Followers

Maulidur Rasul : Hanya Perarakan ?

Wednesday, February 17, 2010


Segala pujian dipanjatkan untuk Yang Maha Agung

AlhamduliLLAH, kita masih diberi peluang untuk menyedut udara tanpa bayaran. Bayangkan jika Allah menetapkan bayaran tertentu terhadap oksigen yang disedut, pastinya sedikit sahaja bilangan manusia . Namun dek kerana apa yang ada di dunia ini tidak bernilai di sisi Allah melainkan iman dan taqwa, segala apa yang manusia perlukan, tidak pernah diabai oleh-NYA.

Sabda Nabi SAW:

" Jika sekiranya apa yang ada di dunia ini mempunyai nilai sebesar sayap nyamuk, pasti Allah tidak akan memberi minum pada golongan yang kufur pada-NYA. " ( Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Tibanya bulan Rabiul Awwal, mind set kebanyakan umat Islam pasti tertumpu pada sambutan Maulidur Rasul. Angka 12 yang agak sinonim dengan umat Syiah terus disadur masuk dan dihayati bersama hampir kesemua golongan Sunni. Walaupun dari sudut pandangan ahli sejarah dan ulama Islam, kelahiran Nabi SAW pada 12 Rabiul Awwal adalah pendapat yang paling tercorot.

Tidaklah penulis ingin membicarakan soal hukum sambutan dan perihal sekitar sambutan tapi lebih kepada penilaian terhadap persoalan selepas sambutan.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz menyatakan bahawa tiadanya fadhilat bulan Rabiul Awwal berbanding Ramadhan. Tepat sekali!! Namun adanya suara sumbang mempertikaikan kenyataan ini yang dikatakan mempunyai unsur-unsur politik.

Tika isu Kalimah Jalalah, kumpulan politik itulah yang menjadi juara demonstrasi, kini mereka tampil lagi menyelar kerajaan yang 'dituduh' menghalang sambutan Maulidur Rasul.

Apakah penghayatan mereka hanya pada sambutan zahiriyah? Atau adakah Islam itu hanya pada laungan kata?

Imam Bukhari dalam metod penulisan Al Jami' Assohih, membawakan satu bab " Islam : Kata-kata dan Amalan ".
Beliau bawakan hadis-hadis yang membuktikan bahawa Islam bukan dengan laungan kata, tetapi lebih kepada pelaksanaan dalam kehidupan . Terjemahan hidup dalam semua aspek.

Seorang yang cintakan Nabi SAW bukanlah hanya dengan menyambut kelahiran semata - mata bahkan dibuktikan dengan pelaksaan segala apa yang dibawa. Janganlah tika Maulidur Rasul, berarak ke sana- sini namun selepas itu rasuah kronisme nepotisme menjadi pakaian .

Sabda Baginda Rasul SAW:
"Orang yang paling dekat denganku pada hari Kiamat ialah mereka yang paling banyak berselawat ke atasku"
( Hadis Riwayat Bukhari )


******************************************************

Isu Kartika pula telah lama dan menghampiri 'basi'. Halangan-halangan pelaksanaan hukuman Islam ke atas beliau dijadikan alasan . Terbaru perlu menghadap Sultan untuk keputusan dan tindakan selanjutnya.

Kenapa perlu menghadap Sultan? Iya, sememangnya Sultan adalah Ketua Agama tetapi tak kanlah Majlis Agama atau Mahkamah yang punyai autoriti, teragak-agak untuk pelaksanaan hukuman tersebut.

Teringat kisah seorang sohabiyah Al-Ghomidiyah yang meminta RasuluLLAh melaksanakan hukuman rejam ke atasnya. Beriya-iya sohabiyah tersebut ingin menyucikan diri dari dosa dengan meminta pelaksanaan hukuman rejam.

Semoga Kartika juga disucikan dan bertambah hidayah... Juga menjadi 'ibrah' bagi yang masih 'derhaka' pada Yang Esa

Kembali Untuk Bercuti?

Tuesday, February 16, 2010


Segala pujian hanya hak milik mutlak DIA Yang Esa.

Setelah melalui 15 jam perjalanan dari Mesir-KLIA - Kota Bharu, akhirnya dapat juga menjejakkan kaki ke kampung halaman. Ibu pun belum balik lagi, masih berada di rumah ibu sepupu kerana perlu siapkan masakan untuk jamuan keesokan harinya, sempena majlis menyambut menantu.


masih berada di awan, kapten kapal telah mengumumkan, kapal terbang akan mendarat tidak berapa lama lagi, masa ni, tali pinggang keledar sudah dipakai....

AlhamduliLLAH sudah , kapal terbang sudah menjejakkan tayarnya di bumi (tar ) Malaysia lebih kurang jam 1545 petang. Agak tepat pada masanya. seluruh badan lenguh.


Bersama dengan Ustaz Iskandar Shah aka Ustaz Cu . Flight kami ke Kota Bharu jam 2235 malam. Kami mengambil flight terakhir kerana bimbang berlaku delay pada penerbangan egyptair

Rupanya saya satu penerbangan bersama Dr Yusri Al-Hasani, pakar bedah Mesir yang juga Ustazul Hadith . Beliau telah pun menamatkan pengajaran Kitab Tirmizi dan sekarang baru memulakan kuliah Sunan Abi Daud. Beliau datang ke Malaysia bagi memenuhi undangan ceramah dan jaulah sempena Rabiul Awwal.


Penerbangan ini juga turut 'membariskan' personaliti RTM. Krew TV datang ke Mesir atas menyiapkan satu program terbitan Syed Munawar (betul ke namanya ni)


Sebelum berpisah, kami berlima bergambar kenangan. Kak Za yang merupakan senior di Mesir, tidak pernah balik ke Malaysia sehinggalah tamat ijazah Master beliau di Al-Azhar dalam bidang feqah. SubhanaLLAH, barakaLLAH laki

" Maka mengapakah tidak ada segelintir dari mana-mana kelompok keluar untuk mendalami agama, juga untuk memberi peringatan kepada kaum mereka apabila mereka pulang nanti, supaya kaum mereka berwaspada "

Forum Terakhir : Manhaj Pengajian Hadis, Usul dan Dakwah

Sunday, February 14, 2010


AlhamduliLLAH, malam tadi berlangsungnya satu forum anjuran Lajnah Pengetahuan Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir di bawah tajuk " Pengenalan Manhaj Pengajian Hadis, Usul dan Dakwah.

Progam siri pertama ini membariskan ahli panel yang terdiri daripada Ustaz Abdul Azib b Husin ( Master Syariah Al-Azhar ), Ustaz Mohd Zulkifli Abdul Ghani(Master Dakwah Al-Azhar) dan penulis . Moderator ialah Ustaz Mohd Arifuddin Wan Abdul Razak ( Master Usuluddin Al-Azhar).

Forum dibahagikan kepada 3 slot, iaitu 2 slot untuk ahli panel dan 1 slot soal jawab.

Antara isi penting untuk slot 1 dan 2 ialah:

Ustaz Abdul Aziz

Slot 1

  • pengertian manhaj : pandangan umum tentang sesuatu perkara yang mempunyai matlamat, tujuan dan garis panduan
  • ilmu usul ialah ilmu yang membahaskan bagaimana mencari kefahaman dan membuat kesimpulan hukum dari dalil-dalil Al Quran , Sunnah, Ijmak dan Qiyas.
  • seseorang yang mendalami kesemua cara memahami sumber dalil, akan mencapai taraf mufti yang boleh mengeluarkan fatwa

Slot 2 : Apikasi usul
  • apabila sesuatu persoalan semasa diajukan oleh penanya, ulama akan meneliti sumber hukum yang ada kaitan dengan persoalan yang dikemukan, seterusnya mempastikan sumber dan dalil yang diguna adalah bertepatan dengan persoalan dan seterusnya mengkaji pendapat-pendapat ulama terdahulu lalu membuat kesimpulan hasil dari pengkajian beliau.
  • Sebagai contoh dalam bab pinjaman dengan faedah, ulama akan meneliti semua dalil yang membicarakan tentang pinjaman, seterusnya melihat kata-kata ulama terdahulu, mengkaji syarat-syarat pinjaman dalam Islam dan seterusnya membuat kesimpulan tentang persoalan tadi. (contoh ini adalah dari penulis, sebab tidak jelas tentang contoh yang diberi ahli panel)
Penulis
Slot 1: Pengenalan Manhaj Hadith
  • pengertian hadis adalah berbeza mengikut kefahaman bidang. dalam feqah, hanya melihat hadis dalam skop hukum , bidang sirah mengkaji hadis dari aspek sejarah, namun ahli hadis melihat hadis dalam semua aspek gerakan dan diam Nabi SAW.
  • perbahasan dalam ilmu hadis : merangkumi penukilan hadis dari generasi ke generasi, pengkajian sifat perawi hadis, nilai dan taraf hadis samada boleh diterima atau tidak
  • peringkat pengajian : perlu melengkapkan diri dengan ilmu asas seperti ilmu bahasa arab, sastera arab, mantik, usul feqah, usul tafsir dan juga usul hadis.
  • ini penting kerana pemahaman hadis merangkumi kesemua bidang tersebut
slot 2 : Aplikasi dan Cabaran
  • menambah keyakinan terhadap hukum dan amalan yang dilakukan , semuana bersandarkan dalil
  • bersangka baik terhadap ulama yang menyatakan hukum secara ringkas
  • dapat mempastikan segala berita yang diterima bertapis .
  • cabaran yang dihadapi ialah, akan adanya tohmahan dari orang yang tidak memahami. Tohmahan seperti ahli hadis tidak mahir feqah, keluar dari Ahli Sunnah wal Jamaah. Memporak peranda masyarakat dan sebagainya.

Ustaz Zulkifli
Slot : Manhaj Dakwah Dan al-Azhar
  • perbezaan metod dakwah Nabi antara period di Mekah dan Madinah yang mana di Mekah metod dakwah hanyalah tertumpu kepada kaum kerabat dan pemasakan aqidah sahaja manakala Madinah lebih kepada dakwah semesta dan pengukuhan hukum dan hubungan sesama
  • perbezaan metod zaman Umayah, Abasiyah
  • kemasukan unsur-unsur luar contohnya Yunani dan Greek
  • Metod Al-Azhar ialah wasatiyah ( sederhana), tidak kesampingkan ilmu dunia, amar makruf nahi munkar dan terbuka dalam semua bidang ilmu
Slot 2 : Permasalahan Sekitar Dakwah
  • berlakunya kepelbagaian manhaj yang akan membawa kepada percanggahan satu sama lain yang ingin menegakkan manhaj masing-masing
  • peranan al-Azhar dalam menyatukan kesemua manhaj
Soalan-soalan dari penonton
  • Isu pembinaan tembok Mesir yang menyekat penduduk Palestin
  • Isu Kalimah Allah
  • Persoalan sekitar menyatukan semua manhaj contohnya manhaj aqidah salaf khalaf
  • Manhaj Nasiruddin Al-Albani yang ada mengkritik Sohih Bukhari
  • Manhaj Aqidah ahli Hadith
  • Siapakah yang menjadi keutamaan dalam dakwah, adakah pemerintah atau rakyat
  • Solat Hifzi: antara hadis, bagimana tarafnya di sisi ahli hadith
Kesemua soalan dijawab dengan baik oleh kesemua ahli panel. Ustaz Zulkfli dan moderator mendapat perhatian berikutan celoteh mereka..

Hingga bertemu lagi pada siri ke 2

Dia Aisyah Ku 5 ( Last )

Friday, February 12, 2010

Damai pagi ini menenangkan lembah hati Fauzan. Kicauan burung di atas dahan rambutan di hadapan rumahnya menceriakan suasana.

Zikir ma’thurat telah dihabisi bacaannya. Seingat Fauzan, as-Syahid Hassan Al-Banna yang memulakan iltizam zikir mathurat. Pengasas gerakan Ikhwan Muslimin Mesir itu mati ditembak pada 8 Februari 1949 dihadapan bangunan pejabat beliau. Biarpun jasad telah lama bersemadi, namun roh yang ditiupkan beliau masih menghidupkan jiwa pemuda-pemuda Islam seantero dunia.

Benih-benih semangat kebangkitan Islam mula bertunas dan tersebar di kebanyakan negara yang didiami umat Islam. Malaysia juga tidak terkecuali dari merasai hembusan semangat as-Syahid Hassan Al-Banna.

Imbasan minda terhenti apabila kotak mesej handsetnya berbunyi. Satu mesej baru diterima.

“Assalamualaikum ustaz, moga sihat sentiasa. Pohon kemaafan dari saya, mak minta saya teruskan dengan Ustaz Saufi. Saya doakan agar ustaz dikurniakan pasangan yang lebih baik dari saya. Saya sentiasa doakan ustaz. Terima kasih kerana sudi bersusah payah merawat saya dulu.“


Hatinya bagai disentap. Degupan jantung tidak menentu, termengah seakan dikejar singa. Lantas butang handset ditekan.

“Wa’alaikumussalam. Ustaz Saufi? Saufi mana? Teman saya?”

“Ya”. Balasan ringkas dari Syura.

"Kenapa boleh jadi begini? Bukankah Syura pernah nyatakan, hasil istikharah Syura adalah saya? Adakah Syura tidak yakin dengan pilihan Allah? Ingatlah, Allah menguji keyakinan hambaNya selepas istikharah."

"Maaf Ustaz, mungkin tika istikharah, saya tidak serahkan sepenuhnya urusan pada Allah, mungkin kala itu saya dikuasai emosi hinggakan hanya Ustaz yang bermain diminda. Maafkan saya sekali lagi. Harapnya Ustaz dan saya dapat meredhai apa yang berlaku."

Fauzan terkedu. Jari jemarinya sejuk membeku, tangannya kaku tidak berdaya menekan butang handset.

Telahannya selama ini benar. Kenapa Saufi selalu bermain kata? Sering melarikan diri bila soalan diaju. Malah Fauzan dapat rasa perubahan Saufi. Jika dulu mereka sering bersama, di surau, di padang bahkan di perpustakaan sekalipun. Keakraban mereka sering disalah sangka rakan lain.

"Ahh aku mesti bertemu Saufi. Tidak ku sangka, tegarnya seorang sahabat mencantas sahabatnya sendiri. Ilmu apakah yang diguna? Kaedah apakah yang dipakai?" Hati Fauzan bermonolog.

“Salam alaikum, akh, boleh kita jumpa? Di restoran Sate Razak, jam 5 petang ni. Penting.”

Mesej ringkas dihantar buat sahabatnya, Saufi.

Fauzan teringat kata-kata Dr Abu Laith tika dia menceritakan perihal mimpinya.

"Tuan Syeikh, saya mimpi seorang wanita tersenyum ke arah saya."

"Emm wanita tu, kamu kenal?"

"Ya, kenal sangat-sangat bahkan saya punyai perasaan terhadapnya."

"Kamu mungkin bukan jodohnya."

"Ha! Kenapa pula syeikh? Bukankah dia tersenyum ke arah saya? Bahkan dia terhias cantik dan memakai pakaian pengantin. Kenapa pula tafsirannya begitu? Bukankah Nabi SAW pernah bermimpi, Aisyah dibawa untuknya dalam pakaian pengantin?"

"Itu RasuluLLAH. Mimpi perkahwinan baginda adalah realiti. Jika seseorang yang sudah berumahtangga bermimpi dia mengahwini wanita lain, itu berbentuk pasti."

"AstaghfiruLLAH. Iya, saya akui, saya amat kerdil jika nak ‘qiyaskan’ pada tubuh badan RasuluLLAH. Adakah Tuan Syeikh boleh agak siapa yang secocok untuk wanita dalam mimpi saya?"

"Mungkin sahabat terdekat kamu yang menjadi suaminya. Bukankah wanita dalam mimpimu tersenyum? Simbolik dari itu, hanya orang yang rapat sahaja mampu tersenyum padamu."

"Sahabat terdekat? Siapa?"

"Fauzan, jangan kamu terlalu yakin dengan tafsiran saya, segala perkara ghaib, adalah milik mutlak Yang Maha Agung."


Sebuah kereta GEN 2 berhenti betul-betul di hadapan restoran. Sesusuk tubuh menampakkan diri, keluar dari kereta. Saufi datang tepat pada masa yang dijanjikan. Memang itu sudah menjadi tabiatnya sejak di sekolah menengah lagi. Dia berpakaian seperti baru selesai solat Asar.

Alwaqtu kassaifi, in lam taqta’hu qoto’aka – Waktu umpama pedang, jika kamu tidak mencantasnya, ia akan mencantas kamu. Itu pesan Ustaz Husin waktu dia menjejakkan kaki ke tingkatan satu di Maahad Muhammadi Lelaki.

Namun Fauzan pernah mencelah, “Ustaz, ayah saya cakap, alwaqtu ka burung, iza lam tangkap, fa terbang lah ia.”

Seisi kelas terburai ketawa. Ustaz Husin pula tersenyum sambil mengeleng-ngeleng kepala.

“Assalamualaikum akh, apa khabar?” Fauzan memulakan bicara

"Wa’alaikumussalam, baik insya Allah."

"Tak ke mana-mana ke cuti raya ni?"

"Mungkin tidak, akh Fauzan. Berada di rumah lagi tenang." Sambut Saufi. Mata dikenyitnya.

"Ya sememangnya tenang, menghitung hari majlis perkahwinan dengan Syura kan?“ terjah Fauzan.

"Kenapa akhi rahsiakan dari ana? Bukankah sebelum ni kita selalu berkongsi rasa?" Sambung Fauzan lagi .

"Akh Fauzan, ana sebenarnya tidak berniat untuk menyimpan rahsia, cuma mungkin masa belum tiba. Tambahan pula, ana tidak tahu bagaimana harus berdepan dengan akh."

"Ana berkali-kali tanya akh tentang ni, tapi akh membatu seribu bahasa. Susah sangat ke nak beritahu perkara ni?"

"Akh, ana tau ana salah. Kalau diluah, bimbang akh tidak dapat menerimanya. Kalau ditelan, makin kusut jadinya." Balas Saufi. Dia juga mungkin tersilap bila sembunyikan hal sebenar dari Fauzan.

"Memang makin kusut, tapi perkara ini sepatutnya tiada rahsia. Ana muyskil, bukankah akh ingin mencari pasangan yang namanya Aisyah? Sejak dari kita sama-sama pelajari sirah fitnah terhadap Aisyah, akh selalu menyebut nama agung itu. Di mana kata-kata akh dulu? Atau sumpah dulu sudah dikaffarah?"

"Tidak."

"Jadi kenapa sewenangnya menukar qasad? Adakah permata yang dicari sukar ditemui?"

"Tidak."

"Habis?"

"Ana bukan hanya mendambakan insan bernama Aisyah. Ana pingin muslimah dibaluti sifat Aisyah. Seorang yang tidak hanya bijak, tapi juga amat menjaga tingkah laku. Peribadinya tidak bermuka-muka. Santunnya dicemburui. Sabar dalam tenang. Tidakkah akh teliti sirah? Bagaimana fitnah terhadap insan suci itu merobek hamparan keimanan insan lain, tapi sejadah imannya masih utuh biarpun aliran air mata menjadi teman setia."

"Lantas apa kaitannya dengan Syura?"

Dialah Aisyah Ku,” suara lembut Saufi menerobos masuk ke gegendang telinga Fauzan.

Fauzan terlopong. Istana bahagia yang ingin dibina tidak akan tercapai lagi.

“Akh, ana sayang akh.” Saufi bersuara. Sebuah buku dihulurkan kepada temannya.. Hikmatul Ibtilaa…

Fauzan ditinggalkan sendirian. Moga dia redha dan faham setiap ujian adalah pembuka jalan bagi mendekatkan diri dengan Tuhan..

Sekian.

Dia Aisyah Ku 4

Sunday, February 7, 2010

Atas beberapa sebab, tajuk cerita diubah..menggunakan ayat yang lebih sastera..:)

*****************************************

Fauzan nekad untuk menelefon ibu Syura. Nombor yang diberikan Hasnul tersimpan dalam contact book handsetnya.


Sebenarnya Syura yang menyuruh Fauzan menalifon Makcik Lijah. Syura tidak mahu lagi berdiskusi dengan maknya berkenaan status diri. Biar Fauzan sendiri yang muzakarah.

"Assalamualaikum. Ini nombor mak cik Lijah?"
"Ye. Siapa ni?"
"Saya Fauzan."
"Oh, Ustaz fauzan"
"Eh tak perlu la panggil ustaz, mak cik. Panggil Fauzan je."
"Ye ye. Ada apa Fauzan talifon mak cik?"

"Saya tak tau nak cakap macammana. Saya minta maaf kalau apa yang saya cakap selepas ni, ada yang kurang sopan. Saya ingin bertanya, betul ke Syura dah bertunang?"

"Hmm, kalau secara rasmi belum lagi. Tapi kami sekeluarga dah janji akan terima kunjungan pihak lelaki minggu depan."

"Makcik, saya sebenarnya dah lama sukakan Syura. Saya juga rasakan Syura turut punyai perasaan pada saya."

"Ya, kami tahu semua tu. Tapi kamu buat tak endah bila Syura mesej dan talifon. Kamu tahu yang Syura demam seminggu dek kerana kata-kata kamu? Selepas menyakiti hati Syura, kamu pula tak pernah nak balas mesej Syura bila dia minta penjelasan kamu."

"Demam seminggu? Kerana kata-kata saya?"


Fauzan terlopong. Mindanya tercari-cari bilakah dia menyakiti hati Syura. Seingatnya, hati Syura amat dijaga. Tutur bicara sering diatur sempurna sebelum butiran kata dilafaz.


Mungkin ada salah faham di situ. Hatinya bermonolog kecil. Ya, dia yakin, ada salah faham.

"Apa maksud mak cik? Kata-kata saya yang mana?"

"Bukankah Syura pernah talifon kamu, bertanyakan pendirian kamu terhadapnya? Bukankah kamu nyatakan sukar membuat keputusan? Tidak mahu mengecewakan mana-mana pihak? Melibatkan kehendak keluarga?"

Fauzan kelu. Terpaku. Bagai halilintar menusuk kalbu. Memang itu lafaznya pada Syura. Namun di sana ada penjelasan. Kala itu kebuntuan menghijab pandangan akalnya dek kerana gusarkan imtihan akhir tahun. Dia tertekan, lalu itulah hamburan kata yang terungkap. Fauzan tidak menyedari kata-kata itu melukakan hati Syura. Dia tiada insan selain Syura tapi dek tekanan yang menekan, itulah yang terhambur keluar dari lisannya.


"Tika syura demam, mak cik yang menemaninya di hospital. Sakitnya amat merunsingkan kami. Syura yang sebelum ini seolah-olah sembuh setelah berubat dengan kamu, kembali sakit. Kami amat sedih. Kami bimbang kalau-kalau dia disihir lagi tapi kemudian Syura mengakui yang dia demam dek kata-kata kamu."


"Ya Allah. Mak cik, semasa Syura di hospital saya ada menerima mesej, tapi dia hanya akui demam biasa kerana penat. Saya nasihatinya supaya jaga waktu makan, ambil vitamin. Kenapa dia sembunyikan kisah sebenar dari saya?"


"Makcik tidak tahu."


"Makcik, pihak lelaki yang akan bertandang tu, bagaimana? Adakah makcik mengenalinya?"


"Tidak, tapi Syura ada ceritakan kepada kami semua."


"Maksudnya belum ada apa-apa ikatan lagi? Belum ada lamaran?"


"Ya."

"Kalau begitu, Syura belum bertunang. Saya amat berharap agar mak cik boleh pertimbangkan semula hasrat saya. Syura juga begitu. Lagipun, belum aada lamaran dari pihak lelaki tadi."

"Memang belum ada, tapi kami sudah berjanji akan terima lamaran. Kami tidak mahu dituduh memungkiri janji."

"Tidak timbul isu mungkir janji atau tidak makcik, sebab tuan punya diri ialah Syura, dia berhak dalam hal ini."

"Mak cik tahu, kamu hebat dalam bidang agama berbanding makcik. Nanti Syura balik kampung, kami akan bincangkan dengan Syura."

"Terima kasih mak cik, harapnya mak cik tidak kecewakan hasrat hati saya, juga Syura. Assalamualaikum."

Perbualan dimatikan.


Terasa satu bebanan dilepaskan apabila dapat meluahkan rasa gundah yang bersarang di hati. Sudut kecil hatinya masih walang. Bisakah mak cik Lijah pertimbangkan hasrat hatinya? Mak cik Lijah terkenal sebagai orang yang berpegang pada janji. Tegas.


Fauzan maklum, orang yang bertunang atau sedang dipinang sahaja yang tidak boleh dilamar. Itu sabda. Itu juga hukum.


“Janganlah mana-mana antara kamu meminang orang yang telah dipinang oleh saudara (seislamnya).”


Syura bukan tunangan orang, juga belum dipinang jadi peluangnya masih ada. Dia tidak melanggar hukum. Termaktub dalam lembaran sirah, Muawiyah dan Abu Jahm pernah meminang seorang sohabiyah dalam masa yang sama? Wanita itu meminta pendapat Nabi.


“Wahai Rasulullah, aku dipinang dua orang sahabat, Muawiyah dan Abu Jahm, berilah pendapatmu dalam hal ini. Nabi bersabda : Abu Jahim tidak berhenti dari mengangkat tongkat terhadap isterinya yang lain, Muawiyah itu papa, Kahwinilah Usamah bin Zaid.”


Nah, dalam sirah juga ada dua pinangan secara serentak. Namun hati kecil Fauzan bersuara mematikan segala monolognya “janganlah pula kedua-dua kempunan”, nanti binasa badan.


Kisah Musafir Bin Amru yang meninggal dek kecewa kerana Hindun binti Utbah dikahwini Abu Sufyan mula menerjah masuk kotak mindanya. Hati mula bergelora. Bimbang barangkali. Pintanya biarlah Syura menjadi ratu hati yang akan bersama hingga ke Syurga Ilahi.


Fuazan tahu, Imam Ghazali dalam kitab beliau ada menyatakan perihal rindu kepada kekasih sejati. Nukilan kisah dalam Taurat juga memuatkan firman Tuhan.

“Golongan suci merindui Daku dan Aku lebih merindui mereka. Sesiapa yang mencariku akan perolehi Ku, sesiapa yang mencari selainku, tidak akan menemui Ku.”


Bisakah Fauzan menjadi orang suci kala ini? Hatinya belum dimandikan dengan air iman, belum digilap dengan sabun zikir, juga belum diwangikan dengan mahabbah Ilahi. Mampukah mendakapi rindu Pencipta?

Dia Aisyah Ku 3

Thursday, February 4, 2010

Sesusai solat maghrib Fauzan merapatkan tubuhnya pada dinding Masjid Sultan Ahmad Shah. Fauzan merasa ketenangan menyusup ke dalam hatinya. Masjid ini rancak dengan aktiviti keagamaan. Kemeriahan siri kuliah dari beberapa profesor dan ulama UIA menyuburkan diri Fauzan dengan semangat cintakan ilmu. Fauzan tidak mahu ketinggalan dalam lapangan ilmu yang tersedia, seboleh-bolehnya Fauzan berusaha untuk menghadiri kuliah yang diadakan.

Kebiasaannya, Dr Abu Laith akan memberi kuliah hadith Bukhari. Dr Abu Laith merupakan lepasan Darul Uloom Deoband India, sebuah Universiti Islam yang tertua dan terkenal selain dari Universiti Al-Azhar di Mesir. Jika Al-Azhar diwujudkan bertujuan untuk mengawal dan menghapuskan ajaran Syiah di Mesir dan dunia Islam, Darul Uloom juga tidak kurang pentingnya dalam memainkan peranan tersebut.

Darul Uloom Deoband didirikan pada tanggal 15 Muharram 1283 hijriyah, bertepatan dengan tanggal 1 Mei 1866 semasa penjajahan British. Semasa penjajahan, Kerajaan British mengambil alih kuasa dalam lembaga pendidikan dengan merampas dan menguasai seluruh pusat ilmu pengetahun dan pendidikan. Menurut British, mereka melakukan gerakan pembaharuan sistem pendidikan. Dengan cara itu, British dapat menyuntik virus ideologi ala Barat dan mengikis pemikiran dan keyakinan agama warga setempat.

Saat itu, para ulama Muslim khuatir tergesernya kepercayaan Islam akibat politik imperialis di dunia pendidikan. Keprihatinan tersebut mendorong mereka untuk berusaha keras menjaga, melindungi dan mempertahankan aqidah, budaya dan ajaran Islam di negeri itu. Masyarakat menerima dan menyambut baik usaha keras para ulama dan cendekiawan Muslim. Menggunakan dana yang terkumpul dari swadaya masyarakat, maka dibangunkan beberapa lembaga pendidikan yang menyebarkan berbagai cabang ilmu keislaman, sejarah Nabi SAW dan pemikiran murni Islam.

Banyak ulama dan cendekiawan yang terlibat dalam pekerjaan besar dan mulia ini diantaranya adalah Sheikh Imdadullah Muhajir Makki, Rashid Ahmad Gangguhi, Sheikh Dzul Fiqar Ali Deobandi, Hajj Abed Husein Kuceki, Sheikh Mohammad Ya’qub Nanutoui, Sheikh Fadhlur Rahman Utsmani Deobandi dan sederet nama lainnya.

Desa Deoband yang kecil semakin terkenal secara luas di India dan menjelma sebagai salah satu kota terpenting di negeri itu yang hanya berjarak 150 kilometer dari ibu kota, New Delhi. Sesuai dengan peredaran waktu, sekolah Islam Darul Uloom Deoband semakin berkembang dan maju dengan pesat sehingga berubah menjadi perguruan tinggi dengan nama Universiti Islam Darul Uloom.

Itulah antara intipati kuliah Dr Abu Laith. Panjang lebar tentang sejarah Universiti yang menjadi ‘taman asuhan’ beliau. Tidak dinafikan, Dr Abu Laith mahir dalam bidang hadith, tambahan pula, aliran pengajian beliau diakhiri dengan pengajian Kutub Sittah .Beliau hadami Sohih Imam Bukhari, Imam Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan Tirmizi, Sunan Nisai dan Sunan Ibnu Majah. Di samping itu, Dr Abu Laith juga mempunyai pelbagai ilmu pelengkap yang lainnya.

Fauzan amat mengagumi Dr Abu Laith. Fauzan bertekad titisan mutiara dari Dr Abu Laith tidak akan dibiarkan jatuh tanpa ditadah. Niat mahu melanjutkan pelajaran ke India atau Pakistan selepas tamat SPM tempoh hari dipendam, ibubapanya berharap agar Fauzan terus berada di dalam negeri sahaja.

Fauzan akur. Redha ibu bapa sentiasa didahulukan Fauzan. Rasa terkilan apabila bapanya terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi sebelum tibanya majlis ‘pengisytiharan’ kemahiran beliau dalam bidang agama. Kendati mawar pujaannya juga turut berperangai pelik sepanjang sebulan lalu selepas Hari Raya Puasa. Sepatutnya ceria untuk menyambut Hari Raya Korban yang bakal kunjung tiba, tapi kasihnya seakan turut akan di'korban'kan.

Syura dikenali tika dia kebetulan menziarahi sahabatnya Hasnul Razi di Banggol Stol, Pasir Mas Kelantan pada Hari Raya Puasa dua tahun lepas.

Syura pula menziarahi ibu saudaranya, bersebelahan rumah Hasnul.

Tika bersiap untuk pulang, Syura tiba-tiba jatuh pengsan. Adik Syura, Naimah pula tak semena-mena meraung. Dalam kelam kabut itulah, Hasnul pinta Fauzan cuba rawati mereka. Kata Hasnul, Syura telah lama ‘sakit’.

Muka Syura yang iras perempuan Cina, kulit halus lembut, bijak dalam kelas membuatkan ramai yang meminatinya. Sejak di tingkatan 3 lagi, Syura telah dipinang, namun ditolak. Fikir Syura, dia masih mentah, masih mahu meneruskan pengajian. Tanpa diduga, Syura jatuh sakit hingga terpaksa menangguhkan pengajian selama dua tahun. Setelah itu, dia gagahkan diri untuk meneruskan pengajian.

Pengajian Syura di Universiti Kebangsaan Malaysia turut menguji ketabahannya. Rebah dan pengsan di dewan kuliah, di bilik hostel sudah menjadi kebiasaan. Pernah suatu ketika, pensyarah menasihatkan agar Syura tangguhkan pengajian namun Syura ketepikan semua itu. Dia mahu buktikan yang dia yakin pada kuasa Tuhan yang menentu segala. Kejayaan bukan mustahil digapai dalam keadaan dirinya yang ‘sakit’.

Itu cerita Hasnul.

Sekarang, Syura pengsan lagi, adiknya pula meracau.

Terkumat kamit mulut Fauzan membaca ayat-ayat jampi . Pengajian yang diladeni di Darul Syifa dimanfaatkan sebaiknya pada saat ini. AlhamduliLLAH, setelah habis membacakan ayat-ayat penawar, Syura mula sedar. Kelihatan raut wajah seorang demi seorang kembali tenang setelah kalut melihat keadaan Syura.

"Emm untuk rawatan susulan, saya cadangkan makcik ambil 21 helai daun bidara, ditumbuk dengan lesung batu, kemudian dibacakan ayat-ayat yang akan saya tulis nanti. Air itu digunakan untuk bilasan mandi Syura. Kalau boleh, air yang digunakan tadi ditakung dan buang ke tempat yang tidak menjadi laluan manusia. Juga jangan lupa baca ‘la ilaaha illa Allah wahdahu la syarika lah,lahu almulk wa lahu alhamd yuhyi wa yumiit wa hua ‘al kulli syai’in qodiir sebanyak seratus kali setiap pagi."

Sejak peristiwa itu, Syura beransur pulih. Ketenangan merembes ruang hatinya. Tidak pernah dirasakan ketenangan sebegini sebelum ini. Bermula dari peristiwa tersebut, Syura mula berutus khabar dengan Fauzan. Terhutang budi yang amat. Hubungan mereka disenangi orang tua Syura. AlhamduliLLAH. Hidup Syura yang sebelum ini suram sedikit demi sedikit menjadi cerah. Langit hidupnya kembali ceria, awan yang suram sudah berarak pergi...

FitNah Itu Mendukakan


Sejak seminggu yang lalu, saya ulang-ulangi pembacaan sebuah buku Hikmatul Ibtilaa (Hikmat Ujian ) karangan Ibnu Qayyim Al-Jauzyyah. Walau tidaklah setebal buku-buku beliau yang lain, namun ia membekasi jiwa saya. Diselitkan bersama buku tersebut, kisah fitnah terhadap insan suci, Ummul Mukminin Aisyah ra. karangan Syed Qutb

Saya obses dengan kisah beliau, hinggakan tidak tertahan aliran air mata . Pipi tetap akan bergenang meski pun berulang kali dibelek . Kisah yang amat tragis. Padanya ada kesabaran, disebaliknya terselit pengajaran sepanjang zaman buat dai'e dan srikandi. Ada ibrah buat suami isteri. Ada sakti buat abi ummi, bagai tali pengikat ukhuwwah dalam majmuk Islami.

Aisyah ra difitnah oleh Abdullah bin Ubai Ibnu Salul (ketua munafikin Madinah), sekembalinya dari Perang Bani Mustoliq. Dituduh 'khalwat' dengan Sofwan bin Muatthol (nauzubiLLAH).

Nabi saw gundah, ahli iman resah namun disebalik itu, ada juga yang kandil imannya malap.

Tidak ingin saya nukilkan kisah panjang itu, cukulah sekadar saya titipkan pengajaran


Buat Suami
Harus punyai ketenangan bila berdepan situasi sukar. Orang yang hebat, akan diberi ujian yang hebat. Mereka yang dengki akan cuba merobek kebahagian orang lain. Lihatlah betapa dukanya Nabi SAW pabila Aisyah ra difitnah :

" Siapakah yang akan meredakan daku terhadap fitnah yang dilemparkan terhadap isteriku?"

Seharusnya suami tidak patut terburu-buru dalam tindakannya. pintalah nasihat sebagaimana Nabi saw meminta pandangan dari Usamah ra dan Ali ra.


Buat Isteri
Sentiasa percaya dan yakin dengan Allah. Serahkan segalanya kepada Allah, mengadu pada-NYA , selain mencari kekuatan dengan tinggal bersama ibu ayah. Hayatilah kata-kata Aisyah :

"Demi Allah, aku tahu, kamu semua telah dengari apa yang telah dilemparkan kepada ku, kiranya aku mengingkari perkara itu, tentunya kamu semua tidak percaya, kiranya aku mengaku salah pasti kamu semua berpuas hati, demi Allah, tidakku tahu ungkapan apa lagi (harus aku nyatakan) kecuali seumpama ungkapan Nabi Allah Ya'kub "Sobrun Jamil"dan Allah sahaja tempat memohon pertolongan ".


Buat Ibu
Ibulah yang paling mengerti ( setelah Allah), perihal anaknya. Naluri ibu amat sensitif. Sudah menjadi aturan Tuhan, dia diciptakan begitu. Dengarkan kata-kata ibu Aisyah (Ummu Ruman ) kepadanya tika berdepan badai hasutan munafikin :

"Duhai anakanda, janganlah dikisah sangat perkara ini, harus diingat, mana-mana wanita yang menjadi buah hati seorang lelaki yang hebat, pasti akan direka cerita tentangnya "


Buat Ayah
Abu Bakar, turut merasai bahang fitnah. Apatah lagi, cerita Aisyah dijaja oleh orang yang mana kehidupannya dibiayai Abu Bakar ra. Namun beliau tidak melatah, tidak terkesan dengan khabar angin. Tetap sabar.
Tutur bicara beliau hanyalah :

"Demi Allah, kami tidak pernah dituduh sebegini tika di zaman Jahiliyyah, bagaimana harus kami rela (diperlakukan ) sebegini tika zaman Islam."


Buat Kaum Kerabat dan Teman-teman
Janganlah melonjak gembira dengan musibah orang. Hindari hati anda dari menjadi sarang pembiakan fitnah . Sucikan minda dari diterobosi kuman dusta. Teladani Abu Ayyub dan isteri menerusi perbualan mereka.

"Tahukah kamu apa yang sedang orang perkatakan sekarang terhadap Aisyah?" Ummu Ayyub bersuara.
Jawab Abu Ayyub "Apa pandanganmu jika aku berada di tempat Safwan, adakah kamu fikir aku akan lakukan perkara keji terhadap kehormatan RasuluLLAH?"

"Tidak," jawab Ummu Ayyub

Sambung Ummu Ayyub lagi "Jika aku di tempat Aisyah, aku juga tidak akan mengkhianati RasuluLLAH".
Lantas Abu Ayyub menambah "Ingatlah, Safwan lebih mulia dari diriku dan Aisyah lebih mulia dari dirimu (mana mungkin mereka melakukan perkara hina ; pent)"


Buat Masyarakat Islam
Janganah terlalu ghairah dengan berita sensasi. Bukankah Islam menyarankan agar kita menutup terlebih dahulu kisah aib seseorang? Sehinggalah dibuktikan kes, dan hukuman dijatuhkan, barulah diharuskan untuk hadiri proses hukuman.

Sabda Nabi saw

" Sesiapa yang menutupi aib seorang Islam maka Allah akan tutupi keaibannya di dnia mahupun di akhirat, dan Allah akan sentiasa membantu hamba-NYA selama mana dia membantu saudaranya yang lain "

JAUHI FITNAH, JAUHI HASUTAN

Yeyy Kita Juara

Monday, February 1, 2010



Malam tadi, Mesir berjaya menjadi juara Piala Afrika 2010 untuk kali yang ketujuh selain pernah dinobatkan sebagai juara Piala Afrika pada 1957, 1959, 1986, 1998, 2006 dan 2008.

Keputusan perlawanan tadi memperlihatkan pasukan pilihan Mesir berjaya mempertahankan kejuaraan sebanyak 3 kali berturut-turut. Satu kebanggaan buat jurulatih Mesir, Hassan Shehata dan kapten pasukan Ahmed Hassan. Apatah lagi jolokan bagi pasukan bola sepak Mesir ialah The Pharaohs .

Namun di sebalik kegembiraan ini, adakah mampu untuk membuatkan saudara seagama turut riang ? Bagaimana dengan isu pembinaan tembok yang menyekat sebahagian besar delegasi bantuan ke Gaza? Adakah di sebalik kegembiraan ini, akan dapat mengembalikan maruah yang terpalit di muka pemerintah Mesir? Atau kesemua 'jenayah' pemerintah dapat disembunyikan pabila rakyat disuakan dengan hiburan. Fokus mereka dikesampingkan. Jangan bicara soal tembok. Jangan dipeduli soal sekatan bantuan. Yang penting kita berhibur dengan kemenangan 'pasukan Firaun' kita.

Saya secara peribadi, 'tidak menyokong' pasukan bola sepak Mesir. Saya antara orang yang 'gembira' bila Mesir tersingkir dari saingan bola sepak piala dunia. Bukan dengki atau kerna Malaysia tidak mencapai taraf seumpama Mesir, tidak. Tapi umat Mesir sudah lama 'dibius'. Medan ilmu entah di mana. Program pengajian talaqqi di Masjid Azhar dimonopoli umat luar Mesir, isu umat Islam sedunia kurang diberi perhatian.ahh..banyak lagi.

Lihat saja tiap kali berlangsungnya bola sepak yang membabitkan Mesir (atau mana-mana negara umat Islam), suasana amat bingit. Kedai-kedai syai (teh) yang berada sekitar masjid, dipenuhi dengan pemuda-pemuda, sedang masjid hanya dipenuhi pakcik-pakcik pencen. Itu belum masuk bab taksub ( penyokong pasukan Red Warriors, jangan bakar kerusi stadium lagi tau?)

Itu baru berlangsungnya piala Afrika, apatah lagi bertepatan dengan fatrah imtihan. Kalau lah Mesir dapat tempat di piala Dunia, yang perlawanannya bermula sekitar bulan 5 atau 6, tentu lebih parah kami di mesir. Al maklumlah, masa tu tengah hangat imtihan fasal 2. Adakah pelajar Malaysia di sini turut terkesan? Pasti ramai yang mujahadah mengadap tv. Buku dan kitab, nanti dulu,malam masih awal..

Pembantaian umat Islam akan dilupakan seketika, mari berpesta bola!!!. Tumpukan perhatian anda pada bola. Makan bola, minum bola, tidur bola dan akhirnya umat Islam seumpama bola. SYABAS!!!!


Apakah yang direnung oleh anak kecil ini? Adakah ia bakal menjadi srikandi solehah bila hatinya 'diikat' tali agama?