz tadi sudah hilang 'kebuluran'nya.



Saya tidak menyalahkan pihak akhawat yang kurang prihatin terhadap tenaga pengajar. Pihak ikhwah juga rasanya tidak pernah atau mungkin juga jarang menyediakan juadah untuk tenaga pengajar, tapi tidak pula timbul 'isu' tidakprihatin pada tenaga pengajar. Barangkali, kerana yang hadir dalam kelas itu akhawat, lantas mereka sinonim dengan 'pembuat kuih' yang jika tidak disediakan 'hagah' ,pastinya jari akan dituding kepada mereka.



Apa pun, baik di pihak ikhwah mahu pun akhawat, saya sarankan agar mereka prihatin kepada tenaga pengajar. Memang mereka berkhidmat ikhlas, namun setidak-tidaknya, secubit tanggungjawab anda terhadap mereka, akan dikenang .



Janganlah tenaga-tenaga pengajar hanya 'dicari' tika musim peperiksaan sahaja!!!

Bittaufiq Wannajah (wannikah)


p/s: Ada tak sesiapa yang nak tolong buatkan nasi impit?:p


Maaf Atas Kelemahan Diri

Thursday, December 10, 2009

Blog ini sepi buat beberapa waktu. Seperti biasa, saya menyandarkan alasan 'SIBUK' ( familiar ). Almaklumlah sekarang ini kelas tutorial buat adik-adik junior sedang rancak berjalan.

Kemaafan dipohon dari adik-adik Kuliyyah Bahasa Tahun 1 & 2 di Iskandariah, kerana tidak memenuhi undangan mereka. Maaf, bukan sibuk sangat pun, cuma 'rasa malas' menghantui seketika tatkala pihak entun menghubungi

Juga maaf dipinta dari adik-adik Kuliyah Dirasat ( Syariah ) Mansurah kerana tidak dapat turun padang bersama entun. Mungkin kita bertemu pada semester ( fasal ) depan Insha Allah

Begitu juga buat adik-adik Syariah Banat Kaherah Tahun 4 kerana agak lewat memulakan kelas

Tidak lupa buat adik-adik Kuliyah Bahasa Arab Tahun 2 Banat Kaherah di atas penangguhan kelas beberapa kali

Ikhwah Syariah Tahun 4 Kaherah, saya pohon kemaafan juga di atas penangguhan kelas untuk ke sekian kalinya

Pada semester kali ini saya hanya menumpukan kelas untuk adik-adik di Kaherah sahaja. Atas beberapa faktor yang tidak mampu saya atasi. Kesihatan juga tidak mengizinkan untuk saya berada di luar Kaherah ( bahkan luar Hayyu Sabie' sekalipun)

AlhamduliLLAH, minggu ini saya dapat susun jadual dengan baik. Beberapa kelas juga telah habis sukatan untuk subjek mereka, antaranya Kuliyah Usuludin Tahun 3 Hadith Banat Kaherah



MALAM

PETANG

PAGI

HARI


Lughah 2

Syariah 2

AHAD

Syariah 4 (Banin )


Lughah 2

ISNIN


Syariah 4 (Banat)


SELASA


Syariah 4 (Banat)

Syariah 2

RABU



Syariah 2

KHAMIS


Syariah 4 (Banat)


SABTU




Saya meminta maaf kepada Kuliyah lain sebab terpaksa menolak permintaan mereka
Memang dari asasnya jadual tidaklah terlalu padat, tapi atas beberapa sebab diluar kemampuan diri untuk menanganinya.




BABRI DALAM INGATAN

Monday, December 7, 2009


Hari ini 6 Disember merupakan hari ulang tahun peristiwa pencerobohan Masjid Babri

Di bawah adalah kronologi peristiwa

Kronologi Ayodhya


1528 : Sebuah masjid telah dibina di atas tapak Ayodhya. Walaubagaimanapun sesetengah penganut agama Hindu percaya bahawa ia adalah tapak tempat kelahiran tokoh agamawan mereka, Lord Rama.

1853
: Keganasan beragama pertama dicatatkan di Ayodhya. Enam tahun kemudian, pegawai British telah memagari kawasan dalam masjid untuk kegunaan orang-orang Islam, manakala petak luar dibenarkan untuk kegunaan orang-orang Hindu.

1949 : Pergaduhan berterusan menggesa Kerajaan India menutup tapak tersebut dan mengisytiharkannya sebagai kawasan pertikaian.


1984 : Orang-orang Hindu membentuk pergerakan untuk “membebaskan” apa yang mereka katakan sebagai tempat kelahiran Lord Rama, diketuai oleh persatuan Vishwa Hindu Parishad (VHP).

1986 : VHP meletakkan batu asas di atas tapak berkenaan sebagai cadangan untuk pembinaan kuil baru.

1986 – 89
: Timbul konflik tentang masa depan tempat tersebut. Orang-orang Islam menubuhkan Babri Most Action Committee (Majlis Tindakan Masjid Babri). Perundingan di peringkat atasan gagal menyelesaikan isu tersebut.


1992 : Masjid telah dirobohkan oleh penyokong-penyokong VHP, iaitu persatuan Shiv Sena dan persatuan BJP, di mana ianya sangat berpengaruh di kawasan Uttar Pradesh setahun lebih awal. Lebih dari 2,000 orang terbunuh dalam pergolakan agama di seluruh Negara.

1994
: Seluruh kawasan tersebut telah diambil alih oleh kerajaan India.

2001
: Ketegangan terus meningkat terutama pada hari ulang tahun memperingati kemusnahan masjid Babri. VHP sekali lagi berjanji untuk membina kuil Hindu di atas tapak tersebut.


Feb 2002 : VHP memutuskan tarikh 15 Mac untuk memulakan pembinaan. Beratus-ratus sukarelawan berkumpul di tapak tersebut. Orang-orang Islam menyerang, membunuh 55 orang aktivis Hindu sekembalinya mereka daripada Ayodhya. Sebagai balasan, orang-orang Hindu telah mengganas di Ahmedabad, membunuh orang-orang Islam juga memusnahkan rumah-rumah dan perniagaan-perniagaan mereka. Lebih dari 2,000 orang meninggal, dan tentera-tentera telah dihantar untuk mengawal pergolakan tersebut.


April 2002 : Akhbar UK melaporkan bahawa rusuhan itu sebahagiannya diatur untuk pengahapusan etnik oleh Negara tersebut.


kredit to akh Pendamba Syahadah

Lancang Sungguh Mulut

Tuesday, December 1, 2009

AlhamduliLLAH..Eid Adha untuk tahun ini telah berakhir. Jemaah haji juga telahpun selesai melakukan ibadah haji mereka pada semalam. Mungkin mereka akan menjalani ibadah umrah, iktikaf atau menziarahi tempat-tempat bersejarah sekitar Mekah atau mungkin juga melawat Taif dan Jeddah.


Imbauan kenangan di Tanah Haram pada tahun lepas (2008) amat indah buat diri ini.

Tahun ini ( setelah istikharah ), saya menangguhkan hasrat ( walaupun berat ) untuk ke sana dan AlhamduliLLAh, rupanya penangguhan itu adalah rahmat untuk saya . Terima Kasih Ya Allah



Bulan Disember ini, saya lalui dalam suasana yang agak suram.

Ada sahabat bertanya :



" Ana tengok enta ceria semacam je malam ni, kenapa? Ada berita gembira dari 'sana'?. Alahai, kenapa nak berahsia plak ni?



Saya hanya tersenyum . AlhamduliLLAH riak muka saya tidak menggambarkan kesuraman hati. Ya, bungkam di hati tidak membanjirkan airmata ke pipi.



Satu SMS diterima ;


" Ana nak jemput enta ke majlis walimah ana minggu depan. Datang ye. Solat Hajat untuk ana"



'Sahabat' saya akan bersanding di bulan ini. Tapi bukan itu ( yang amat ) mendukakan saya . Saya akan sentiasa doakan untuknya


Beberapa hari lepas, barulah saya dapat menghubungi keluarga saya di kampung. Mama menangis. Saya tidak mampu tertahan airmata ini jika dalam kondisi sebegini.

Jika seorang ibu menangis, pasti ada sesuatu yang tidak tertahan olehnya.Tidak mampu terungkai dengan kata-kata.


Saya gagahkan diri untuk menenangkan mama, juga mencungkil apa yang berlaku di sebalik tangisan mama. Dulu pada 2007 mama pernah menangis bila saya memeluknya sepulang saya dari Selangor setelah sebulan menjadi imam terawih. Kini sekali lagi mama menangis


" Ada M***t bagitau apa-apa?" mama bersuara


" tidak"


" Dia syak dia kena sihir, lepas tu dia dibawa kawannya untuk berubat. Bomoh tu cakap, mama yang sihir"


AstaghfiruLLAH.!!! Sungguh lancang mulut si bomoh!!!!!


Dengan tiada rasa apa-apa, seorang ibu dituduh sanggup menyihir anaknya sendiri

Atas alasan apa?? Saya kenal ibu saya. Saya fahami adik saya. Memang adik saya kurang ilmu agama, tapi sewenangnya dia ditipu bomoh. Dahsyat!!!!




عائشة ‏ ‏رضي الله عنها ‏ ‏قالت ‏
سأل رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏ناس ‏ ‏عن الكهان فقال ليس بشيء فقالوا يا رسول الله إنهم يحدثونا أحيانا بشيء فيكون حقا فقال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏تلك الكلمة من الحق يخطفها من الجني فيقرها في أذن وليه فيخلطون معها مائة كذبة



Daripada Aisyah ra katanya : Beberapa orang bertanya RasuluLLAH SAW tentang bomoh lalu Baginda menjawab : Dia tidak (memberi) apa-apa (kesan ) Mereka berkata: Wahai RasuluLLAH, kadang-kadang mereka menceritakan sesuatu yang benar-benar berlaku. RasuluLLAH saw menjawab : Kata-kata itu (memang) antara kebenaran yang mana jin mencurinya (curi dengar dari langit) lalu dibisikkan ke telinga sekutunya ( bomoh) lalu mereka campurkan dengan seratus pembohongan

( Riwayat Bukhari)




Lantas saya hubungi adik saya, dan saya jelaskan pandangan Islam tentang amalan menemui dukun, bomoh dan sebagainya





عن أنس ابن مالك رضى الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من أتى كاهنا فصدقه بما يقول ؛ فقد برىء مما أنزل على محمد صلي الله عليه وسلم ، ومن أتاه غير مصدق له ؛ لم يقبل له صلاة أربعين ليلة



Maksudnya : Sesiapa yang datang bertemu bomoh (dukun ) lalu mengiyakan apa yang dikatakan olehnya, maka dia telah terkeluar (terlepas) dari (ajaran) yang diturunkan kepada Muhammad SAW, sesiapa yang datang bertemunya (bomoh atau dukun) tanpa mengiyakan kata-katanya, tidak akan diterima solatnya selama 40 malam

( Riwayat AtTabrani)






Syaitan memang sengaja ingin mewujudkan permusuhan sesama manusia, pemecah belah. Menjadikan suami isteri bercerai berai. Syaitan tidak mahu melihat manusia bersatu

"Dan sesungguhnya syaitan hanyalah bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian di kalangan kamu dan menghalangi kamu dari jalan Allah dan solat, maka tidakkah kamu mahu berhenti?"

(surah Al maidah ayat 91 )



Saya mengharapkan agar Allah memberi hidayat kepada bomoh tersebut

:: IndahNya Beraya Bersama :::

Tuesday, November 24, 2009

Tiap kali tibanya hari Raya, tidak kira di mana, pasti imbauan beraya bersama keluarga menjadi kenangan yang paling bermakna

Jika orang dewasa , mereka gembira kerana dapat beraya bersama keluarga
Jika remaja, mereka gembira kerana dapat bersua dengan rakan sebaya
Jika kanak-kanak mereka juga gembira kerana ada 'ang pau raya'

Hari Raya adalah peluang untuk kita bergembira
Hari Raya adalah peluang untuk kita berkumpul ceria
Hari Raya adalah peluang untuk kita bersua muka
Hari Raya adalah peluang untuk 'kita' kumpul 'harta' :d

Pendeknya, Hari Raya membuahkan senyum riang, gelak tawa

Tidak kurang juga, Hari Raya, ada yang duka, ada yang hiba

Duka kerana tidak bersama orang tersayang
Hiba kerana tidak berkemampuan seperti orang lain


Apa pun yang pasti, Hari Raya tetap akan disambut kerana ia anugerah yang Esa

Hari Raya juga akan bermakna jika ada hidangan istimewa..




Saya ditanya berkenaan hukum solat jumaat sekiranya Hari Raya jatuh pada hari Jumaat. Lebih mudah, di sini saya sertakan link terhadap jawapan persoalan tersebut di halaman sahabat saya
Klik Di Sini

Mimpi : Antara Kebenaran dan Igauan

Thursday, November 19, 2009


Bertalu-talu YM saya dihujani dengan persoalan yang saya kira agak 'lawak'

Kebanyakan ingin bertanya tentang mimpi yang mereka alami. Memang saya tidak nafikan, sejak posting tentang istikharah tempoh hari, pelbagai reaksi diterima yang tidak dimasukkan dalam ruangan komen.

Saya bukanlah ahli untuk mentafsir mimpi anda.Ya, saya akui saya pernah belajar ilmu tafsir mimpi juga saya tidak nafikan bahawa guru mursyid saya , Maulana Kamaluddin Al-Mustarsyid yang mengajar saya kitab Misykat Masobih dan juga Sunan atTirmizi ( saya juga mengambil sanad tafsir al-Quran dari beliau ) adalah orang yang mahir tafsir mimpi. Tapi itu adalah guru saya, dan bukan saya. Memang banyak mimpi yang saya alami ditafsir beliau dan kesemuanya adalah mimpi yang baik. AlhamduliLLAH.


TAMAT



Apa pun di sini saya ingin kongsikan beberapa permasalahan tentang mimpi, sesuai dengan tajuk posting dengan tidak membincangkan secara terperinci dalam setiap sudut permasalahan tentang mimpi



Pembahagian Mimpi



أنه عليه الصلاة والسلام قال: )) إن الرؤيا ثلاث: منها أهاويل من الشيطان ليحزن بها ابن آدم، ومنها ما يهم به الرجل في يقظته فيراه في منامه، ومنها جزء من ستة وأربعين جزءًا من النبوة ((.


Maksudnya : Nabi SAW bersabda : Mimpi itu ada tiga jenis; antaranya perasaan yang menggerunkan daripada syaitan bertujuan untuk mencampakkan kesedihan kepada anak Adam, sebahagiannya hasil dari apa yang yang diimpikan seseorang di kala jaganya lalu dia melihatnya ( impiannya berlaku ) dalam mimpi, dan antaranya sebahagian daripada 46 bahagian kenabian

( Riwayat Ibnu Majah )



Di sini ada tiga pembahagian mimpi :


  1. mainan (igauan ) dari syaitan
  2. perasaan sebelum tidur
  3. kebenaran dan berita gembira




  1. Mainan (Igauan) Syaitan


Ia adalah mimpi buruk yang dimainkan oleh syaitan yang bertujuan mecampakkan kesedihan kepada orang Islam.


Oleh itu jika seseorang itu mendapat mimpi buruk, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan :-

    1. membiarkan sahaja mimpi itu tanpa memikirkannya
    2. tatkala tersedar dari tidur, tiupkan 3 kali ke kiri sambil membaca ta'awwudz, berubah kedudukan tidur


أن أبا سلمة قال: كنتُ أرى الرؤيا فأمرض منها، حتى لقيت أبا قتادة فذكرت ذلك له فقال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: ((الرؤيا من الله، والحلم من الشيطان، فإذا حلم أحدكم حلمًا يكرهه فلينفث عن يساره ثلاثًا ويتعوذ بالله من شرها، فإنها لن تضره ))، قال أبو سلمة: إن كنت لأرى الرؤيا أثقل عليَّ من الجبل، فما هو إلا أن سمعت بهذا الحديث فما أباليها.


Maksudnya : Bahawa Abu Salamah berkata : Aku bermimpi yang menyebabkan aku sakit sehinggalah aku bertemu dengan Abu Qatadah lalu aku beritahu kepadanya tentang mimpiku, dia berkata : Aku mendengar RasuluLLAH SAW bersabda : Mimpi itu dari Allah manakala igauan adalah darisyaitan, sekiranya seseorang mendapat igauan yang dia tidak suka maka hendaklah dia hembuskan ke kiri tiga kali dan memohon perlindungan dari Allah agar dilindungi dari kejahatan kerana ia tidak akan dapat memudaratkannya. Abu Salamah berkata : Selepas itu aku bermimpi sesuatu yang lebih berat daripada bukit, namun aku tidak pernah menghiraukannya setelah mendengar hadis ini.

(riwayat Muslim)




c. tidak menceritakan kepada sesiapa




جاء أعرابي إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، رأيت في المنام كأن رأسي ضُرب فتدحرج فاشتددت على أثره!! فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم للأعرابي: ((لا تحدّث الناس بتلعُّب الشيطان بك في منامك((.


Maksudnya: Seorang Badwi telah datang bertemu Nabi SAW seraya berkata: Wahai RasuluLLAH Aku bermimpi seolah-olah kepalaku dihentak dan terburai, menyebabkan aku terkesan dengan mimpi tersebut. Nabi SAW bersabda : Jangan engkau ceritakan kepada orang ramai tentang mainan syaitan dalam tidurmu

( Riwayat Muslim)




  1. Perasaan Sebelum Tidur



Biasanya seseorang yang sebelum tidurnya banyak memikirkan tentang sesuatu perkara, kemungkinan perkara yang difikirkan itu akan hadir dalam mimpi. Dalam keadaan begini, mimpi itu juga termasuk dalam perkara yang tidak perlu ditafsirkan.


  1. Mimpi Yang Benar


Ia merupakan kegembiraan kepada orang mukmin


قال صلى الله عليه وسلم : ((إذا رأى أحدكم رؤيا يحبها فإنما هي من الله، فليحمد الله عليها وليحدث بها((


Maksudnya : Nabi SAW bersabda : Apabila seseorang dari kamu bermimpi sesuatu yang dia suka, sesungguhnya itu adalah dari Allah maka pujilah Allah terhadap kurniaan mimpi itu dan khabarkan tentangnya

( Riwayat alBukhari )


Nabi SAW juga bersabda:

(( ولا يخبر بها إلا من يحب))

Maksudnya : Janganlah dia khabarkan kecuali kepada orang yang dia suka (sayang)

( riwayat Muslim )


Ciri-Ciri Mimpi Yang Boleh Ditafsir


  1. mimpi tersebut tidak bercampur aduk, tidak bertentangan, tidak terputus-putus malah mempunyai hubungkait dari awal hingga akhir. Secara mudah, ia mempunyai permulaan dan akhiran. Hanya satu episode sahaja
  2. perkara yang dilihat dalam mimpiadalah perkara yang bukan mustahil
  3. tidak melibatkan perkara yang bermain di fikiran tika hendak tidur
  4. yang paling penting, seseorang itu tidak berbohong dalam percakapannya, kerana orang yang sentiasa bercakap benar akan selalu mendapat mimpi yang baik
  5. mengandungi dorongan melakukan kebaikan atau ingatan dari melakukan maksiat



Beberapa Teguran Sekitar Mimpi



  1. ramai yang leka berbicara tentang mimpi, persoalan tafsiran dan menganjurkan ruangan khas atau majlis hanya bertujuan untuk mentafsir mimpi sedangkan banyak lagi perkara dan tanggungjawab yang lebih penting untuk dilakukan
  2. manusia akan terdedah kepada kesalahan tafsiran mimpi atau mungkin juga manusia akan berbohong tentang mimpi dengan mendakwa bermimpi itu dan ini sedangkan ia hanyalah rekaan dari orang tersebut. Ini adalah dosa besar
  3. ramai yang terlalu ingin tahu tafsiran mimpi sehinggakan sesiapa sahaja yang dia jumpa, pasti akan ditanya tentang tafsiran mimpi yang dialami. Sedangkan ini tidak sepatutnya berlaku dan telah dijelaskan pada awal posting ini, bahawa mimpi hanya boleh diceritakan pada orang tertentu sahaja
  4. kebanyakan kita mencari-cari dan memiliki buku tafsiran mimpi bahkan dijadikan rujukan utama sedangkan mimpi yang sama jika dialami oleh orang yang berbeza, berkemungkinan akan berbeza tafsirannya


Saya sendiri mempunyai banyak mimpi yang saya biarkan sahaja dan saya hanya mengetahui kebenaran mimpi setelah ia berlaku di alam realiti .


Masih ada mimpi yang bagi saya adalah baik ( sentiasa bersikap positif ) yang saya rasa akan berlaku dalam tempoh terdekat . Ia tentang jodoh saya mungkin :p