Bismillahirrahmanirrahim..
Baru hari ini dapat meluangkan masa untuk mencoret di kanvas 'terbiar' ini.
Setelah berhempas pulas menghadapai peperiksaan semester II, kini tiba masanya meredakan ketegangan minda.
Tempoh masa gap antara peperiksaan semester, ana mengambil peluang untuk balik menjenguk ibunda dan ayahanda di kampung, juga bertemu sanak saudara. Maklumlah, keredhaan dan doa ibunda dan ayahanda amat diperlukan dalam apa jua saat lebih-lebih lagi saat 'genting'.
Niat asal untuk bersua, akhirnya menjadi satu majlis solat hajat dan kesyukuran, dek kerana sang ibu menyarankan untuk mengadakan doa selamat kerana usia kandungan sudah menjangkau 7 bulan. Biasalah adat orang Melayu dulu-dulu (sekarang pun, di beberapa tempat), jika usia andungan sudah sampai 7 bulan, maka melenggang perut le jawabnya. Namun bidan yang dijemput tidak dapat menghadirkan diri :) ( alhamdulillah sebab dengar khabarnya adat melenggang ini kurang sesuai dengan Islam ).
Khalas.....
Sudah banyak kali mendapat SMS dari pusat servis 63888
"Tahniah no anda 013 969 **** telah dipilih untuk memenangi hadiah content percuma, sila taip ON ** untuk menerima servis percuma "
Bukan itu sahaja, SMS dari salah sebuah syarikat telekomunikasi turut diterima :
"C****mOffer: M/turn2Call MeTones Kmp Sejati&Azura-Pasrah Cinta+Segala Yang Tak Pasti.....Dail *118*......."
Pastinya ramai yang keliru dengan tawaran ini. Saya juga tidak terkecuali. Jika sebelum ini, saya hanya men'delete' sahaja segala bentuk SMS sebegini, namun oleh kerana saya mengagak bahawa nombor yang diminta untuk didail itu memberi maklumat yang ingin saya ketahui, saya hanya klik untuk mengetahui lebih lanjut. Apa yang keluar selepas mendail nombor yang diberi, saya menerima SMS :
" 22990:Pembelian lagu berjaya. RM1.50 telah dicaj ke akaun anda. Langganan lagu akan diperbaharui setiap minggu. Tertakluk kepada terma dan syarat"
Itulah 'hasil' yang saya perolehi. Terkedu.
Jika syarikat telekomunikasi yang diyakini dimiliki oleh Bumiputra, promosi yang mengunakan tag "berbaloi-baloi" dan "memang berbaloi", dengan menggunakan aktres wanita popular, tuntas untuk mengaut keuntungan sebegini, apatah lagi syarikat telekomunikasi yang lain?
Dasar Hukum
Ya, Islam memang menggalakkan umatnya untuk mencari sebanyak mungkin harta. Perniagaan digalakkan kerana ia banyak memberi manfaat pada kedua-dua pihak. Segala perkara yang boleh mendatangkan keuntungan dibolehkan, namun kawalan juga dibuat dan terikat dengan garis panduan. Ringkasnya sebagaimana berikut :
1. Persetujuan bersama
Kedua-dua pihak,pembeli dan penjual mesti saling berpuas hati dalam urusan jual beli barang/ perkhidmatan. Tiada unsur syak wasangka atau ketidapuasan yang bersarang dihati setelah urusniaga barang/ perkhidmatan dilakukan.
2. Tiada gharar (penipuan)
Segala bentuk perniagaan hendaklah perlu jelas, tanpa ada terselit sesuatu yang kurang jelas, kurang difahami. Bahkan pembeli punyai hak untuk memulangkan barang atau mendapat gantirugi sekiranya barang/ perkhidmatan tidak sebagaimana yang dijelaskan.
Perkataan "mengikut terma dan syarat" adalah sesuatu yang tidak jelas dari aspek perjanjian dan kontrak. Ia berbentuk umum, bahkan terkadang pihak penjual/ server mengepilkan ayat terma dan syarat yang sukar difahami orang awam. Juga terlampau 'banyak' untuk dibaca kesemuanya. Ya memang kesalahan tidak harus dituding kepada server jika orang tidak membacanya, tetapi server seolah-olah sengaja 'membuatkan' orang awam untuk 'malas' membacanya.
3. Bidang Halal
Barang/ Perkhidmatan yang ditawarkan wajib dalam ruang lingkup yang dibenarkan agama. Tidak boleh melibatkan arak, judi, tenung nasib. Dalam masalah ini, banyak perkara yang hampir kepada judi sms. Sebagai contoh":
"Sms ke 63488 dan jawab soalan, anda mungkin memenangi iPod4. Setiap SMS akan dikenakan caj RM0.30".
Saya agak, hadiah yang ditawarkan mungkin nampak besar pada mata seorang individu, namun ia jauh lebih kecil berbanding keuntungan server yang menawarkan hadiah. Bayangkan jika sejuta orang yang mencuba nasib, secara mudahnya pihak yang menganjur akan mendapat RM300 000!!! Sungguh mudah untuk mendapat wang (dengan memanipulasi kehendak pengguna).
Dunia Kapitalis
Dunia kapitalis tidak mementingkan semua itu. Yang penting ialah mendapatkan keuntungan sebanyak-banyaknya. Matlamat menghalalkan cara. Tiada sekatan melainkan akta-akta yang digubal oleh kerajaan. Ia tidak dikaitkan dengan agama. Tidak mementingkan halal haram.
Keadilan jarang dapat ditegakkan jika fahaman kapitalis masih terpasak kukuh . Diharapkan sahabat di luar sana tidak terpedaya dengan SMS yang memberi kekeliruan dan tawaran 'hebat' dari mana-mana server.
Followers
Tahniah!! Anda Berjaya
Saturday, May 14, 2011
Labels:
Bicara Hati,
Hukum,
Isu,
Pendapat,
Tazkirah
Garapan
salmanfasiri
at
2:27 PM
4
comments
Mimpi : Antara Kebenaran dan Igauan
Thursday, November 19, 2009
Bertalu-talu YM saya dihujani dengan persoalan yang saya kira agak 'lawak'
Kebanyakan ingin bertanya tentang mimpi yang mereka alami. Memang saya tidak nafikan, sejak posting tentang istikharah tempoh hari, pelbagai reaksi diterima yang tidak dimasukkan dalam ruangan komen.
Saya bukanlah ahli untuk mentafsir mimpi anda.Ya, saya akui saya pernah belajar ilmu tafsir mimpi juga saya tidak nafikan bahawa guru mursyid saya , Maulana Kamaluddin Al-Mustarsyid yang mengajar saya kitab Misykat Masobih dan juga Sunan atTirmizi ( saya juga mengambil sanad tafsir al-Quran dari beliau ) adalah orang yang mahir tafsir mimpi. Tapi itu adalah guru saya, dan bukan saya. Memang banyak mimpi yang saya alami ditafsir beliau dan kesemuanya adalah mimpi yang baik. AlhamduliLLAH.
TAMAT
Apa pun di sini saya ingin kongsikan beberapa permasalahan tentang mimpi, sesuai dengan tajuk posting dengan tidak membincangkan secara terperinci dalam setiap sudut permasalahan tentang mimpi
Pembahagian Mimpi
أنه عليه الصلاة والسلام قال: )) إن الرؤيا ثلاث: منها أهاويل من الشيطان ليحزن بها ابن آدم، ومنها ما يهم به الرجل في يقظته فيراه في منامه، ومنها جزء من ستة وأربعين جزءًا من النبوة ((.
Maksudnya : Nabi SAW bersabda : Mimpi itu ada tiga jenis; antaranya perasaan yang menggerunkan daripada syaitan bertujuan untuk mencampakkan kesedihan kepada anak Adam, sebahagiannya hasil dari apa yang yang diimpikan seseorang di kala jaganya lalu dia melihatnya ( impiannya berlaku ) dalam mimpi, dan antaranya sebahagian daripada 46 bahagian kenabian
( Riwayat Ibnu Majah )
Di sini ada tiga pembahagian mimpi :
- mainan (igauan ) dari syaitan
- perasaan sebelum tidur
- kebenaran dan berita gembira
- Mainan (Igauan) Syaitan
Ia adalah mimpi buruk yang dimainkan oleh syaitan yang bertujuan mecampakkan kesedihan kepada orang Islam.
Oleh itu jika seseorang itu mendapat mimpi buruk, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan :-
- membiarkan sahaja mimpi itu tanpa memikirkannya
- tatkala tersedar dari tidur, tiupkan 3 kali ke kiri sambil membaca ta'awwudz, berubah kedudukan tidur
أن أبا سلمة قال: كنتُ أرى الرؤيا فأمرض منها، حتى لقيت أبا قتادة فذكرت ذلك له فقال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: ((الرؤيا من الله، والحلم من الشيطان، فإذا حلم أحدكم حلمًا يكرهه فلينفث عن يساره ثلاثًا ويتعوذ بالله من شرها، فإنها لن تضره ))، قال أبو سلمة: إن كنت لأرى الرؤيا أثقل عليَّ من الجبل، فما هو إلا أن سمعت بهذا الحديث فما أباليها.
Maksudnya : Bahawa Abu Salamah berkata : Aku bermimpi yang menyebabkan aku sakit sehinggalah aku bertemu dengan Abu Qatadah lalu aku beritahu kepadanya tentang mimpiku, dia berkata : Aku mendengar RasuluLLAH SAW bersabda : Mimpi itu dari Allah manakala igauan adalah darisyaitan, sekiranya seseorang mendapat igauan yang dia tidak suka maka hendaklah dia hembuskan ke kiri tiga kali dan memohon perlindungan dari Allah agar dilindungi dari kejahatan kerana ia tidak akan dapat memudaratkannya. Abu Salamah berkata : Selepas itu aku bermimpi sesuatu yang lebih berat daripada bukit, namun aku tidak pernah menghiraukannya setelah mendengar hadis ini.
(riwayat Muslim)
c. tidak menceritakan kepada sesiapa
جاء أعرابي إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، رأيت في المنام كأن رأسي ضُرب فتدحرج فاشتددت على أثره!! فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم للأعرابي: ((لا تحدّث الناس بتلعُّب الشيطان بك في منامك((.
Maksudnya: Seorang Badwi telah datang bertemu Nabi SAW seraya berkata: Wahai RasuluLLAH Aku bermimpi seolah-olah kepalaku dihentak dan terburai, menyebabkan aku terkesan dengan mimpi tersebut. Nabi SAW bersabda : Jangan engkau ceritakan kepada orang ramai tentang mainan syaitan dalam tidurmu
( Riwayat Muslim)
- Perasaan Sebelum Tidur
Biasanya seseorang yang sebelum tidurnya banyak memikirkan tentang sesuatu perkara, kemungkinan perkara yang difikirkan itu akan hadir dalam mimpi. Dalam keadaan begini, mimpi itu juga termasuk dalam perkara yang tidak perlu ditafsirkan.
- Mimpi Yang Benar
Ia merupakan kegembiraan kepada orang mukmin
قال صلى الله عليه وسلم : ((إذا رأى أحدكم رؤيا يحبها فإنما هي من الله، فليحمد الله عليها وليحدث بها((
Maksudnya : Nabi SAW bersabda : Apabila seseorang dari kamu bermimpi sesuatu yang dia suka, sesungguhnya itu adalah dari Allah maka pujilah Allah terhadap kurniaan mimpi itu dan khabarkan tentangnya
( Riwayat alBukhari )
Nabi SAW juga bersabda:
(( ولا يخبر بها إلا من يحب))
Maksudnya : Janganlah dia khabarkan kecuali kepada orang yang dia suka (sayang)
( riwayat Muslim )
Ciri-Ciri Mimpi Yang Boleh Ditafsir
- mimpi tersebut tidak bercampur aduk, tidak bertentangan, tidak terputus-putus malah mempunyai hubungkait dari awal hingga akhir. Secara mudah, ia mempunyai permulaan dan akhiran. Hanya satu episode sahaja
- perkara yang dilihat dalam mimpiadalah perkara yang bukan mustahil
- tidak melibatkan perkara yang bermain di fikiran tika hendak tidur
- yang paling penting, seseorang itu tidak berbohong dalam percakapannya, kerana orang yang sentiasa bercakap benar akan selalu mendapat mimpi yang baik
- mengandungi dorongan melakukan kebaikan atau ingatan dari melakukan maksiat
Beberapa Teguran Sekitar Mimpi
- ramai yang leka berbicara tentang mimpi, persoalan tafsiran dan menganjurkan ruangan khas atau majlis hanya bertujuan untuk mentafsir mimpi sedangkan banyak lagi perkara dan tanggungjawab yang lebih penting untuk dilakukan
- manusia akan terdedah kepada kesalahan tafsiran mimpi atau mungkin juga manusia akan berbohong tentang mimpi dengan mendakwa bermimpi itu dan ini sedangkan ia hanyalah rekaan dari orang tersebut. Ini adalah dosa besar
- ramai yang terlalu ingin tahu tafsiran mimpi sehinggakan sesiapa sahaja yang dia jumpa, pasti akan ditanya tentang tafsiran mimpi yang dialami. Sedangkan ini tidak sepatutnya berlaku dan telah dijelaskan pada awal posting ini, bahawa mimpi hanya boleh diceritakan pada orang tertentu sahaja
- kebanyakan kita mencari-cari dan memiliki buku tafsiran mimpi bahkan dijadikan rujukan utama sedangkan mimpi yang sama jika dialami oleh orang yang berbeza, berkemungkinan akan berbeza tafsirannya
Saya sendiri mempunyai banyak mimpi yang saya biarkan sahaja dan saya hanya mengetahui kebenaran mimpi setelah ia berlaku di alam realiti .
Masih ada mimpi yang bagi saya adalah baik ( sentiasa bersikap positif ) yang saya rasa akan berlaku dalam tempoh terdekat . Ia tentang jodoh saya mungkin :p
Labels:
Hukum
Garapan
salmanfasiri
at
5:44 PM
3
comments
Keagungan 10 Awal Zulhijjah
Wednesday, November 18, 2009
- Zulhijjah merupakan antara bulan haram. Sebagaimana Firman Allah :
﴿إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ ..﴾ (التوبة 136
Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan yang termaktub dalam kitab Allah, sejak penciptaan langit dan bumi, antara (dua belas bulan) itu ada empat bulan haram, itulah agama yang lurus , janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan tersebut
- Zulhijjah adanya ibadah haji :
وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ
Maksudnya : dan supaya mereka mengingati nama Allah pada hari-hari yang tertentu ( iaitu hari-hari pelaksanaan ibadah haji ).
Dalam ayat lain Allah menyatakan :
واذكروا الله فى أيام معدودات
Maksudnya : Dan ingatlah Allah pada beberapa hari tertentu ( iaitu hari Tasyriq, 11,12,13 Zulhijjah )
- Zulhijjah mempunyai 10 hari yang istimewa:
وَالْفَجْرِ * وَلَيَالٍ عَشْرٍ
Maksudnya : Demi waktu fajar. Dan malam-malam yang sepuluh
Sepuluh malam yang dimaksudkan ialah 10 malam awal zulhijjah
Sabda Nabi SAW:
ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى الله عز وجل من هذه الأيام، قالوا: ولا الجهاد في سبيل الله يا رسول الله؟ قال: ولا الجهاد في سبيل الله، إلا أن يخاطر أحدكم بنفسه وماله ولم يرجع من ذلك بشيء
Maksudnya : Tidak ada hari yang mana amal soleh terlebih disukai Allah berbanding dengan hari-hari ini. Sahabat bertanya: walaupun jihad wahai Rasulullah,jawab Baginda SAW : Ye walau jihad sekalipun (tidak dapat menyamai amalan di hari ini ) melainkan seorang itu keluar bersama jiwa raga dan hartanya, lalu dia tidak pulang membawa sedikitpun benda tadi .
(Riwayat alBukhari )
p/s : Riwayat alBukhari berbeza dengan riwayat lain dengan lafaz يخاطر sedang riwayat-riwayat lain يخرج
Amalan-amalan Yang digalakkan Sepanjang 10 Awal
1. Berpuasa terutama pada 9 Zulhijjah
عن بعض أزواج النبي صلى الله عليه وسلم قالت : كان النبي صلى الله عليه وسلم يصوم تسع ذي الحجة ويوم عاشوراء وثلاثة أيام من كل شهر . أول اثنين من الشهر وخميسين
Maksudnya: Daripada beberapa orang isteri nabi SAW, katanya : Adalah Nabi SAW berpuasa pada 9 Zulhijjah, 10 Muharam, tiga hari setiap bulan, hari Isnin pertama tiap bulan dan juga hari Khamis .
( Riwayat AnNisai )
2. Memperbanyakkan takbir, tahmid, tahlil, tasbih. Mengangkat suara di mana-mana sahaja ( dengan tidak menganggu orang lain). Wanita tidak perlu mengangkat suara
وعن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما ، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ( ما من أيام أعظم عند الله ولا أحب إليه العمل فيهن من هذه الأيام العشر فأكثروا فيهن من التهليل والتكبير والتحميد
Maksudnya: Dari Abdullah bin Umar ra katanya, dari Nabi SAW bersabda : Tidak ada hari yang lebih agung di sisi Allah, juga amalan yang paling disukai-NYA , berbanding hari yang sepuluh ini, maka perbanyakkanlah padanya tahlil, takbir dan tahmid
( Riwayat Ahmad )
- Menunaikan ibadah Haji dan Umrah
5. Melakukan ibadah korban pada hari ke Raya dan atau pada hari Tasyriq
( 11, 12, 13 Zulhijjah )
- Memperbanyakkan apa sahaja amalan baik
7. Bertaubat kerana beberapa sebab:
- kita tidak tahu bila malaikat maut akan menjemput kita
- setiap dosa atau maksiat yang dilakukan pasti akan diekori oleh maksiat yang lain, menyebabkan semakin banyak dsa yang kita lakukan
.
Labels:
Hukum,
Tazkirah
Garapan
salmanfasiri
at
4:16 AM
0
comments
