Bismillahirrahmanirrahim.
Selang seminggu lagi, peperiksaan semester II pelajar sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia akan bermula. Kebanyakan kuliah di Jabatan Syariah telah pun berakhir, kalau ada pun cuma perbincangan berkenaan isu semasa di Malaysia.
Saya fikir, sahabat di seluruh dunia (Timur Tengah) sekarang ini juga sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan yang akan dijalankan oleh pusat pengajian masing-masing.
Teringat ketika diri masih menuntut di Pakistan, perasaan gusar sering melanda setiap kali musim peperiksaan. Apa tidaknya, di sana lebih menekankan soal hafazan dan penghuraian terperinci terhadap sesuatu permasalahan, hatta jika dikemukakan pendapat mana-mana ulama, perlu disebutkan secara tepat siapakah yang mengutarakan pendapat tersebut. Tidak boleh ditulis 'sebahagian ulama' atau ' ada ulama', bahkan wajib ditulis 'kata Abu Hanifah bla bla bla, menurut Ibrahim Nakhaie bla bla bla'.
Ketika di Mesir, saya bermula dengan Tahun 3 (bagaimana saya boleh menempatkan diri di Tahun 3, panjang ceritanya ;) ). Saya sempat menghadiri kuliah selama seminggu sahaja, namun dengan rahmat Allah, saya lulus dengan jaya.
Melangkah ke Tahun 4 juga amat mencabar. Walaupun saya hanya ke kuliah sekali sahaja pada tahun itu, saya tumpukan kepada pembacaan kitab-kitab karangan Profesor yang mengajar subjek -subjek tahun 4. Sebahagian besar sukatan telah pun saya pelajari sebelum ini. Cuma yang berbeza dari bentuk huraian dan contohnya sahaja.
Memang nampak saya 'kurang sopan' bila tidak menghadiri kuliah, tetapi bukan bermakna saya tidak bertanya tentang apa yang dipelajari dikuliah. Saya punyai ramai sahabat yang sentiasa memberi nota-nota bahkan kami berdiskusi bersama. Apatah lagi saya banyak keluar Kaherah bagi memenuhi permintaan sahabat dan sahabiah yang memerlukan kelas tutorial, lalu saya banyak 'tuang' kuliah. Saya jiga inginkan mereka faham kesemua subjek melebihi apa yang saya faham. Alhamdulillah, ramai yang lebih berjaya dari saya . Tahniah !!
Pada semester kedua tahun ini saya telah mendaftar dan mengesahkan diri untuk menduduki peperiksaan bagi 5 subjek.
Kursus wajib Jabatan Syariah yang saya ambil ialah Fiqh Muamalat (pensyarahnya Dato' Dr Hailani Muji Tahir) dan Usul Fiqh (Dr Hayatullah Laludin). Manakala satu subjek pilihan Jabatan ialah Sistem Ekonomi Islam ( Dr Abdul Ghafar Ismail). Bagi subjek pilihan luar Jabatan Syariah, saya memilih Kajian Musykil Hadith dan Nasakh (Dr Arif Nazri). Subjek Kaedah Penyelidikan pula merupakan subjek pra syarat bagi semua pelajar sarjana (dan Phd).
Kalau semester lepas, saya mempunyai keyakinan yang tinggi untuk lulus namun pada semester kali ini agak gusar sedikit. Tiga subjek yang saya kurang hadam iaitu Fiqh Muamalat, Sistem Ekonomi Islam dan Kaedah Penyelidikan. Ini kerana, subjek-sebjek ini agak baru bagi saya (walaupun saya punyai minat yang tinggi dalam dua bidang pertama).Harap mendapat bantuan sahabat saya Ustaz Azali ( Dato' Dr Hailani banyak memuji beliau ;) ). Ustaz Hamidi juga wajib membantu saya kali ini :p.
Peperiksaan di dunia pun kita sudah gusar, apatah lagi nun di akhirat sana. Kita punyai nasib berbeza.
Kepada semua sahabat yang akan menduduki peperiksaan, semoga mendapat ketenangan dan dapat menjawab dengan baik.
p/s : saya masih punyai 2 assignments yang belum dihantar ngeh2..
Followers
Yang Dinanti Akan Bermula
Monday, April 4, 2011
Labels:
Bicara Hati,
Kisah,
Umum
Garapan
salmanfasiri
at
4:59 PM
3
comments
Ibrah Itu Aku Insafi
Wednesday, February 23, 2011
Bismillahirrahmanirrahim...
Mata telah lama merenung ke arah blog sepi. Sesawang mula tampak. Perlahan-lahan debu-debu dilap dari dashboard. Lalu jemari menari-nari di keyboard untuk mencoretkan sesuatu.
Agak lama meninggalkan encik blog dek sengaja menyibukkan diri dalam dunia master d UKM. Semester kedua menuntut untuk lebih 'struggle'. Padahal ada sahaja pejuang agama yang lebih sibuk dari saya. Namun saya tidak sekuat mereka untuk memikul pelbagai amanah yang terpundak ini. Sepanjang mengikuti pengajian master di UKM, saya pernah menyewa di Taman Universiti, Bangi bersama sahabat yang turut sama memulakan pengajian sarjana di UKM Hanya sempat dua bulan sahaja menyewa di situ. Mungkin kerana ketika itu saya kira kuliah yang tidak banyak, hanya 3 hari sahaja seminggu, jadi elok rasanya berulang alik dari Sungai Buloh ke UKM yang mengambil masa sejam.
Semester kedua mula mengkalutkan saya, kelas empat hari seminggu ditambah 'timbunan' assignment menuntut untuk saya lebih memacakkan diri di Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL), lantas saya mengambil keputusan untuk tinggal di sekitar kawasan UKM.
Sebenarnya bukan itu yang ingin saya kongsikan bersama teman. Sedari dulu, banyak yang ingin ditulis di sini namun, terhenti separuh jalan. Banyak isu terkini yang hendak disuakan. Berkenaan rahsia tarikh lahir, patung untuk wanita yang baligh, isu perpecahan aliran fahaman dalam umat Islam di Malaysia, metod pengajian, teori realisme dalam filem, konsep dakwah dalam filem seram dan bermacam-macam lagi. Semua itu hanya bermain diminda sahaja atau disampaikan dalam kuliah-kuliah. Namun saya tetap harapkan ada individu yang mengutarakan idea atau komen seperti yang berlegar dalam kotak minda saya, sama ada melalui tulisan atau sebaran media . Alhamdulillah, ramai sefikrah dengan saya dan persoalan yang bermain di minda itu pun dirungkaikan oleh mereka yang lebih dikenali, manfaatnya juga lebih luas.
Peristiwa malam tadi terus mendorong untuk menyelak kembali lembaran blog. Minda juga mula bersemangat untuk memerah idea. Ya, peristiwa malam tadi.
Ketika ingin menunaikan solat zohor di Surau Bangi Perdana, saya terpana pada sesosok badan di belakang imam, tampak ada kelainan. Seusai solat sunat, si fulan terus keluar dari surau dan berada di beranda. Mata ini tertancap pada segala hasil seni yang dipamer. Indah dan cantik .
Sesosok tubuh yang tidak mempunyai kedua-dua belah kaki, dari paras pinggang dan ke atas sahaja yang ada. Beliau bergerak menggunakan skateboard. Sudah beristeri dan mempunyai empat orang anak. Tampak ketenangan pada wajah itu. Menawarkan khidmat beliau untuk melukis apa sahaja yang diminta. Dari Zohor hingga Isya dia di situ, berjemaah bila tiba waktu solat.
Subhanallah. Manusia sempurna anggota ini (saya), adakah mampu untuk setabah beliau? Adakah mampu untuk setenang beliau? Ramai yang memerhati dari jauh sahaja. Sekadar melihat hasil seni beliau.
Awalnya saya juga turut menjadi pemerhati setia. Pernah timbul dalam hati, di sini ramai golongan yang berpendapatan selesa. Ada yang bergelar Datuk, Dato' Seri dan pelbagai lagi. Tidak terlihat oleh saya, ada yang menghulur bantuan.
Saya juga terhasut, bisikan dalam hati mengungkapkan : Ahh, biarlah orang yang kaya je yang hulurkan sumbangan dan membeli hasil seninya, duit kamu sekadar lima ringgit tak mampu menandingi dan tak memberi apa-apa makna.
Astaghfirullah....itu mainan syaitan. Yang dinilai Allah bukan kadar pemberian tapi kadar keikhlasan. Yang dinilai ialah siapa yang dahulu membuat kebaikan, yang dinilai ialah siapa yang mendorong melakukan kebaikan. Itu yang dinilai.
Teringat pesanan junjungan besar Nabi Muhammad SAW:
Seseorang yang mengumpul kayu api, kemudian dia menjualnya dan mendapat hasil darinya adalah lebih baik dari meminta-minta dari manusia
Ya, si fulan tadi lebih baik dari yang meminta-minta. Tidak menggunakan kekurangan untuk berduka. Tidak menjadikan kekurangan untuk tidak berusaha. Ya Allah, aku bersyukur atas kurniaanMu. Aku manusia yang lalai. Bantulah hambaMu untuk lebih bersyukur.
Labels:
Bicara Hati,
Kisah,
Tazkirah,
Umum
Garapan
salmanfasiri
at
3:57 PM
3
comments
Menyemak Al-Quran : Satu Amanah
Tuesday, December 28, 2010
Bismillaahirrahmaanirrahiim..
Jemputan dan tawaran seorang sahabat untuk membantu beliau menyemak Al-Quran untuk cetakan di bawah kelolaan Yayasan Restu, saya terima dengan hati terbuka dan penuh amanah. Tugasan ini dirasakan amat berat . Maklumlah, pelbagai aspek perlu diteliti sebelum ia dicetak. Jika tersalah sedikit, kesannya amat besar.
Al-Quran cetakan Saudi juga pernah ditarik balik hanya kerana kesalahan tidak meletakkan baris fathah (atas) huruf ha pada perkataan فيها dalam surah a-Furqan ayat 61. Dikatakan bahawa cetakan itu telah melalui proses penyemakkan sebanyak 400kali sebelum ia dicetak, itu pun masih ada yang terlepas pandang. Walaupun bagi mereka yang mengetahui dan mempelajari bahasa Arab, ia tidak diangap sebagai satu kesalahan, kerana perkaaan tersebut sudah boleh dibaca namun bagi memastikan Al-Quran dapat dibaca oleh semua orang, perkara sebegini amat dititikberatkan.
Bersama dengan sang isteri, kami keluar awal dari rumah. Sebetulnya kami perlu tumpangkan 2 orang pelajar tahfiz dari sekolah Ustaz Hasmin . Kedua-duanya turut dijemput untuk menyemak tulisan Al-Quran. Jalan yang dipilih untuk ke sana ialah Lebuhraya Guthrie. Lebih senang dan tidak jam. Bayaran tol keseluruhannya hanya Rm2.80 ( Mahal juga tu ).
Kami tiba lewat, namun amat berterima kasih pada Ustaz Hamdan yang sudi belanja sarapan pagi.
Proses semakan Al-Quran ini diketuai dan dipantau oleh Ustaz Hannan, yang bertugas di bahagian Ulum Quran di Yayasan Restu. Taklimat ringkas dari beliau berkenaan teknik semakan Al-Quran, memberikan kami gambaran yang jelas apa yang perlu dilakukan.
Setiap dari kami, diberi 3 juzuk untuk dibuat semakan, dengan kadar 1juz sehari. Ini bermakna kami punyai masa 3 hari untuk siapkan tugasan yang diberi. Wah mencabar juga.
Setiap patah perkataan perlu diteliti baris, gaya seni penulisan, jarak antara perkataan, tanda bacaan dan kedudukan baris setiap huruf. Fuhhh...
Hari pertama semakan (Rabu 22.12.2010) semuanya berjalan lancar. Setiap penyemak menampakkan ketelitian masing-masing. Mata saya sempat memerhati gelagat dan ketekunan mereka. Hasilnya, saya yang paling lewat siap membuat semakan dek kerana asyik memerhai gelagat orang :d
Pada hari kedua, saya diberi tambahan juzuk kerana ada sahabat yang tidak dapat menghadirkan diri . Saya perlu siapkan semakan ini seawal mungkin kerana perlu pulang ke Penang pada hari Jumaat memandangkan ada kenduri sepupu belah isteri.
Pelbagai rintangan dan kesukaran, akhirnya team kami siap membuat semakan awal AlQuran pada petang Jumaat 24.12.2010.
Semakan berikutnya akan dibuat oleh team JAKIM,Kementerian Dalam Negeri dan akan dibuat final touching oleh para pakar yang lain (saya kurang pasti).
Labels:
Bicara Hati,
Kisah,
Umum
Garapan
salmanfasiri
at
4:15 PM
4
comments
Cicakman : The New Era
Sunday, December 5, 2010

Labels:
Kisah,
Pendapat,
Umum
Garapan
salmanfasiri
at
11:40 AM
0
comments
Ibrah Dan Ilmu
Thursday, November 4, 2010
Bismillahirrahmanirrahim
Setelah hampir sebulan meninggalkan wad Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Cameron Highland atau lebih famous dengan nama 'Hospital Kelantan' kerana hampir keseluruhan kakitangan hospital adalah orang Kelantan, saya banyak ditanya bagaimana saya boleh ditempatkan diwad tersebut.
Sebenarnya saya pun tidak pasti, namun saya punyai beberapa ibrah yang ingin dikongsikan bersama. Sepanjang tiga hari berada di wad ( saya pernah motivate sang isteri, dengan menggambarkan wad itu umpama taman permainan :d).
LAYANAN 'BIDADARI& BIDADARA'
Sesedarnya saya dari 'tidur', saya dapati diri berada pada satu tempat yang dipenuhi dengan katil-katil. Di hadapan saya ada tiga buah katil, dua daripadanya dihuni oleh warga tua, kedua-duanya bangsa Cina.
Mereka berdua berpakaian 'seragam hijau'. Nampak pakcik yang seorang itu, tiada siapa yang menemaninya. Alhamdulillah bila saya alihkan pandangan ke sebelah sisi, saya bersyukur sebab sang isteri berada di sisi . Dia memberikan senyuman. Hati saya berbunga
Pandangan seterusnya difokuskan ke sebelah kiri saya. Ada beberapa wanita muda yang berpakaian seragam putih. Oh, ada seorang daripada mereka seakan-akan menuju ke arah saya. Ya, benar-benar datang ke katil saya.
"Maaf ye, saya nak test glukos dalam darah encik" dia bersuara . Loghatnya seakan sama dengan loghat asal saya :d
"Silakan", saya menjawab dengan menggunakan bahasa standard.
"ouch", saya terasa sedikit kesakitan.
"Ops, maaf ye, tak sakit sangat kan?"
Saya hanya tersenyum. Bukan sebab pujukan sang seragam putih, tapi sebab loghatnya itu.
Setiap sejam, glukos dalam darah saya di test. Dan dua kali sehari, darah saya diamnil untuk diuji di makmal.
Saya amat selesa dengan seorang jururrawat bernama Aiman. Adik ipar saya juga bernama Aiman. Aiman si jururawat ini berasal dari Bachok, Kelantan. Saya selesa dengannya sebab dia amat teliti ketika mengambil darah. Tidak terasa sakit sangat. Boleh bagi anugerah untuknya :d.
Tentang makanan. Best. Makanan dihantar, tepat pada masanya. Ohya, sang isteri turut mendapat makanan. Lebihan agaknya, ada pesakit yang dah balik, jadi dapatlah rezeki.
IBADAH PESAKIT
Allah mengurniakan kepada kita nikmat kesihatan dan kita sering terlepas pandang terhadap nilai dan harga sebuah kesihatan sehinggalah kita diuji dengan kesakitan. Saya bersyukur kerana Allah sering mengingatkan saya tentang nikmat-Nya.
Kita (saya) hanya banyak belajar tentang teori. Kita boleh mengajar kepada khalayak tentang itu dan ini, namun jika kita sendiri tidak mengalami keadaan dan situasi yang tertulis dalam kitab-kitab, kita tidak dapat memahaminya dengan baik. Sebagai contoh, kita mempelajari (atau mengajar) tentang ibadah haji/umrah, kita tidak mampu untuk menghayatinya atau menghuraikannya dengan baik sehinggalah kita menjejakkan kami ke Tanah Haram.
Begitu juga dalam bab perkahwinan. Saya sebagai pelajar agama yang banyak mendalami berkenaan hukum fekah, sebelum saya bergelar suami, terasa janggal untuk membacakan bab Nikah kahwin kepada umum. Maklumlah yang ada di hadapan, bukannya mereka yang belum kahwin sahaja, bahkan kebanyakan yang bersila di hadapan saya adalah mereka yang sudah bergelar datuk.
Di kala saya menghuraikan tentang alam rumahtangga, kehidupan suami isteri, perhubungan dan keharmonian rumahtangga, pakcik makcik semuanya tersenyum dan berpandangan sesama sendiri. Mungkin dalam hati mereka
"Ustaz tu belum kahwin lagi tapi dalam duk hurai pasal perkahwinan, kalah kita"
"Alah, teori aje tu..:p "
Para agamawan banyak menguraikan teori pelaksanaan ibadah semasa sakit namun terkadang, ada yang terlampau ekstrim (syadid). Bagi mereka, apa yang termaktub dalam kitab adalah berbentuk permanent, tidak boleh diubah.
Seorang pesakit yang tidak mampu untuk bergerak, berjalan ke bilik air, akan dipasang salur urin (air kecil). Ini bermakna, air kumuhannya akan sentiasa keluar terus ke beg urin. Sentiasa berada dalam keadaan bernajis. Lantas untuk melaksanakan ibadah, tidak sah menurut sesetengah ustaz kerana sentiasa berhubung dengan benda najis. Namun kaedah-kaedah lain dalam agama contohnya "sesuatu perkara akan menjadi luas jika dalam keadaan sempit(terdesak)",seolah-olah diabaikan.
Biasanya jika suami yang terlantar, sang isteri akan menemaninya. Dalam keadaan ini, bila sang suami ingin menunaikan solat, siapakah yang akan mewudhukan si suami? Ingin meminta bantuan jururawat yang kadangkala semuanya perempuan? Pastinya isteri yang paling rapat. Jadi jika kita sentiasa menggunapakai pandangan yang menyatakan sentuhan isteri juga membatalkan wudhu suami, jawabnya tak solat-solat la si suami. Mungkin ada yang rasa, kenapa tak guna sarung tangan, bawalah sarung tangan siap-siap, atau minta sarung tangan getah dari jururawat, atau apa-apa aja yang boleh dijadikan alas supaya tak bersentuhan. Tapi seharusnya kita fahami bahawa pesakit berada di hospital, bukannya kawasan rumah atau kedai aksesori.
SUAMI ISTERI
Sebelum saya 'bermalam' di hospital, sang isteri pernah bertanya
"Abang, kenapa suami isteri tiada batasan aurat?"
"Emm, supaya tidak susah dalam perhubungan dan alam rumahtangga mereka".
Jika anda membaca 'statement' saya itu, apa yang berlegar dalam pemikiran anda? Apa yang anda faham tentang maksud alam rumahtangga? Mungkin menjurus kepada 'hubungan intim' saje kan? Isk isk..otak tu kena brain wash sikit tu, ada sedikit kulapuk :d.
Cuba bayangkan jika seorang suami yang terlantar, tidak kira di rumah atau di hospital, tak kanla akan dibiarkan begitu sahaja, dengan tidak terurus, tidak bermandi, dibiarkan apabila membuang air besar. Siapa yang akan menukar lampin dan membersihkan suami?Mengharapkan anak?Jika anak mereka tiada anak atau masih kecil?atau kesemua anak ke sekolah? Tentunya sang isteri yang bertanggungjawab untuk semua itu.
Pada masa tersebut, tentunya susah jika ada batasan aurat. Ye memang kita boleh mengatakan itu keadaan terdesak, jadi dibolehkan melihat aurat. Persoalannya, bukan terdesak atau tidak tapi mentaliti kita dalam menerima pendapat yang bertentangan dengan apa yang kita doktrinkan selama ini.
Saya juga terharu bila sang isteri sentiasa bersama di tepi katil. Saat saya terjaga di waktu malam, sang isteri sedang nyenyak tidur, lena dalam keletihan. Tika inilah memahami erti kasih sayang dan cinta. Kita boleh kenal kawan tatkala kita dalam kesusahan, tetapi kita akan menghayati makna cinta saat kita dihargai.
Terima kasih pada-Mu Ya Allah. Terima kasih pada semua yang mendoakan. Pada ayah+mak,ma+abah,abang faizal+kak enon dan semua sahabat.
Labels:
Bicara Hati,
Kisah,
Tazkirah,
u,
Umum
Garapan
salmanfasiri
at
11:03 AM
3
comments
Kembali Untuk Bercuti?
Tuesday, February 16, 2010
Segala pujian hanya hak milik mutlak DIA Yang Esa.
Setelah melalui 15 jam perjalanan dari Mesir-KLIA - Kota Bharu, akhirnya dapat juga menjejakkan kaki ke kampung halaman. Ibu pun belum balik lagi, masih berada di rumah ibu sepupu kerana perlu siapkan masakan untuk jamuan keesokan harinya, sempena majlis menyambut menantu.masih berada di awan, kapten kapal telah mengumumkan, kapal terbang akan mendarat tidak berapa lama lagi, masa ni, tali pinggang keledar sudah dipakai....
AlhamduliLLAH sudah , kapal terbang sudah menjejakkan tayarnya di bumi (tar ) Malaysia lebih kurang jam 1545 petang. Agak tepat pada masanya. seluruh badan lenguh.
Bersama dengan Ustaz Iskandar Shah aka Ustaz Cu . Flight kami ke Kota Bharu jam 2235 malam. Kami mengambil flight terakhir kerana bimbang berlaku delay pada penerbangan egyptair
Rupanya saya satu penerbangan bersama Dr Yusri Al-Hasani, pakar bedah Mesir yang juga Ustazul Hadith . Beliau telah pun menamatkan pengajaran Kitab Tirmizi dan sekarang baru memulakan kuliah Sunan Abi Daud. Beliau datang ke Malaysia bagi memenuhi undangan ceramah dan jaulah sempena Rabiul Awwal.
Penerbangan ini juga turut 'membariskan' personaliti RTM. Krew TV datang ke Mesir atas menyiapkan satu program terbitan Syed Munawar (betul ke namanya ni)
Sebelum berpisah, kami berlima bergambar kenangan. Kak Za yang merupakan senior di Mesir, tidak pernah balik ke Malaysia sehinggalah tamat ijazah Master beliau di Al-Azhar dalam bidang feqah. SubhanaLLAH, barakaLLAH laki
" Maka mengapakah tidak ada segelintir dari mana-mana kelompok keluar untuk mendalami agama, juga untuk memberi peringatan kepada kaum mereka apabila mereka pulang nanti, supaya kaum mereka berwaspada "
Labels:
Kisah,
Umum
Garapan
salmanfasiri
at
10:10 PM
5
comments
Dia Aisyah Ku 5 ( Last )
Friday, February 12, 2010
Damai pagi ini menenangkan lembah hati Fauzan. Kicauan burung di atas dahan rambutan di hadapan rumahnya menceriakan suasana.
Zikir ma’thurat telah dihabisi bacaannya. Seingat Fauzan, as-Syahid Hassan Al-Banna yang memulakan iltizam zikir mathurat. Pengasas gerakan Ikhwan Muslimin Mesir itu mati ditembak pada 8 Februari 1949 dihadapan bangunan pejabat beliau. Biarpun jasad telah lama bersemadi, namun roh yang ditiupkan beliau masih menghidupkan jiwa pemuda-pemuda Islam seantero dunia.
Benih-benih semangat kebangkitan Islam mula bertunas dan tersebar di kebanyakan negara yang didiami umat Islam. Malaysia juga tidak terkecuali dari merasai hembusan semangat as-Syahid Hassan Al-Banna.
Imbasan minda terhenti apabila kotak mesej handsetnya berbunyi. Satu mesej baru diterima.
“Assalamualaikum ustaz, moga sihat sentiasa. Pohon kemaafan dari saya, mak minta saya teruskan dengan Ustaz Saufi. Saya doakan agar ustaz dikurniakan pasangan yang lebih baik dari saya. Saya sentiasa doakan ustaz. Terima kasih kerana sudi bersusah payah merawat saya dulu.“
Hatinya bagai disentap. Degupan jantung tidak menentu, termengah seakan dikejar singa. Lantas butang handset ditekan.
“Wa’alaikumussalam. Ustaz Saufi? Saufi mana? Teman saya?”
“Ya”. Balasan ringkas dari Syura.
"Kenapa boleh jadi begini? Bukankah Syura pernah nyatakan, hasil istikharah Syura adalah saya? Adakah Syura tidak yakin dengan pilihan Allah? Ingatlah, Allah menguji keyakinan hambaNya selepas istikharah."
"Maaf Ustaz, mungkin tika istikharah, saya tidak serahkan sepenuhnya urusan pada Allah, mungkin kala itu saya dikuasai emosi hinggakan hanya Ustaz yang bermain diminda. Maafkan saya sekali lagi. Harapnya Ustaz dan saya dapat meredhai apa yang berlaku."
Fauzan terkedu. Jari jemarinya sejuk membeku, tangannya kaku tidak berdaya menekan butang handset.
Telahannya selama ini benar. Kenapa Saufi selalu bermain kata? Sering melarikan diri bila soalan diaju. Malah Fauzan dapat rasa perubahan Saufi. Jika dulu mereka sering bersama, di surau, di padang bahkan di perpustakaan sekalipun. Keakraban mereka sering disalah sangka rakan lain.
"Ahh aku mesti bertemu Saufi. Tidak ku sangka, tegarnya seorang sahabat mencantas sahabatnya sendiri. Ilmu apakah yang diguna? Kaedah apakah yang dipakai?" Hati Fauzan bermonolog.
“Salam alaikum, akh, boleh kita jumpa? Di restoran Sate Razak, jam 5 petang ni. Penting.”
Mesej ringkas dihantar buat sahabatnya, Saufi.
Fauzan teringat kata-kata Dr Abu Laith tika dia menceritakan perihal mimpinya.
"Tuan Syeikh, saya mimpi seorang wanita tersenyum ke arah saya."
"Emm wanita tu, kamu kenal?"
"Ya, kenal sangat-sangat bahkan saya punyai perasaan terhadapnya."
"Kamu mungkin bukan jodohnya."
"Ha! Kenapa pula syeikh? Bukankah dia tersenyum ke arah saya? Bahkan dia terhias cantik dan memakai pakaian pengantin. Kenapa pula tafsirannya begitu? Bukankah Nabi SAW pernah bermimpi, Aisyah dibawa untuknya dalam pakaian pengantin?"
"Itu RasuluLLAH. Mimpi perkahwinan baginda adalah realiti. Jika seseorang yang sudah berumahtangga bermimpi dia mengahwini wanita lain, itu berbentuk pasti."
"AstaghfiruLLAH. Iya, saya akui, saya amat kerdil jika nak ‘qiyaskan’ pada tubuh badan RasuluLLAH. Adakah Tuan Syeikh boleh agak siapa yang secocok untuk wanita dalam mimpi saya?"
"Mungkin sahabat terdekat kamu yang menjadi suaminya. Bukankah wanita dalam mimpimu tersenyum? Simbolik dari itu, hanya orang yang rapat sahaja mampu tersenyum padamu."
"Sahabat terdekat? Siapa?"
"Fauzan, jangan kamu terlalu yakin dengan tafsiran saya, segala perkara ghaib, adalah milik mutlak Yang Maha Agung."
Sebuah kereta GEN 2 berhenti betul-betul di hadapan restoran. Sesusuk tubuh menampakkan diri, keluar dari kereta. Saufi datang tepat pada masa yang dijanjikan. Memang itu sudah menjadi tabiatnya sejak di sekolah menengah lagi. Dia berpakaian seperti baru selesai solat Asar.
Alwaqtu kassaifi, in lam taqta’hu qoto’aka – Waktu umpama pedang, jika kamu tidak mencantasnya, ia akan mencantas kamu. Itu pesan Ustaz Husin waktu dia menjejakkan kaki ke tingkatan satu di Maahad Muhammadi Lelaki.
Namun Fauzan pernah mencelah, “Ustaz, ayah saya cakap, alwaqtu ka burung, iza lam tangkap, fa terbang lah ia.”
Seisi kelas terburai ketawa. Ustaz Husin pula tersenyum sambil mengeleng-ngeleng kepala.
“Assalamualaikum akh, apa khabar?” Fauzan memulakan bicara
"Wa’alaikumussalam, baik insya Allah."
"Tak ke mana-mana ke cuti raya ni?"
"Mungkin tidak, akh Fauzan. Berada di rumah lagi tenang." Sambut Saufi. Mata dikenyitnya.
"Ya sememangnya tenang, menghitung hari majlis perkahwinan dengan Syura kan?“ terjah Fauzan.
"Kenapa akhi rahsiakan dari ana? Bukankah sebelum ni kita selalu berkongsi rasa?" Sambung Fauzan lagi .
"Akh Fauzan, ana sebenarnya tidak berniat untuk menyimpan rahsia, cuma mungkin masa belum tiba. Tambahan pula, ana tidak tahu bagaimana harus berdepan dengan akh."
"Ana berkali-kali tanya akh tentang ni, tapi akh membatu seribu bahasa. Susah sangat ke nak beritahu perkara ni?"
"Akh, ana tau ana salah. Kalau diluah, bimbang akh tidak dapat menerimanya. Kalau ditelan, makin kusut jadinya." Balas Saufi. Dia juga mungkin tersilap bila sembunyikan hal sebenar dari Fauzan.
"Memang makin kusut, tapi perkara ini sepatutnya tiada rahsia. Ana muyskil, bukankah akh ingin mencari pasangan yang namanya Aisyah? Sejak dari kita sama-sama pelajari sirah fitnah terhadap Aisyah, akh selalu menyebut nama agung itu. Di mana kata-kata akh dulu? Atau sumpah dulu sudah dikaffarah?"
"Tidak."
"Jadi kenapa sewenangnya menukar qasad? Adakah permata yang dicari sukar ditemui?"
"Tidak."
"Habis?"
"Ana bukan hanya mendambakan insan bernama Aisyah. Ana pingin muslimah dibaluti sifat Aisyah. Seorang yang tidak hanya bijak, tapi juga amat menjaga tingkah laku. Peribadinya tidak bermuka-muka. Santunnya dicemburui. Sabar dalam tenang. Tidakkah akh teliti sirah? Bagaimana fitnah terhadap insan suci itu merobek hamparan keimanan insan lain, tapi sejadah imannya masih utuh biarpun aliran air mata menjadi teman setia."
"Lantas apa kaitannya dengan Syura?"
“Dialah Aisyah Ku,” suara lembut Saufi menerobos masuk ke gegendang telinga Fauzan.
Fauzan terlopong. Istana bahagia yang ingin dibina tidak akan tercapai lagi.
“Akh, ana sayang akh.” Saufi bersuara. Sebuah buku dihulurkan kepada temannya.. Hikmatul Ibtilaa…
Fauzan ditinggalkan sendirian. Moga dia redha dan faham setiap ujian adalah pembuka jalan bagi mendekatkan diri dengan Tuhan..
Sekian.
Labels:
Kisah,
Umum
Garapan
salmanfasiri
at
1:20 PM
4
comments
Dia Aisyah Ku 4
Sunday, February 7, 2010
Atas beberapa sebab, tajuk cerita diubah..menggunakan ayat yang lebih sastera..:)
*****************************************
Fauzan nekad untuk menelefon ibu Syura. Nombor yang diberikan Hasnul tersimpan dalam contact book handsetnya.
Sebenarnya Syura yang menyuruh Fauzan menalifon Makcik Lijah. Syura tidak mahu lagi berdiskusi dengan maknya berkenaan status diri. Biar Fauzan sendiri yang muzakarah.
"Assalamualaikum. Ini nombor mak cik Lijah?"
"Ye. Siapa ni?"
"Saya Fauzan."
"Oh, Ustaz fauzan"
"Eh tak perlu la panggil ustaz, mak cik. Panggil Fauzan je."
"Ye ye. Ada apa Fauzan talifon mak cik?"
"Saya tak tau nak cakap macammana. Saya minta maaf kalau apa yang saya cakap selepas ni, ada yang kurang sopan. Saya ingin bertanya, betul ke Syura dah bertunang?"
"Hmm, kalau secara rasmi belum lagi. Tapi kami sekeluarga dah janji akan terima kunjungan pihak lelaki minggu depan."
"Makcik, saya sebenarnya dah lama sukakan Syura. Saya juga rasakan Syura turut punyai perasaan pada saya."
"Ya, kami tahu semua tu. Tapi kamu buat tak endah bila Syura mesej dan talifon. Kamu tahu yang Syura demam seminggu dek kerana kata-kata kamu? Selepas menyakiti hati Syura, kamu pula tak pernah nak balas mesej Syura bila dia minta penjelasan kamu."
"Demam seminggu? Kerana kata-kata saya?"
Fauzan terlopong. Mindanya tercari-cari bilakah dia menyakiti hati Syura. Seingatnya, hati Syura amat dijaga. Tutur bicara sering diatur sempurna sebelum butiran kata dilafaz.
Mungkin ada salah faham di situ. Hatinya bermonolog kecil. Ya, dia yakin, ada salah faham.
"Apa maksud mak cik? Kata-kata saya yang mana?"
"Bukankah Syura pernah talifon kamu, bertanyakan pendirian kamu terhadapnya? Bukankah kamu nyatakan sukar membuat keputusan? Tidak mahu mengecewakan mana-mana pihak? Melibatkan kehendak keluarga?"
Fauzan kelu. Terpaku. Bagai halilintar menusuk kalbu. Memang itu lafaznya pada Syura. Namun di sana ada penjelasan. Kala itu kebuntuan menghijab pandangan akalnya dek kerana gusarkan imtihan akhir tahun. Dia tertekan, lalu itulah hamburan kata yang terungkap. Fauzan tidak menyedari kata-kata itu melukakan hati Syura. Dia tiada insan selain Syura tapi dek tekanan yang menekan, itulah yang terhambur keluar dari lisannya.
"Tika syura demam, mak cik yang menemaninya di hospital. Sakitnya amat merunsingkan kami. Syura yang sebelum ini seolah-olah sembuh setelah berubat dengan kamu, kembali sakit. Kami amat sedih. Kami bimbang kalau-kalau dia disihir lagi tapi kemudian Syura mengakui yang dia demam dek kata-kata kamu."
"Ya Allah. Mak cik, semasa Syura di hospital saya ada menerima mesej, tapi dia hanya akui demam biasa kerana penat. Saya nasihatinya supaya jaga waktu makan, ambil vitamin. Kenapa dia sembunyikan kisah sebenar dari saya?"
"Makcik tidak tahu."
"Makcik, pihak lelaki yang akan bertandang tu, bagaimana? Adakah makcik mengenalinya?"
"Tidak, tapi Syura ada ceritakan kepada kami semua."
"Maksudnya belum ada apa-apa ikatan lagi? Belum ada lamaran?"
"Ya."
"Kalau begitu, Syura belum bertunang. Saya amat berharap agar mak cik boleh pertimbangkan semula hasrat saya. Syura juga begitu. Lagipun, belum aada lamaran dari pihak lelaki tadi."
"Memang belum ada, tapi kami sudah berjanji akan terima lamaran. Kami tidak mahu dituduh memungkiri janji."
"Tidak timbul isu mungkir janji atau tidak makcik, sebab tuan punya diri ialah Syura, dia berhak dalam hal ini."
"Mak cik tahu, kamu hebat dalam bidang agama berbanding makcik. Nanti Syura balik kampung, kami akan bincangkan dengan Syura."
"Terima kasih mak cik, harapnya mak cik tidak kecewakan hasrat hati saya, juga Syura. Assalamualaikum."
Perbualan dimatikan.
Terasa satu bebanan dilepaskan apabila dapat meluahkan rasa gundah yang bersarang di hati. Sudut kecil hatinya masih walang. Bisakah mak cik Lijah pertimbangkan hasrat hatinya? Mak cik Lijah terkenal sebagai orang yang berpegang pada janji. Tegas.
Fauzan maklum, orang yang bertunang atau sedang dipinang sahaja yang tidak boleh dilamar. Itu sabda. Itu juga hukum.
“Janganlah mana-mana antara kamu meminang orang yang telah dipinang oleh saudara (seislamnya).”
Syura bukan tunangan orang, juga belum dipinang jadi peluangnya masih ada. Dia tidak melanggar hukum. Termaktub dalam lembaran sirah, Muawiyah dan Abu Jahm pernah meminang seorang sohabiyah dalam masa yang sama? Wanita itu meminta pendapat Nabi.
“Wahai Rasulullah, aku dipinang dua orang sahabat, Muawiyah dan Abu Jahm, berilah pendapatmu dalam hal ini. Nabi bersabda : Abu Jahim tidak berhenti dari mengangkat tongkat terhadap isterinya yang lain, Muawiyah itu papa, Kahwinilah Usamah bin Zaid.”
Nah, dalam sirah juga ada dua pinangan secara serentak. Namun hati kecil Fauzan bersuara mematikan segala monolognya “janganlah pula kedua-dua kempunan”, nanti binasa badan.
Kisah Musafir Bin Amru yang meninggal dek kecewa kerana Hindun binti Utbah dikahwini Abu Sufyan mula menerjah masuk kotak mindanya. Hati mula bergelora. Bimbang barangkali. Pintanya biarlah Syura menjadi ratu hati yang akan bersama hingga ke Syurga Ilahi.
Fuazan tahu, Imam Ghazali dalam kitab beliau ada menyatakan perihal rindu kepada kekasih sejati. Nukilan kisah dalam Taurat juga memuatkan firman Tuhan.
“Golongan suci merindui Daku dan Aku lebih merindui mereka. Sesiapa yang mencariku akan perolehi Ku, sesiapa yang mencari selainku, tidak akan menemui Ku.”
Bisakah Fauzan menjadi orang suci kala ini? Hatinya belum dimandikan dengan air iman, belum digilap dengan sabun zikir, juga belum diwangikan dengan mahabbah Ilahi. Mampukah mendakapi rindu Pencipta?
Labels:
Kisah,
Umum
Garapan
salmanfasiri
at
1:47 PM
3
comments
Dia Aisyah Ku 3
Thursday, February 4, 2010
Sesusai solat maghrib Fauzan merapatkan tubuhnya pada dinding Masjid Sultan Ahmad Shah. Fauzan merasa ketenangan menyusup ke dalam hatinya. Masjid ini rancak dengan aktiviti keagamaan. Kemeriahan siri kuliah dari beberapa profesor dan ulama UIA menyuburkan diri Fauzan dengan semangat cintakan ilmu. Fauzan tidak mahu ketinggalan dalam lapangan ilmu yang tersedia, seboleh-bolehnya Fauzan berusaha untuk menghadiri kuliah yang diadakan.
Kebiasaannya, Dr Abu Laith akan memberi kuliah hadith Bukhari. Dr Abu Laith merupakan lepasan Darul Uloom Deoband India, sebuah Universiti Islam yang tertua dan terkenal selain dari Universiti Al-Azhar di Mesir. Jika Al-Azhar diwujudkan bertujuan untuk mengawal dan menghapuskan ajaran Syiah di Mesir dan dunia Islam, Darul Uloom juga tidak kurang pentingnya dalam memainkan peranan tersebut.
Darul Uloom Deoband didirikan pada tanggal 15 Muharram 1283 hijriyah, bertepatan dengan tanggal 1 Mei 1866 semasa penjajahan British. Semasa penjajahan, Kerajaan British mengambil alih kuasa dalam lembaga pendidikan dengan merampas dan menguasai seluruh pusat ilmu pengetahun dan pendidikan. Menurut British, mereka melakukan gerakan pembaharuan sistem pendidikan. Dengan cara itu, British dapat menyuntik virus ideologi ala Barat dan mengikis pemikiran dan keyakinan agama warga setempat.
Saat itu, para ulama Muslim khuatir tergesernya kepercayaan Islam akibat politik imperialis di dunia pendidikan. Keprihatinan tersebut mendorong mereka untuk berusaha keras menjaga, melindungi dan mempertahankan aqidah, budaya dan ajaran Islam di negeri itu. Masyarakat menerima dan menyambut baik usaha keras para ulama dan cendekiawan Muslim. Menggunakan dana yang terkumpul dari swadaya masyarakat, maka dibangunkan beberapa lembaga pendidikan yang menyebarkan berbagai cabang ilmu keislaman, sejarah Nabi SAW dan pemikiran murni Islam.
Banyak ulama dan cendekiawan yang terlibat dalam pekerjaan besar dan mulia ini diantaranya adalah Sheikh Imdadullah Muhajir Makki, Rashid Ahmad Gangguhi, Sheikh Dzul Fiqar Ali Deobandi, Hajj Abed Husein Kuceki, Sheikh Mohammad Ya’qub Nanutoui, Sheikh Fadhlur Rahman Utsmani Deobandi dan sederet nama lainnya.
Desa Deoband yang kecil semakin terkenal secara luas di India dan menjelma sebagai salah satu kota terpenting di negeri itu yang hanya berjarak 150 kilometer dari ibu kota, New Delhi. Sesuai dengan peredaran waktu, sekolah Islam Darul Uloom Deoband semakin berkembang dan maju dengan pesat sehingga berubah menjadi perguruan tinggi dengan nama Universiti Islam Darul Uloom.
Itulah antara intipati kuliah Dr Abu Laith. Panjang lebar tentang sejarah Universiti yang menjadi ‘taman asuhan’ beliau. Tidak dinafikan, Dr Abu Laith mahir dalam bidang hadith, tambahan pula, aliran pengajian beliau diakhiri dengan pengajian Kutub Sittah .Beliau hadami Sohih Imam Bukhari, Imam Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan Tirmizi, Sunan Nisai dan Sunan Ibnu Majah. Di samping itu, Dr Abu Laith juga mempunyai pelbagai ilmu pelengkap yang lainnya.
Fauzan amat mengagumi Dr Abu Laith. Fauzan bertekad titisan mutiara dari Dr Abu Laith tidak akan dibiarkan jatuh tanpa ditadah. Niat mahu melanjutkan pelajaran ke India atau Pakistan selepas tamat SPM tempoh hari dipendam, ibubapanya berharap agar Fauzan terus berada di dalam negeri sahaja.
Fauzan akur. Redha ibu bapa sentiasa didahulukan Fauzan. Rasa terkilan apabila bapanya terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi sebelum tibanya majlis ‘pengisytiharan’ kemahiran beliau dalam bidang agama. Kendati mawar pujaannya juga turut berperangai pelik sepanjang sebulan lalu selepas Hari Raya Puasa. Sepatutnya ceria untuk menyambut Hari Raya Korban yang bakal kunjung tiba, tapi kasihnya seakan turut akan di'korban'kan.
Syura dikenali tika dia kebetulan menziarahi sahabatnya Hasnul Razi di Banggol Stol, Pasir Mas Kelantan pada Hari Raya Puasa dua tahun lepas.
Syura pula menziarahi ibu saudaranya, bersebelahan rumah Hasnul.
Tika bersiap untuk pulang, Syura tiba-tiba jatuh pengsan. Adik Syura, Naimah pula tak semena-mena meraung. Dalam kelam kabut itulah, Hasnul pinta Fauzan cuba rawati mereka. Kata Hasnul, Syura telah lama ‘sakit’.
Muka Syura yang iras perempuan Cina, kulit halus lembut, bijak dalam kelas membuatkan ramai yang meminatinya. Sejak di tingkatan 3 lagi, Syura telah dipinang, namun ditolak. Fikir Syura, dia masih mentah, masih mahu meneruskan pengajian. Tanpa diduga, Syura jatuh sakit hingga terpaksa menangguhkan pengajian selama dua tahun. Setelah itu, dia gagahkan diri untuk meneruskan pengajian.
Pengajian Syura di Universiti Kebangsaan Malaysia turut menguji ketabahannya. Rebah dan pengsan di dewan kuliah, di bilik hostel sudah menjadi kebiasaan. Pernah suatu ketika, pensyarah menasihatkan agar Syura tangguhkan pengajian namun Syura ketepikan semua itu. Dia mahu buktikan yang dia yakin pada kuasa Tuhan yang menentu segala. Kejayaan bukan mustahil digapai dalam keadaan dirinya yang ‘sakit’.
Itu cerita Hasnul.
Sekarang, Syura pengsan lagi, adiknya pula meracau.
Terkumat kamit mulut Fauzan membaca ayat-ayat jampi . Pengajian yang diladeni di Darul Syifa dimanfaatkan sebaiknya pada saat ini. AlhamduliLLAH, setelah habis membacakan ayat-ayat penawar, Syura mula sedar. Kelihatan raut wajah seorang demi seorang kembali tenang setelah kalut melihat keadaan Syura.
"Emm untuk rawatan susulan, saya cadangkan makcik ambil 21 helai daun bidara, ditumbuk dengan lesung batu, kemudian dibacakan ayat-ayat yang akan saya tulis nanti. Air itu digunakan untuk bilasan mandi Syura. Kalau boleh, air yang digunakan tadi ditakung dan buang ke tempat yang tidak menjadi laluan manusia. Juga jangan lupa baca ‘la ilaaha illa Allah wahdahu la syarika lah,lahu almulk wa lahu alhamd yuhyi wa yumiit wa hua ‘al kulli syai’in qodiir sebanyak seratus kali setiap pagi."
Sejak peristiwa itu, Syura beransur pulih. Ketenangan merembes ruang hatinya. Tidak pernah dirasakan ketenangan sebegini sebelum ini. Bermula dari peristiwa tersebut, Syura mula berutus khabar dengan Fauzan. Terhutang budi yang amat. Hubungan mereka disenangi orang tua Syura. AlhamduliLLAH. Hidup Syura yang sebelum ini suram sedikit demi sedikit menjadi cerah. Langit hidupnya kembali ceria, awan yang suram sudah berarak pergi...
Labels:
Kisah,
Umum
Garapan
salmanfasiri
at
6:48 PM
0
comments
Dia Aisyah Ku 2
Thursday, January 28, 2010
Pagi ini, Saufi agak kepenatan. Semalaman dia tidak tidur. Namun kesempatan itu juag digunakannya untuk memanjatkan doa, menadah tangan kehadrat Yang Esa. Pohonnya, biarlah Allah yang mengatur untuknya. Moga kemelut itu akan berakhir dengan baik.
اللهم أحسن عاقبتى فى الأمر كله وأجرنى من خزى الدنيا وعذاب الأخرة
Ya Allah, elokkanlah kesudahan urusanku semuanya dan selamatkanlah daku dari kehinaan dunia dan azab di akhirat.
Saufi melangkah keluar dari biliknya di compartment A 107 blok A. Buku karangan Ibnu Qayyim al Jauziyyah, Hikmat Ujian dipegang kemas. Seusai solat malam tadi, iris matanya melirik ke arah buku itu. Seingat Saufi, buku itu kiriman seorang sahabat seusrahnya di Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi Lelaki, Nik Azrin. Dia kini berada di Mesir . Sepatutnya, Saufi turut sama menjejaki sahabatnya di sana, namun dia punyai matlamat untuk berada di Univesrsiti Islam Antarabangsa(UIA). Sudah agak lama buku itu tersimpan di rak, debu-debu mula menapak di muka kulit.
“ ..dan kemungkinan antara hikmah ujian ialah, ia merupakan satu peluang untuk meneliti kembali kejadian lepas, berhenti sejenak memikirkan perancangan akan datang . Oleh itu, ujian akan memberikan nilai tambah kepada mana-mana individu untuk lebih matang dan jiwa yang padu, juga memberikan keutuhan hati dan perasaan mendalam dalam minda seorang da’ie “
Itu kata-kata Ibnu Qayim dalam buku beliau. Ingin Saufi lanjutkan lagi bacaan , namun dia perlu masa yang tenang sebab itu buku itu dibawa bersama.
Perjalanan untuk ke kuliyyah hanya mengambil masa 5 minit sahaja dari Mahallah Zubair. Namun ada juga di kalangan muslimin menggunakan motorsikal. Bagi muslimah , Mahallah Safiyyah yang paling dekat dengan kuliyyah.. Saufi memilih untuk berjalan kaki. Baginya, berjalan boleh mencernakan minda, memberi senaman anggota. Apatah lagi Nabi Saw menyatakan :
Sesiapa yang menyusuri jalan untuk mencari ilmu Allah, pasti Allah akan mudahkan jalan untuknya (dengan sebab tujuannya) ke syurga..
Subjek yang perlu Saufi ikuti hari ini,ialah konsep penggunaan Kaedah Feqah. Subjek berkenaan oleh Dr Bari Awang. Beliau anak jati Tanah Merah Kelantan. Bangga juga Saufi. Bukan asobiah tapi ukhuwwah.
Menarik pula kupasan yang diberikan Dr . Ia berkenaan autoriti uruf dan adat dalam perundangan Islam. Kesimpulan akhir dari Dr Bari, turut mencuit hati Saufi
“..saya amat kurang bersetuju jika pelajar-pelajar saya kahwin semasa alam belajar. Kalau nak kahwin pun, buat kenduri makan bihun jela. Saya tahu, kamu semua bukannya ada duit pun, nanti dah habis belajar, bercerai..tak ada beza dengan orang di luar sana..jadi janganlah kerana adat orang nak kahwin awal, kamu pun nak kahwin juga”
Seusai kuliyah, saufi segera ke Mahallah Ali untuk menikmati juadah tengahari. Café di Mahallah Ali amat digemari para pelajar kerana menawarkan bukan sekadar harga yang murah tapi makanan yang amat menyelerakan. Tambahan pula, dia berjanji dengan Hasnul Razi untuk bertemu di café sana. Hasnul Razi adalah sepupu Syura. Dia mengambil jurusan undang-undang.
Assalamualaikum. Menung panjang Nampak
Walaikumussalam..takdela. Ana teringatkan kata-kata Dr Bari tadi. Sinis tapi bermakna
Oo yeke? Ke teringat buah hati?
Eh ke situ pula, ana serius la, teringat kata-kata Dr tadi.
Em ok..macamana dengan tawaran ana minggu lepas, jadi ke?
Em ana setuju, Cuma bagaimana dengan modal?
Modal tu, enta jangan runsing, umi ana janji untuk berikan duit simpanannya sebagai hutang kepada kita. Ala, bukannya banyak pun kalau kita berhutang ni, lagi pun umi ana tak kisah bila kita nak bayar.
oo..em oklah, hal ehwal promosi, ana akan laksanakan, enta hanya dapatkan bekalan perfume, printer dan tempahan t-shirt muslimah juga jubah.Boleh?
Boleh je ya syeikh..er..satu lagi..enta ada jumpa Fauzan?
Em semalam ana jumpa,kenapa?
Dia ada call ana, tapi ana ‘silent’kan handset, ana agak dia mesti ingin tanyakan pasal Syura…
Hasnul memandang Saufi, tiada kata bersahut darinya. Nafas ditarik panjang…dia kaget lagi.
Kelibat Fauzan harini tidak dilihatnya. Biasanya paling tidak Fauzan akan sertai mereka di café Mahallah Ali. Bagaimana dia?...
Labels:
Kisah,
Umum
Garapan
salmanfasiri
at
7:32 PM
5
comments
