Followers

Menyemak Al-Quran : Satu Amanah

Tuesday, December 28, 2010







Bismillaahirrahmaanirrahiim..

Jemputan dan tawaran seorang sahabat untuk membantu beliau menyemak Al-Quran untuk cetakan di bawah kelolaan Yayasan Restu, saya terima dengan hati terbuka dan penuh amanah. Tugasan ini dirasakan amat berat . Maklumlah, pelbagai aspek perlu diteliti sebelum ia dicetak. Jika tersalah sedikit, kesannya amat besar.

Al-Quran cetakan Saudi juga pernah ditarik balik hanya kerana kesalahan tidak meletakkan baris fathah (atas) huruf ha pada perkataan فيها dalam surah a-Furqan ayat 61. Dikatakan bahawa cetakan itu telah melalui proses penyemakkan sebanyak 400kali sebelum ia dicetak, itu pun masih ada yang terlepas pandang. Walaupun bagi mereka yang mengetahui dan mempelajari bahasa Arab, ia tidak diangap sebagai satu kesalahan, kerana perkaaan tersebut sudah boleh dibaca namun bagi memastikan Al-Quran dapat dibaca oleh semua orang, perkara sebegini amat dititikberatkan.

Bersama dengan sang isteri, kami keluar awal dari rumah. Sebetulnya kami perlu tumpangkan 2 orang pelajar tahfiz dari sekolah Ustaz Hasmin . Kedua-duanya turut dijemput untuk menyemak tulisan Al-Quran. Jalan yang dipilih untuk ke sana ialah Lebuhraya Guthrie. Lebih senang dan tidak jam. Bayaran tol keseluruhannya hanya Rm2.80 ( Mahal juga tu ).

Kami tiba lewat, namun amat berterima kasih pada Ustaz Hamdan yang sudi belanja sarapan pagi.

Proses semakan Al-Quran ini diketuai dan dipantau oleh Ustaz Hannan, yang bertugas di bahagian Ulum Quran di Yayasan Restu. Taklimat ringkas dari beliau berkenaan teknik semakan Al-Quran, memberikan kami gambaran yang jelas apa yang perlu dilakukan.

naskhah contoh untuk disemak

Setiap dari kami, diberi 3 juzuk untuk dibuat semakan, dengan kadar 1juz sehari. Ini bermakna kami punyai masa 3 hari untuk siapkan tugasan yang diberi. Wah mencabar juga.

Setiap patah perkataan perlu diteliti baris, gaya seni penulisan, jarak antara perkataan, tanda bacaan dan kedudukan baris setiap huruf. Fuhhh...

antara yang diamanahkan untuk menyemak

Hari pertama semakan (Rabu 22.12.2010) semuanya berjalan lancar. Setiap penyemak menampakkan ketelitian masing-masing. Mata saya sempat memerhati gelagat dan ketekunan mereka. Hasilnya, saya yang paling lewat siap membuat semakan dek kerana asyik memerhai gelagat orang :d

Pada hari kedua, saya diberi tambahan juzuk kerana ada sahabat yang tidak dapat menghadirkan diri . Saya perlu siapkan semakan ini seawal mungkin kerana perlu pulang ke Penang pada hari Jumaat memandangkan ada kenduri sepupu belah isteri.

Puan Zaujah turut diberi amanah- tekun menyemak

Pelbagai rintangan dan kesukaran, akhirnya team kami siap membuat semakan awal AlQuran pada petang Jumaat 24.12.2010.

Semakan berikutnya akan dibuat oleh team JAKIM,Kementerian Dalam Negeri dan akan dibuat final touching oleh para pakar yang lain (saya kurang pasti).

Cicakman : The New Era

Sunday, December 5, 2010




Bismillahirrahmanirrahim.

Bercuti selama hampir dua minggu di tempat tumpah darah, menggamit memori yang indah. Sementelah cuti semester, kesempatan yang terhidang cepat sahaja dimanfaatkan. Sudah agak lama tidak bersama ibunda tercinta, ayahanda tersayang (sudah hampir 2 bulan tidak bersua).

Puan Zaujah masih lagi mengingatkan agar jangan lupa tunaikan janji yang diikrar dahulu. Em agaknya mengidam la kot. Tambahan pula apa yang diidamkan itu, hanya boleh diperolehi di
Kelantan sahaja.

Begitulah resam berumahtangga, perlu ada toleransi, menjaga perasaan dan sentiasa ingat-mengingati.

Alhamdulillah setelah beberapa hari berusaha untuk menunaikan janji, akhirnya terlaksana. Maklumla, dalam suasana hari raya yang masih terasa itu, kedai tentunya belum dibuka. Kalau pasaraya dan supermarket memang sentiasa dibuka, kecuali kedai tokey Cina, hanya sehari sahaja ditutup, itu pun sebab cuti umum, diperintah tutup.

Inilah dia, apa yang dijanjikan kepada Puan Zaujah..mee celup!!!!


Pokke





Sekarang ini agak ramai yang teruja untuk mencari haiwan kaum cicak ini. Dengar kabarnya agak lumayan tawaran harga untuk seekor cicak ini, boleh mencapai rm 1juta !!! Wah kaya la bagi mereka yang jumpa sang cicak. Manakala kaum 'harimau bintang' versi cicak ini tentu bangga dengan nilai 'kebangsawanan' mereka.

Bangsa cicak 'bintang' ini dikatakan mampu merawat penyakit aids. Saintifiknya, wallahu'alam..saya kurang maklumat tentangnya.

Kalau dulu, bangsa cicak hanya bertenggek di alang rumah,mencari sang kelkatu sebagai hidangan. Itu kaum cicak biasa, yang tidak ada gen hijau. Tambahan pula, mereka menjadi mangsa lastik bangsa manusia (biasanya kanak-kanak le). Apa tidaknya, kaum tua menjadi pembakar semangat. Sementelah sang cicak spesis ini suka mengqadha hajatnya di merata-rata hatta di sejadah pak Imam, malahan di kopiah makmum.

Yang menariknya juga, kaum cicak dikatakan menjadi peniup api yang disediakan untuk membakar Nabi Allah Ibrahim a.s.

Nabi Muhammad SAW pula menyatakan pahala yang besar bagi sesiapa yang dapat membunuh sang cicak dengan sekali hentak.

Bangsa cicak jenis manakah yang dimaksudkan Nabi, tidaklah diketahui, tetapi yang penting, ia dibunuh.


Cicak Perawat

Orang kampung yang biasa membela itik, lembu, kambing atau ternakan lain, biasanya menggunakan cicak sebagai rawatan.

Jika itik mereka 'patah pinggang' akibat makan benda-benda yang beracun, atau makan ikan puyu, biasanya sang itik tersebut akan diberi makan cicak.

Begitu juga kambing atau lembu yang menghadapi masalah cirit, atau kudis yang bernanah, biasanya sang cicak juga la yang diberi kepada 'pesakit' tersebut.

Malah, ada terdengar di telinga saya, seorang pengidap strok pernah diberi makan cicak dan dia sembuh hasil rawatan yang diberikan.

Hebat juga ye sang cicak ini.

Tidak berapa lama dahulu (sekarang pun) Thailand, Hong Kong, China terkenal sebagai pusat makanan eksotik. Sesiapa yang ingin merasa lipas, biawak, jengking, otak monyet, ular ( eei geli gelemang saya walau sekadar menaip),kunjungilah negara-negara tersebut.

Sekarang ini orang sibuk memburu cicak 'bintang' yang menjanjian pulangan lumayan. Saya juga pernah diajak untuk memburunya, tetapi masih berkira-kira. Kata mereka, mana tau tuah Ustaz!!

Bukan semua cicak pokke boleh dijual, ada saiz dan usia tertentu. Kalau tidak, sang cicak itu tiada khasiat yang diingini.

Kepada semua pemburu, berhati-hati ya!!! POKKE yang dicari, bukannya POKKO!!!


p/s: POKKO dalam loghat Kelantan adalah binatang sesumpah

Ibrah Dan Ilmu

Thursday, November 4, 2010

Bismillahirrahmanirrahim

Setelah hampir sebulan meninggalkan wad Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Cameron Highland atau lebih famous dengan nama 'Hospital Kelantan' kerana hampir keseluruhan kakitangan hospital adalah orang Kelantan, saya banyak ditanya bagaimana saya boleh ditempatkan diwad tersebut.

Sebenarnya saya pun tidak pasti, namun saya punyai beberapa ibrah yang ingin dikongsikan bersama. Sepanjang tiga hari berada di wad ( saya pernah motivate sang isteri, dengan menggambarkan wad itu umpama taman permainan :d).


LAYANAN 'BIDADARI& BIDADARA'

Sesedarnya saya dari 'tidur', saya dapati diri berada pada satu tempat yang dipenuhi dengan katil-katil. Di hadapan saya ada tiga buah katil, dua daripadanya dihuni oleh warga tua, kedua-duanya bangsa Cina.

Mereka berdua berpakaian 'seragam hijau'. Nampak pakcik yang seorang itu, tiada siapa yang menemaninya. Alhamdulillah bila saya alihkan pandangan ke sebelah sisi, saya bersyukur sebab sang isteri berada di sisi . Dia memberikan senyuman. Hati saya berbunga

Pandangan seterusnya difokuskan ke sebelah kiri saya. Ada beberapa wanita muda yang berpakaian seragam putih. Oh, ada seorang daripada mereka seakan-akan menuju ke arah saya. Ya, benar-benar datang ke katil saya.

"Maaf ye, saya nak test glukos dalam darah encik" dia bersuara . Loghatnya seakan sama dengan loghat asal saya :d

"Silakan", saya menjawab dengan menggunakan bahasa standard.

"ouch", saya terasa sedikit kesakitan.

"Ops, maaf ye, tak sakit sangat kan?"

Saya hanya tersenyum. Bukan sebab pujukan sang seragam putih, tapi sebab loghatnya itu.
Setiap sejam, glukos dalam darah saya di test. Dan dua kali sehari, darah saya diamnil untuk diuji di makmal.

Saya amat selesa dengan seorang jururrawat bernama Aiman. Adik ipar saya juga bernama Aiman. Aiman si jururawat ini berasal dari Bachok, Kelantan. Saya selesa dengannya sebab dia amat teliti ketika mengambil darah. Tidak terasa sakit sangat. Boleh bagi anugerah untuknya :d.

Tentang makanan. Best. Makanan dihantar, tepat pada masanya. Ohya, sang isteri turut mendapat makanan. Lebihan agaknya, ada pesakit yang dah balik, jadi dapatlah rezeki.


IBADAH PESAKIT


Allah mengurniakan kepada kita nikmat kesihatan dan kita sering terlepas pandang terhadap nilai dan harga sebuah kesihatan sehinggalah kita diuji dengan kesakitan. Saya bersyukur kerana Allah sering mengingatkan saya tentang nikmat-Nya.

Kita (saya) hanya banyak belajar tentang teori. Kita boleh mengajar kepada khalayak tentang itu dan ini, namun jika kita sendiri tidak mengalami keadaan dan situasi yang tertulis dalam kitab-kitab, kita tidak dapat memahaminya dengan baik. Sebagai contoh, kita mempelajari (atau mengajar) tentang ibadah haji/umrah, kita tidak mampu untuk menghayatinya atau menghuraikannya dengan baik sehinggalah kita menjejakkan kami ke Tanah Haram.

Begitu juga dalam bab perkahwinan. Saya sebagai pelajar agama yang banyak mendalami berkenaan hukum fekah, sebelum saya bergelar suami, terasa janggal untuk membacakan bab Nikah kahwin kepada umum. Maklumlah yang ada di hadapan, bukannya mereka yang belum kahwin sahaja, bahkan kebanyakan yang bersila di hadapan saya adalah mereka yang sudah bergelar datuk.

Di kala saya menghuraikan tentang alam rumahtangga, kehidupan suami isteri, perhubungan dan keharmonian rumahtangga, pakcik makcik semuanya tersenyum dan berpandangan sesama sendiri. Mungkin dalam hati mereka

"Ustaz tu belum kahwin lagi tapi dalam duk hurai pasal perkahwinan, kalah kita"
"Alah, teori aje tu..:p "

Para agamawan banyak menguraikan teori pelaksanaan ibadah semasa sakit namun terkadang, ada yang terlampau ekstrim (syadid). Bagi mereka, apa yang termaktub dalam kitab adalah berbentuk permanent, tidak boleh diubah.

Seorang pesakit yang tidak mampu untuk bergerak, berjalan ke bilik air, akan dipasang salur urin (air kecil). Ini bermakna, air kumuhannya akan sentiasa keluar terus ke beg urin. Sentiasa berada dalam keadaan bernajis. Lantas untuk melaksanakan ibadah, tidak sah menurut sesetengah ustaz kerana sentiasa berhubung dengan benda najis. Namun kaedah-kaedah lain dalam agama contohnya "sesuatu perkara akan menjadi luas jika dalam keadaan sempit(terdesak)",seolah-olah diabaikan.

Biasanya jika suami yang terlantar, sang isteri akan menemaninya. Dalam keadaan ini, bila sang suami ingin menunaikan solat, siapakah yang akan mewudhukan si suami? Ingin meminta bantuan jururawat yang kadangkala semuanya perempuan? Pastinya isteri yang paling rapat. Jadi jika kita sentiasa menggunapakai pandangan yang menyatakan sentuhan isteri juga membatalkan wudhu suami, jawabnya tak solat-solat la si suami. Mungkin ada yang rasa, kenapa tak guna sarung tangan, bawalah sarung tangan siap-siap, atau minta sarung tangan getah dari jururawat, atau apa-apa aja yang boleh dijadikan alas supaya tak bersentuhan. Tapi seharusnya kita fahami bahawa pesakit berada di hospital, bukannya kawasan rumah atau kedai aksesori.



SUAMI ISTERI

Sebelum saya 'bermalam' di hospital, sang isteri pernah bertanya

"Abang, kenapa suami isteri tiada batasan aurat?"

"Emm, supaya tidak susah dalam perhubungan dan alam rumahtangga mereka".

Jika anda membaca 'statement' saya itu, apa yang berlegar dalam pemikiran anda? Apa yang anda faham tentang maksud alam rumahtangga? Mungkin menjurus kepada 'hubungan intim' saje kan? Isk isk..otak tu kena brain wash sikit tu, ada sedikit kulapuk :d.

Cuba bayangkan jika seorang suami yang terlantar, tidak kira di rumah atau di hospital, tak kanla akan dibiarkan begitu sahaja, dengan tidak terurus, tidak bermandi, dibiarkan apabila membuang air besar. Siapa yang akan menukar lampin dan membersihkan suami?Mengharapkan anak?Jika anak mereka tiada anak atau masih kecil?atau kesemua anak ke sekolah? Tentunya sang isteri yang bertanggungjawab untuk semua itu.

Pada masa tersebut, tentunya susah jika ada batasan aurat. Ye memang kita boleh mengatakan itu keadaan terdesak, jadi dibolehkan melihat aurat. Persoalannya, bukan terdesak atau tidak tapi mentaliti kita dalam menerima pendapat yang bertentangan dengan apa yang kita doktrinkan selama ini.

Saya juga terharu bila sang isteri sentiasa bersama di tepi katil. Saat saya terjaga di waktu malam, sang isteri sedang nyenyak tidur, lena dalam keletihan. Tika inilah memahami erti kasih sayang dan cinta. Kita boleh kenal kawan tatkala kita dalam kesusahan, tetapi kita akan menghayati makna cinta saat kita dihargai.


Terima kasih pada-Mu Ya Allah. Terima kasih pada semua yang mendoakan. Pada ayah+mak,ma+abah,abang faizal+kak enon dan semua sahabat.

Buat Pencinta Wanita

Sunday, October 31, 2010



Bismillahirrahmanirrahim.

Anda amat menyayangi wanita dan anda amat menghargai mereka. Anda pasti akan buktikan cinta anda kepadanya amat mendalam. Namun barangkali terlepas pandang perkara yang remeh berkenaan diri wanita. Anda mungkin tidak perasaan akan fitrah mereka. Anda kurang mengambil berat 'rahsia' mereka.

Pastikan anda tidak menjadi orang yang keciciran dalam rahsia ini. Anda mungkin 'tidak punyai masa' untuk ke masjid atau surau. Juga mungkin tidak sempat bertanya pada pak kiyai mahupun imam.

Ringkas dan padat. Mungkin ada yang telah memiliknya dan mungkin ada yang masih berkira-kira untuk memiliknya.


Buktikan kecintaan anda pada sang dia yang bertahta di hati. Hadiahkan untuknya mutiara ilmu yang mereka sebenarnya tercari-cari akannya.

Pada sang abang atau adik, jadikan ia hadiah istimewa untuk sang adik atau kakakmu . Pada yang bakal bergelar suami, hadiahkan untuk bakal isterimu sebagai hantaran. Pada sang suami, hadiahkan untuk isterimu pada hari ulang tahun kelahirannya, dan pada sang bapa, hadiahkan kepada anak remaja mu. (wah macam kempen je- em memangla...ilmu perlu dikongsi)

Saya telah menghadiahkannya kepada isteri tercinta saya. Anda bila lagi??

Selamat bertukar-tukar hadiah!!!!

Tentang Saf

Thursday, October 21, 2010

Ramai di antara kita yang mengambil sikap mudah dalam solat berjemaah. Mereka merasakan bahawa sudah cukup sekiranya mereka menunaikan solat berjemaah di masjid sedangkan kedudukan saf bersimpang siur bak cacing kepanasan.

Jika ada yang menarik tangan atau baju supaya berada dalam keadaan rapat, mereka membatu sahaja, bahkan ’mengeraskan’ diri, tidak berganjak dari tempatnya.

Sesetengahnya pula apabila ternampak ruang kosong pada saf di hadapan, mereka melangkah selangkah, berhenti beberapa ketika ( adakalanya sampai seminit), kemudian melangkah selangkah lagi, berhenti beberapa ketika, kemudian selangkah lagi barulah sampai ke ruang kosong. Alasan mereka, tidak boleh bergerak 3 kali berturut-turut kerana ia membatalkan solat. Sedangkan yang sebenarnya pergerakan yang tidak dibenarkan ialah perbuatan yang tiada kaitan dengan solat.

Meluruskan saf bukan hanya para jemaah lelaki sahaja, bahkan jemaah muslimat juga perlu mengambil perhatian. Terkadang jemaah muslimat mengambil sikap lewa dalam masalah ini. Kita di Malaysia, sudah menjadi satu budaya, muslimat pasti (atau kebiasaanya) akan bawa sejadah sendiri jika bersolat di masjid.

Tentunya jika masing-masing solat menggunakan sejadah sendiri, akan ada ruang antara mereka. Tidak rapat. Bahkan lebih teruk jika diminta untuk merapatkan saf, ada yang menjawab:

”solatlah kat sejadah sendiri!!”

Ya Allah, mereka amat susah untuk ’meninggalkan’ sejadah mereka.

Di sini, saya bawakan beberapa hadith Nabi saw dalam permasalahan saf


1-عن أنس رضي الله عنه قال: أقيمت الصلاة فأقبل علينا رسول الله e بوجهه فقال: (أقيموا صفوفكم وتراصوا ، فإني أراكم من وراء ظهري) وفي رواية قال أنس :( وكان أحدنا يلزق منكبه بمنكب صاحبه ، وقدمه بقدمه ) أخرجه البخاري (ح / 719-725) .

Maksudnya : Daripada Anas bin Malik ra, katanya: Solat telah diiqamah, lantas Nabi berpaling ke arah kami seraya bersabda : Luruskan saf kamu dan rapatkan, sesungguhnya aku boleh melihat dari belakangku. Dalam riwayat lain Anas berkata, lalu setiap dari kami sentuhkan bahu ke bahu, kaki dengan kaki.



2- عن النعمان بن بشير رضي الله عنه قال : ( كان رسول الله e يسوي صفوفنا ، حتى كأنما يسوي بها الِقداح ، حتى رأى أنا قد عقلنا عنه ،ثم خرج يوماً فقام حتى كاد يكبر ، فرأى رجلاً بادياً صدره من الصف ، فقال: عِباد الله ، لتسوّن صفوفكم أو ليخالفن الله بين وجوهكم ). أخرجه مسلم (ح / 436) ، والبخاري في مختصراً (ح / 717) .

Maksudnya: Dari Nukman bin Basyir ra katanya : Adalah Rasulullah saw meluruskan saf-saf kami sehingga seolah-olah baginda membetulkan dengan anak panah, sehingga apabila baginda melihat kami sudah faham tentangnya (meluruskan saf). Kemudian pada suatu hari baginda keluar (untuk solat) dan hampir bertakbir, baginda ternampak seorang lelaki yang terkedepan dari saf, baginda lantas bersabda: Wahai hamba Allah, betulkan saf kamu jika tidak Allah akan menukar rupa kamu



3- عن النعمان بن بشير قال : ( كان رسول الله e يسوي صفوفنا إذا قمنا للصلاة ، فإذا استوينا كبر ) صحيح أبي داود (ح / 665) .

Maksudnya: Dari Nukman bin Basyir ra katanya: Rasulullah akan meluruskan saf-saf kami ketika kami ingin solat, apabila kami telah lurus, baginda bertakbir



4 ـ عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما : أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : "أقيموا الصفوف وحاذوا بين المناكب ، وسدوا الخلل ، ولينوا بأيدي إخوانكم ، ولا تذروا فرجات للشيطان ، ومن وصل صفاً وصله الله ومن قطع صفاً قطعه الله " . صحيح أبي داود (ح / 666)

Maksudnya : Dari Abdullah bin Umar ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Betulkan saf-saf dan samakan antara bahu, tutupi ruang kosong, capailah tangan saudaramu (untuk membetulkan saf), jangan biarkan ada ruang untuk syaitan, sesiapa yang menyambung saf pasti Allah akan sambungkan (rahmat) kepadanya, sesiapa yang memutuskan saf pasti Allah akan memutuskan (rahmat)-Nya



5 ـ عن أنس بن مالك رضي الله عنه عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال :" رصوا صفوفكم ، وقاربوا بينها ، وحاذوا بين الأعناق ، فوالذي نفسي بيده إني لأرى الشيطان يدخل من خلل الصف كأنها الحذف " . صحيح أبي داود (ح / 667).

Maksudnya: Dari Anas bin Malik ra, Rasulullah saw bersabda: Rapatkan saf kamu, dekat-dekatkan, selaraskan antara leher. Demi jiwaku di tangan-Nya,sesungguhnya aku melihat syaitan memasuki ruang saf seumpama kambing hitam kecil.



6 ـ عن أنس بن مالك رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال :" أتموا الصف المقدم ، ثم الذي يليه ، فما كان من نقص فليكن في الصف المؤخر " صحيح أبي داود (ح / 671).

Maksudnya: Dari Anas bin Malik ra, bahawa Rasulullah saw bersabda: sempurnakan saf yang di depan kemudian yang selepasnya, apa yang kurang (saf sudah penuh) maka beradalah di saf yang belakang (mulakan saf baru)

1. Meluruskan saf seperti mana yang diperintahkan oleh baginda, adalah melalui :

i. Selari antara tumit dan bahu sehingga berada dalam satu garis tanpa ada yang terkedepan atau terkebelakang

ii. Berada dalam kedudukan rapat antara satu sama lain dan tidak membiarkan ada ruang antara orang bersebelahan supaya tidak memberi ruang untuk syaitan mengganggu dan berada di ruang kosong

iii. Memenuhkan saf pertama, jangan dimulakan saf baru sehinggalah saf sudah penuh

iv. Jarak antara saf- saf haruslah hampir dan tidak jauh, cukup sekadar 3 hasta atau ruang untuk sujud


2. Sepatutnya kita ‘ringan’ ketika ada jemaah yang bersebelahan menarik tangan kita bagi membetul atau merapatkan saf

3. Para imam perlu mengambil berat perihal saf, jangan terlalu cepat untuk bertakbir sebelum memerhati keadaan saf terutamanya ketika solat jumaat. Berikan sedikit masa untuk makmum memenuhkan saf.

4. Memenuhkan dan meluruskan saf bukan hanya pada solat fardhu sahaja, bahkan pada semua jenis solat jemaah yang lain seperti terawih, gerhana dan sebagainya

Dah Keluar Wad

Tuesday, October 12, 2010

Bismillahirrahmanirrahim.


Abang dalam wad... Menikmati rehatnya, ada isteri kanak-kanak blackcurrent yang suggest tutup mata dengan kain supaya boleh lelap :)



Kedua-dua tangan ada jarum, ouch... Ngeri. Pada cadar pun ada kesan darah Abang yang menitis semasa proses menyucuk. Huhu.

Alhamdulillah. Abang dah keluar wad.
Syukran wa jazakumullah khairan kepada semua yang mendoakan.

.:: HaRuMaN MaWaR ::.
Insyirah Soleha

Hak Allah Dicabuli

Friday, October 1, 2010



Bismillahirrahmanirrahim...

Pujian hanya kepada Yang Haq.

Sementara menunggu sahabat-sahabat dari Kelantan datang bertamu, tangan terasa ingin mencoretkan sesuatu untuk dikongsikan bersama .

Mungkin kita pernah menonton filem 2012; 2012 ialah sebuah filem Amerika Syarikat bergenre cereka sains arahan Roland Emmerich. Filem ini dilakonkan oleh John Cusack, Amanda Peet, Danny Glover, Thandie Newton, Oliver Platt, Chiwetel Ejiofor, Woody Harrelson dan George Segal. Filem ini diedarkan oleh Columbia Pictures .



Filem ini mengisahkan berlaku bencana seluruh dunia yang menuju kepada hujung dunia dan mempunyai orang yang mungkin terselamat berusaha sedaya upaya untuk meneruskan kehidupan mereka. filem itu mendapat inspirasi oleh beberapa hipotesis menyatakan yang bahawa kaum mayans purba meramalkan peristiwa kiamat akan berlaku di sekeliling musim sejuk solstis 2012.

Hasil dari filem ini, ramai pula yang terkesan hatta orang Islam sendiri . Bimbang kehancuran dunia, resah .

Beberapa hari lalu, saya melayari facebook, masih ada rakan-rakan yang bersembang, komen mengomen tentang kiamat dan tarikh 2012 .


Adakah Islam membuka ruang untuk kita perbahaskan tentang kiamat seluas-luasnya? Atau menutup pintu perbahasannya serapat-rapat? Atau masih ada sedikit ruang?


Hak Eksklusif Allah


Allah punyai hak ekslusif yang tidak boleh diperdebatkan . Ada batasan yang perlu dijaga tika berbicara berkenaan dengan hak tersebut.

Permasalahan perkara ghaib hanyalah milik DIA . Sebagaimana perihal syurga dan neraka, alam malaikat, alam jin, alam arwah, kisah umat terdahulu yang sahih dan terperinci kesemuanya tidak dapat diketahui melainkan melalui perkhabaran dari-NYA .

"Sesungguhnya di sisi Allah (sahaja) pengetahuan tentang kiamat, Dialah yang menurunkan hujan, Dia mengetahui apa yang berlaku dalam rahim-rahim, dan mana-mana jiwa tidak mengetahui apa yang akan dia usahakan pada keesokan hari juga tidak mengetahui di bumi manakah dia akan mati, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Ilmu-NYA"
(Luqman 31:34)

Ya, manusia boleh meramal hujan, namun tidak mampu mengetahui dengan tepat bilakah hujan akan turun . Bahkan jika Allah menyekat hujan dari turun, manusia tidak akan mampu mencipta apa jua alat untuk menurunkan hujan, hatta pembenihan awan sekalipun.

Kita boleh mengetahui jantina ketika janin dalam rahim ibu, namun kita tidak tahu apa yang berlaku pada janin setiap saat dalam rahim ibu, bahkan jantina janin hanya boleh diketahui dengan bantuan alat sahaja . Bahkan kita tidak mampu membentuk janin mengikut kehendak kita .

Kita boleh merancang apa yang hendak dilakukan pada hari-hari tertentu, namun terkadang kia tidak dapat melaksanakan apa yang kita rancang.

Kita boleh menyimpan hasrat untuk meninggal di tempat yang diinginkan, namun kesdahannya hanya Allah yang menentukan .

Kesemuanya itu tidak beerti kita telah melangkaui sempadan ilmu Allah. Ia hanya berlegar sekitar 'kulit' ilmu Allah sahaja.

Berkenaan kiamat, Allah menyatakan ianya hak eksklusif-NYA, tidak ada perkara dan cara untuk mengetahui dengan tepat tentangya .

Ya hadith Nabi ada menjelaskan beberapa tanda kiamat, namun untuk mengatakan dengan tepat berkenaan tahun, tarikh terjadinya kiamat, ia bukan dalam sempadan perbahasan umat manusia.

Kiamat adalah persoalan akidah. Keimanan kita terhadap perkara ghaib . Jika kita sibuk meramal perkara yang menjadi hak eksklusif Allah, bukankah kita telah mencabuli sempadan keimanan kita tentang perkara ghaib?

Jika kita sibuk menentang golongan yang memperihalkan tentang zat Allah ( contohnya yang mengatakan Allah bertangan, berada di Arasy ), mengapa kita bersikap lepas tangan terhadap orang yang menafikan ilmu hak eksklusif Allah apabila mereka bercakap tentang tarikh kiamat?

Sebaiknya, bicarakanlah tentang persiapan menghadapi 'kiamat kecil' bagi semua manusia. Jika kiamat kecil pun kita tidak dapat meramalkannya, apatah lagi kiamat besar?

Petir dan Guruh Menurut Sains Dan Perspektif Islam

Saturday, September 18, 2010

Bismillahirrahmanirrahim.

Rayuan sang isteri yang berkali-kali meminta untuk dicoretkan sesuatu pada kanvas mayanya, baru sekarang nampak bersahut.

Asalannya, ia berkisar tazkirah ringkas yang ana sampaikan di Surau al-Islah Bandar Baru Sungai Buloh lewat Ramadhan yang lalu.

Apakah Kilat?


Udara yang turun naik di dalam awan ribut petir mengakibatkan pemisahan cas positif dan cas negatif. Kilat adalah nyahcas yang terhasil apabila perbezaan cas elektrik di antara permukaan bumi dan atmosfera cukup besar untuk mengatasi kesan penebatan udara. Kilat boleh terjadi samada di dalam awan, dari awan ke awan, atau antara awan dengan permukaan bumi. Kilat kerap menyambar di luar kawasan hujan lebat dan boleh berlaku sejauh 10 batu dari kawasan hujan tersebut.

Udara berhampiran kawasan yang dipanah kilat menjadi panas dan mencapai suhu melebihi 27,000°C - iaitu lebih panas daripada permukaan matahari. Pemanasan dan penyejukan cepat udara berhampiran kawasan yang terkena kilat menghasilkan rencatan gelombang yang mengejut lalu menghasilkan guruh.

Pemanasan dan penyejukan cepat udara berhampiran kawasan yang terkena kilat menghasilkan rencatan gelombang yang mengejut lalu menghasilkan guruh. Akibatnya, udara tersebut terbias melebihi kelajuan suara (bunyi) walaupun rencatan gelombang kembali ke gelombang suara normal dalam jarak beberapa meter. Gelombang suara terbentuk mengikut udara atmosfera dan bentuk permukaan selepasnya.

Itulah penjelasan proses kejadian petir dan guruh terjadi susul menyusul menurut pemerhatian sains. Namun Islam ada huraian yang berbeza.

Petir atau Kilat

Kilat merupakan panahan terhadap syaitan dan jin yang cuba untuk mencuri dengar takdir Allah SWT.

Dikisahkan bahawa, sebelum kerasulan Nabi SAW, syaitan bebas mencuri dengar segala berita di langit, namun semuanya terhalang setelah Nabi diangkat menjadi Rasul. Lantas Iblis mengarahkan tenteranya mencari sebab kenapa mereka terhalang. Akhirnya mereka mendapati puncanya adalah kerana Rasul akhir zaman telah dibangkitkan.

Jika dahulu mereka bebas mencuri maklumat di langit, sekarang ini mereka pasti berdepan dengan lontaran panahan api yang sentiasa mengekori. Panahan itulah yang kita lihat sebagai kilat.

Semuanya ini dapat kita maklumi menerusi firman Allah dalam surah al-Jinn.

Guruh

Nabi SAW bersabda :

الرعد ملك من الملائكة موكل بالسحاب بيده أو في يده مخراق من نار يزجر به السحاب والصوت الذي يسمع منه زجره السحاب إذا زجره حتى ينتهي إلى حيث أمره

Maksudnya : Guruh itu merupakan golongan malaikat yang diwakilkan untuk mengawal awan, ditangannya ada penukul dari api yang digunakan untuk mengarah/mengekang awan. Suara yang didengari itu merupakan arahannya sehinggalah awan berada ditempat yang diarahkan.

Imam al-Qurtubi pula menukilkan dalam kitab beliau al-Jami' li Ahkamil Quran, ketika beliau membicarakan tentang tafsir surah Saba ayat 23:

"Apabila Allah SWT memutuskan sesuatu maka para malaikat tunduk hormat kegerunan sambil melebarkan sayapnya, suara yang didengari merupakan geseran antara sayap-sayap malaikat" .

Ia bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari (hadis no. 4800) dan Tirmizi (hadis no.3233) dalam sunan beliau.

Begitulah huraian dan penjelasan menurut perspektif Islam, sama ada kita menerima atau menidakkannya, itu terpulang kepada keimanan masing-masing.


Salmanfasiri

Tsa'labah Insan Terfitnah

Wednesday, August 25, 2010

BismillahirRahmanirRahiim.

Salam Ramadhan.

Tentu anda pernah mendengar kisah Tsa'labah bukan? Kisah bagaimana si miskin yang kemudian menjadi kaya berkat doa Rasulullah SAW namun dia hanyut dalam kekayaan.

Dinukilkan dalam beberapa kitab tafsir bahawa Tsa'labah meminta Rasululah mendoakan agar Allah mengurniakan kekayaan kepada beliau dan berjanji akan menunaikan segala kewajpan harta. Setelah beberapa kali Tsa'labah merayu, Rasulullah pun mendoakan agar beliau diberi kekayaan.

Hasil daripada doa baginda SAW, kambing Tsa'labah bertambah, berkembang biak dengan cepat sehinggakan padang ragut di Madinah dipenuhi dengan kambing-kambing beliau. Tsa'labah yang sebelum ini merupakan seorang yang tidak pernah tinggal solat berjemaah, namun setelah kambing beliau berkembang biak, solat jumaat pun beliau tinggalkan. Apabila pemngut zakat datang untuk memungut zakat, beliau merungut dengan katanya :
"Ini tidak lain, hanyalah pemungut cukai semata-mata"

Kelakuan Tsa'labah ini sampai ke telinga Rasulullah dan tidak lama selepas itu diturunkan ayat yag mengutuk perbuatan Tsa'labah, lantas beliau berlari-lari mendapatkan Rasululllah meminta maaf namun sudah terlambat dan beliau meninggal pada zaman khalifah Abu Bakar.

Inilah kisah yang kita biasa dengar dan sebarkan!!!!




Kebenaran Yang Tersembunyi

Sebenarnya kisah yang dinyatakan adalah satu pembohongan dan fitnah terhadap seorang sahabat agung.

Ibnu Hazm dalam kitab beliau "al-Muhalla" menyatakan : dan kami telah riwayatkan satu kisah tentang sebab turunnya ayat tersebut iaitu berkenaan dengan Tsa'labah bin Hatib sedangkan kisah tersebut adalah batil kerana Tsa'labah merupakan ahli Badr yang terkenal.

Imam Munawi pula menyebut dalam kitab beliau "Faidhul Qadir" : Imam Baihaqi menyatakan: sanad hadith ini perlu diperhatikan (walaupun) ia masyhur di kalangan ahli tafsir.

Al-Hafidz Al-Iraqi pula menyatakan ketika beliau menjelaskan susur galur hadith dalam Ihya Ulumuddin, beliau menyatakan riwayat tersebut disebut oleh at-Tabrani dengan sanad yang lemah.

Syeikh Muhammad bin Thohir pula mengungkapkan dalam kitab beliau "Tazkirah al-Maudhu'at", bahawa riwayat tentang kisah ini lemah.

Ibnu Hajar al-Asqalani turut mempertikai kesahihan kisah ini dan beliau menyatakan bahawa kisah sebenar berkenaan sebab turunnya ayat 75 surah at-Taubah tersebut adalah berkenaan golongan munafik.

Manakala imam az-Zahabi juga turut mempersoalkan kisah ini dalam kitab beliau "Mizan I'tidal"

Turut mengkritik kisah Tsa'labah ialah Imam Sayuti dalam kitab beliau Lubab an-Nuqul fi Asbaab an-Nuzul.

Terdapat juga hadith dalam riwayat al-Bukhari"

"Seorang hamba Tsa'labah datang bertemu Rasulullah SAW lantas mengadu perilaku Tsa'labah dengan katanya : Tsa'labah ahli neraka". Lantas Rasulullah memarahi hamba tersebut dengan sabda baginda : Bohong!! Kamulah ahli neraka. Tsa'labah adalah ahli badar dan tahkah kamu bahawa Allah mengampunkan segala kesalahan ahli Badar?"




Kesimpulan

Sepatutnya kita lebih teliti dalam menerima dan menyampaikan kisah berkenaan orang yang hidup pada zaman Rasulullah atau yang digelar "sahabat Nabi". Kisah mereka banyak diseleweng untuk kepentingan beberapa puak.

Rujuklah mereka yang ahli dalam ilmu sirah lebih-lebih lagi mereka yang mahir ilmu rijal (susur galur dan sifat perawi) supaya kita tidak terjerumus sama berkongsi dosa.

Wallahu'alam

Mari Berhibur dan Berboros Di Bulan Ramadhan

Friday, August 13, 2010





Alhamdulillah, segala pujian hanya untuk Yang Haq. Selawat dan Salam tuju untuk Nabi Muhammad, kaum keluarga dan sahabat.
UNITAR (Universiti Tarbiyah Ramadhan) kembali dibuka pendaftarannya. Muslimin dan muslimat wajib mendaftar jika sudah mencapai umur baligh.
Malam pertama pendaftaran, kelihatan ramai yang datang bersama keluarga. Pusat-pusat pendaftaran sesak dengan kunjungan yang tidak diduga ini.
Para pengarah pusat-pusat pendaftaran tampak tersenyum sinis dengan fenomena ini. Malam pertama cukup meriah. Almaklumlah, umpama sambutan 'anniversary', pasti ramai yang datang untuk itu.
Anda suka berhibur bukan? Jika anda menjejaki kaki ke UNITAR ini, pasti anda akan dihiburkan dengan pelbagai acara menarik yang disediakan khas oleh Sang Penganjur, Tuhan Sekalian Alam.Hiburan Pertama (Utama): Puasa

Ia mempunyai 3 kategori:

a. Puasa Am
b. Puasa Khasc. Puasa Khasul Khas
‏ ‏لخلوف ‏ ‏فم الصائم أطيب عند الله تعالى من ريح المسك
Maksudnya: Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah berbanding dengan bau kasturi
Ingat ye, di sisi Allah, bukan di sisi manusia. Kalau berada bersama manusia, janganlah pula nak halakan hembusan nafasnya yang berbau itu kepada rakan sebelah. Pengsan orang tu nanti, susah.

Hiburan kedua : Terawih Dan Qiyamullail

Kerjakankanlah terawih seberapa yang anda mampu, tapi jangan kurang dari 8 rakaat. Biasanya kebanyakan 'pelajar-pelajar' mengerjakan sebanyak 8 rakaat sahaja. Golongan pelajar senior pula mengerjakan 20 rakaat ‏ ‏ما كان يزيد في رمضان ولا في غيره على إحدى عشرة ركعة ‏ ‏يصلي أربعا فلا تسل عن حسنهن وطولهن

Maksudnya : Nabi tidak pernah (solat) sama ada pada Ramadan atau selainnya melebihi 11
rakaat. Tidak perlu kamu bertanya tentang keelokkan dan panjangnya (lama).(HR Bukhari)Hiburan ketiga : Tilawah al-Quran

‏وكان ‏ ‏جبريل ‏ ‏عليه السلام ‏ ‏يلقاه كل ليلة في رمضان حتى ‏ ‏ينسلخ ‏ ‏يعرض عليه النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏القرآن
Maksudnya: Dan Jibril sentiasa bertemu dengan baginda pada setiap malam Ramadhan sehingga ke akhirnya, (yang mana) Nabi ajukan (bertadarus) Al-Quran kepadanya (Jibril) (HR Bukhari)

Hiburan Keempat : Iktikaf

كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يعتكف العشر الأواخر من رمضان

Maksudnya: Nabi sentiasa beriktikaf pada sepuluh terakhir Ramadhan (HR Bukhari)

Iktikaf mudah sahaja, jika anda ingin tidur sepanjang masa pun tidak mengapa :p




Mari kita berboros
Berboros di bulan Ramadhan? Pelik bunyinya kan?
Ya mungkin tapi itu anjuran Islam

.a. Berboros dalam bersedekah

فإذا لقيه ‏ ‏جبريل ‏ ‏عليه السلام ‏ ‏كان أجود بالخير من الريح المرسلة


Maksudnya : Apabila Jibril as bertemu dengan baginda, (didapati) baginda orang yang paling dermawan berbanding angin yang berlalu.(HR Bukhari)

Jika dikatakan angin yang berlalu itu amat pantas, ia belum dapat menandingi 'kepantasan' Nabi saw mengeluarkan belanja untuk bersedekah. Harta yang ada tidak pernah berada lama di
tangan baginda, pasti baginda akan habiskan untuk sedekah.

Bersedekah kepada siapa ya?
Bersedekahlah kepada sesiapa sahaja asalkan dinamakan sedekah terutamanya kepada 8 golongan. Ohya, kepada imam terawih pun boleh, lebih-lebih lagi jika dia seorang pelajar (macam ana la..ana budak baru belajar juga :p)
Aha, sedekah wajib tidak boleh diberi kepada orang yang berada dibawah tanggungjawab kita, contohnya anak isteri.
Sedekah yang sunat pula digalakan diberi kepada kaum kerabat yang memerlukan.

b. Berboros untuk menyediakan juadah berbuka
Anda suka ke bazar Ramadhan? Jika gemar ke sana baguslah, beli makanan banyak-banyak, kemudian adakan jamuan berbuka.

‏ ‏من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا

maksudnya: Sesiapa yang memberi juadah berbuka kepada orang yang berpauasa, dia mendapat pahala seumpama orang yang berpuasa, namun pahala orang berpuasa tidak berkurangan sedikitpun.(HR Tirmizi)
Riwayat ibnu Khuzaimah pula menyatakan bahawa pahalanya seumpama memerdekakan seorang hamba.

Wah!!! hebatnya... Justeru sesiapa yang mempunyai lebihan harta, eloklah sediakan juadah untuk orang berbuka puasa. Tidak semestinya juadah itu perlu ada ayam golek, ayam percik, ayam madu, kerabu, daging bakar, udang galah dan sebagainya, cukup hanya seteguk air, tapi janganlah setiap hari seteguk air je yang diberi!!
. Upgrade la mind set anda itu.

Matlamat hiburan dan boros ini adalah untuk memperolehi pingat kebesaranVIP dalam Islam iaitu TAQWA

Anda tidak akan dikenakan bayaran apa-apa untuk hiburan ini

Program SPIES SISWA

Friday, July 30, 2010

Bismillahirrahmanirrahim.


Makluman Program S.P.I.E.S SISWA

Tempat : TNB Integrated Learning Solution (ILSAS)
UNITEN Bangi


Tarikh : 7-9 Ogos 2010

Bayaran : PERCUMA


Maklumat lanjut akan diberitahu dari semasa ke semasa.

Urusetia Impact Learning Resources:-
Keterangan lanjut sila hubungi

012-2141654 (Encik Mohd Johar)

03-87364863 (Impact Learning Resources)

017- 2671445 (Kak Aina)


OBJEKTIF PROGRAM

1. Melatih peserta tahan lasak dalam ujian kehidupan secara rohani, emosi, intelektual, fizikal dan sosial.

2. Membina semangat peserta agar berani dan berketrampilan.

3. Membentuk sifat pertanggungjawaban kepada masyarakat dan alam.

4. Melatih dan menggilap sifat kepimpinan yang kritis dan kreatif.

5. Membina skill kepimpinan di kalangan peserta.


SASARAN PESERTA

Bakal Mahasiswa/mahasiswa sedang belajar atau tamat dari Mesir


KEPERLUAN PESERTA

1. Pakaian Formal

2. Pakaian ibadah (untuk muslim)

3. Pakaian Sukan

4. Peralatan keperluan diri


KENDERAAN : Sendiri


(klik gambar untuk paparan lebih jelas)

Kembali ke Alam Universiti

Wednesday, July 14, 2010

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


AlhamduliLLAH, pada 6hb Julai lepas saya dapat mendaftarkan diri sebagai siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sesi 2010/11.

Hari pendaftaran agak kalut memandangkan saya perlu bertolak awal dari Sungai Buloh. Amat berterima kasih kepada sahabat yang juga bekas ahli bait ( rakan serumah) tika di Mesir, Ustaz Abdul Rahim . Beliau sanggup memandu dari rumahnya di Keramat AU, untuk menumpangkan saya ke UKM .

Pendaftaran yang sepatutnya sebelum jam 9.30 pagi, namun kami sampai tepat jam 9.30 pagi terpaksa mengikuti taklimat dari Penyelaras Program dan hanya dapat mendaftar pada jam 12.30 tengahari!!!!. Alhamdulillah, kami pelajar terakhir yang mendaftar pada hari tersebut .

Kekalutan berterusan semasa mendaftarkan kursus. Tertulis pada jadual, masa untuk mendaftarkan kursus ialah jam 2.30 petang . Kami berulang alik dari Fakulti Pengajian Islam ke Pusat Pengurusan Siswazah . Rupanya tersalah tempat (bangunan). Tu la, lain kali baca arahan betul-betul, tengok papan tanda haha. Sekali lagi kami menjadi pelajar terakhir mendaftar kursus. Pelajar diberi kata laluan untuk ke laman SMP UKM bagi urusan pendaftaran kursus . Semua subjek yang ingin didaftar dah penuh, tinggal subjek yang tidak glamour je yang belum penuh . Nasib la.

Setelah meminta zaujah yang daftarkan (maklumlah, saya tiada kemudahan internet), subjek yang dipilih amat simple . Nak buat macamana, kouta dah penuh .

Inilah jadual pengajian saya :

Hari 8.oo-11.oo pagi 11.00-2.00ptg 2.00-5.00ptg

Isnin : Metodologi Tafsir& Hadith , Falsafah Perundangan Islam, Persoalan Fiqh Semasa

Selasa : Kajian Agama-Agama


Pujian juga buat Allah, kerana penyelia saya adalah Prof Abdoul Wadoud Mustafa Al-Saudi . Walaupun akhirannya adalah 'al-Saudi' tapi beliau adalah peranakan Mesir . AlhamduliLLLAH dapat mengaktifkan balik dialek arab saya.


Saya tidak bahawa saya akan kembali ke alam universiti . Ya, saya agak, bila sudah menggalas tangungjawab sebagai seorang suami, saya harus terus bekerja.

Saya bukan lagi berada di Mesir, di mana tidak menjadi 'musykilah kabirah' walau telah berumahtangga . Kebanyakan pasangan pelajar yang berkahwin dan menetap (belajar) di Mesir masih lagi menerima 'wang ihsan' dari ibubapa masing-masing . Paling tidak, mereka masih punyai wang zakat. Tidak dinafikan ada juga yang mencari rezeki di sana dan menjadi 'taukeh besar'.

Namun di Malaysia ini, fikir saya agak sukar untuk 'amalkan' gaya hidup seperti pasangan di Mesir. Kos hidup kedua-duanya berbeza . Di Malaysia, seorang pelajar 'wajib' punyai paling kurang RM 600 sebulan sedangkan di Mesir saya berhabis sekitar RM 300-350 sebulan (mungkin pelajar di Pakistan lagi bertuah kerana perlu sekitar RM200-250 sahaja).

Saya punyai keyakinan bahawa Allah tidak akan putus memberi rezeki kepada hamba, selagi belum sampai ajal hamba tersebut . Apa yang perlu saya lakukan ialah berusaha untuk bekerja . Dia yang menjajnikan rezeki, biarlah dia yang menentukan sebanyak mana rezeki saya .


p/s : kredit to Ustaz Rahim dan Ustaz Hasmin yang banyak membantu

SubhanALLAH Ma sya Allah

Tuesday, June 29, 2010

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Seringkali kita mendengar terpacul keluar dari mulut seseorang perkataan " SUBHANALLAH" dan juga " MASYA ALLAH".

Alhamdulillah, gayanya orang yang selalu menyebut ungkapan itu adalah orang yang beragama. Namun jika dikaji secara mendalam, ada sedikit kejanggalan pada ungkapan mereka?

Ya, ada kejanggalan . Bukan hendak memperlekeh orang yang menyebut perkataan itu . Juga bukan hendak mendabik dada . Tolong, tolong jangan pasak perkara negatif di minda anda.


Zikir Yang Menjadi Adat

Di alam Melayu, selalunya kita akan mendengar ungakapan sebagaimana berikut jika kita rasa terkejut bila mendengar atau melihat sesuatu yang negatif, contohnya bila kita dengar orang yang buat maksiat

" Masya Allah , kau berjudi?"

atau juga bila kita dengar cerita sesorang yang zalimi ibu bapa (anak dan sebagainya)

" Masya Allah, anak apa kau ni, buat begitu kat mak ayah kau"

Begitu juga perkataan lain yang terkeluar dari mulut , umpama " SUBHANALLAH"
Biasanya jika berlaku perkara yang difikirkan ajaib, takjub dan indah, ungkapan "SUBHANALLAH" akan keluar

Contohnya jika kita dengar orang dapat 20A1 dalam SPM

"SubhanaLLAH, hebatnya dia"

Begitula kita, jika kita mendengar sesuatu yang baik, pasti kita akan sebut " SubhanaLLAH" dan jika kita mendengar sesuatu yang buruk atau negatif , kita akan ungkap "Masya Allah"


Penggunaan Yang Terbalik

Jika diteliti dan dikaji, perkataan (ungkapan zikir) yang kita gunakan (praktik) tika berhadapan dengan situasi di atas amat berbeza dengan apa yang diajar oleh Islam

Ungkapan " Masha Allah" sepatutnya digunakan untuk perkara yang menggambarkan keindahan, ketakjuban yang positif terhadap sesuatu perkara .

Sebagai contoh, kejayaan seseorang dalam pelajarannya atau bidangya perlu kita sebut

" Masya Allah, hebatnya, dia dapat 20A1 dalam SPM"

" Masya Allah, dia dapat cipta enjin solar berkelajuan tinggi"

Juga kita boleh menyebut

"Masya Allah, cantiknya baju awak"

Al-Quran menukilkan ayat berkenaan penggunaan kalimah "masya Allah inii dalam surah Al-Kahfi ayat 39 (Juzuk 15):

" Mengapakah tidak engkau katakan "masya Allah",tiadalah kekuatan melainkan dari Allah ; tatkala engkau melihat aku kurang berbanding engkau dari segi harta dan anak pinak"

Dari ayat tersebut dapat difahami bahawa jika kita mendapati kita lebih hebat dari orang lain, maka sepatutnya kita menyebut 'masya Allah" .

Bukan dalam bab ini sahaja bahkan dalam apa jua perkara yang indah dan menarik , inilah kalimah yang sepatutnya diucapkan, bukannya perkataan lain .


Dalam masa yang sama, penggunaan kalimah ini boleh menghindari seseorang mendapat penyakit " ain" atau sumpahan mata . Oleh itu tidak hairanlah jika kita dapati di kebanyakan negara Arab, Pakistan dan Iran , mereka akan melakarkan perkataan "masya Allah" jika mereka sedang dalam proses pembinaan bangunan dan kalimah itu kekal sehinggalah bangunan siap dibina .


Manakala penggunaan kalimah SubhanaLLAH pula biasa digunakan oleh baginda SAW dalam perkara yang dianggap pelik atau hairan pada perbuatan yang kurang tepat .

Sebagai contoh dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tirmizi, dari Abu Hurairah ra mafhumnya

" Suatu hari aku berjunub dan ternampak Rasulullah SAW berjalan bersama para sahabat, lantas aku menjauhi mereka dan pulang untuk mandi junub, setelah itu aku datang menemui Rasulullah SAW . Baginda bersabda : Wahai Abu Hurairah, mengapakah engkau melarikan diri tatkala ternampak kami? Aku menjawab: Wahai Rasulullah , aku kotor (berjunub) dan aku tidak selesa untuk bertemu kalian . Rasulullah SAW bersabda : SUBHANALLAH!! sesungguhnya mukmin tidak najis "

Lihatlah bagaimana ungkapan Nabi tika mendengar kata-kata Abu Hurairah . Baginda tersentak dengan fahaman Abu Hurairah yang kurang tepat .

Olehh itu, sepatutnya jika erlaku atau terdengar sesuatu yang negatif , kita ungkapkan "SUBHANALLAH", contohnya

" SubhanaLLAH, awak belum solat lagi?"

" SubhanaLLAH, kenapa boleh jadi macam tu?"


Mungkin kita tertanya-tanya, bagaimana pula ayat Al-Quran yang menggunakan kalimah "SubhanalLLAH" tika membicarakan soal penciptaan langit dan bumi serta seisinya yang cukup mengagumkan?

Jawapannya ialah kerana ketakjuban kita dan keindahan yang memukau itu menyebabkan minda kita melayang-layang yang memudahkan syaitan menusuk 'jarumnya' untuk membayangkan zat Allah , lantas kita perlu sucikan Allah dari segala bentuk bayangan minda yang salah . Juga untuk memasakkan dalam jiwa kita sekalipun kita takjub pada alam, Allah yang lebih layak untuk kita kagumi . Wallahu a'lam

Inilah sebahagian dari mutiara ilmu tafsir yang saya kutip dari ulama Pakistan, walau mungkin tiada sumber rujukan yang mereka nyatakan namun ada jaluran dan rantaian (sanad) ilmu tafsir ini sampai kepada RasuluLLAH SAW

Status Baru

Thursday, June 17, 2010




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

" Dan antara tanda keagungan-NYA; Dia menciptakan untukmu pasangan dari jenis seumpamamu supaya kamu mendapat ketenangan bersama-NYA, dan Dia menjadikan hubungan kasih sayang serta kemesraan "

SubhanaLLAH, benarlah firman-NYA. Sejak bergelar suami, ketenangan yang ama, menerobos masuk ke ruang jantung hati, merembeskan rasa damai ke seluruh anggota badan.

Kalau dulu , diri ini amat ralat untuk bercakap tentang alam perkahwinan . Sungguh janggal rasanya bila membacakan bab nikah tika menyampaikan kuliah . Apa tidaknya, kebanyakan hadirin adalah para suami, para ayah, para datuk sedang diri sendiri belum lagi membina masjid .

Namun kini, keyakinan mula menjalar dalam diri untuk menyampaikan hadis atau membicarakan hukum hakam perkahwinan . Diri membuak-buak untuk berkongsi huraian firman Tuhan atau sabda Nabi berkenaan alam rumahtangga .


Wanita Pilihan

Sebelum melangkah ke alam perkahwinan, seringkali sabda Nabi ini diulang-ulang :

" Wanita itu dikahwini kerana empat perkara; kecantikannya, keturunannya, hartanya dan agamanya , carilah yang beragama, pasti kamu akan beruntung"


Jika sebelum ini, sabda Nabi ini saya fahami secara zahirnya sahaja tanpa memahami apa bentuk keuntungan yang dimaksudkan baginda . Sekarang saya boleh huraikan mengikut pengalaman kecil yang saya peroleh .

Ya benar, memang beruntung mereka yang meletakkan agama sebagai benda asas dalam memilih wanita sebagai isteri . Jika agama diletakkan sebagai syarat utama, mereka akan dapat yang lainnya . Mereka akan dapat rasakan isteri mereka amat cantik, berketurunan mulia dan harta paling berharga . SubhanaLLAH, itulah yang saya faham dari sabda Nabi Junjungan . Mungkin anda diluar sana punyai pendapat lain tapi izinkan saya war-warkan pendapat saya itu.


Tiada Yang Sempurna

Ramai orang mengharapkan pasangan mereka sempurna . Namun kesempurnaan semulajadi tidak akan ditemui dalam alam manusia . Kesempurnaan harus diusahakan . Jika kita mengharapkan orang lain sempurna , maka sempurnakanlah diri kita terlebih dahulu . Adakah anda yakin anda sempurna? atau akan sempurna? Jika anda menganggap diri anda sempurna , adakah orang lain yang memandang anda, menganggap anda sempurna ?

Begitulah dalam membina rumahtangga, jangan mengharapkan pasangan kita sempurna segalanya, bahkan kita adalah pelengkap bagi mereka dan mereka adalah pelengkap hidup kita

" Janganlah kamu mencerca isterimu kerana kekurangan yang ada padanya, boleh jadi kamu tidak suka pada satu perkara padanya namun mungkin kamu akan suka pada perkara lain yang ada padanya"

Orang yang hanya mengharapkan kesempurnaan pada orang lain tanpa memandang pada dirinya sendiri seumpama ketam yang mengharapkan anaknya berjalan betul


Alam perkahwinan akan indah jika sang nakhoda bijak mengemudi bahtera , sebaliknya akan jadi mimpi ngeri jika pengemudi mementingkan diri

Salam dari penulis buat teman-teman yang belum 'berkesempatan' melayari bahtera rumahtangga :d

Pasca Perkahwinan

Wednesday, May 26, 2010




Alam perkahwinan adalah alam yang membiaskan seribu satu perkara samada pahit atau manis.
Mereka yang mampu mengemudi bahtera perkahwinan dengan baik, akan mendapat natijah dan hasil yang amat berbaloi. Sebaliknya jika nakhoda bahtera gagal memainan peranan, impaknya amat besar, hinggakan bahtera yang dibina dengan gah sekalipun, akan karam .


Bayangan Sebelum Kahwin

Menjadi kebiasaan, bakal pengantin akan diusik dengan gurauan nakal rakan taulan dan sanak saudara.

" Ni dah hafal ke lafaz ijab kabul?"

Aduhai, lafaz pun nak kena hafal ke? Mendengar pelbagai kisah ssaudara mara dan sahabat yang berhadapan dengan tuan imam pada majlis akad, terkadang agak melucukan dan terkadang terkilan . Apa tidaknya, sudahlah pengantin berdebar-debar kala itu, 'usikan' saksi turut menambahkan lagi debaran .

"Em sebutan nikah tu kurang makhrajnya, nikah tu bahasa arab jadi kena sebut betul-betul"

Ini lagi la kes naya kan?

Kalau yang nakal sedikit, akan keluar soalan cepu mas

" Ni dah pergi berurut seluruh badan ke? Minyak dhob ada? "

Kadang tertanya-tanya, perlu ke semua tu? Asas utama mungkin? Saya jahil masalah itu


Islam dan Kekeluargaan

Bagi saya, soalan yang perlu ditanya pada bakal ialah,

"Asas fardhu ain dah hadam?"

Atau boleh juga ditanya

" semua keluarga laki dan perempuan meredhai kalian?"

Bukan sedikit di kalangan kita yang membelakangkan keluarga dalam urusan perkahwinan. Ya benar, ibubapa harus memberi kebebasan pada anak-anak untuk memlih pasangan mereka namun anak-anak harus menghormati ( patuh) pandangan dan nasihat orang tua .

Tidak kurang penting untuk kita tanyakan pada bakal pengantin

" Persiapan kalian menepati syara'?"

Maksud saya, semua persiapan dan aturcara perkahwinan , sudahkah menepati kehendak syara? Bermula dari meminang, bertunang dan majlis walimah.

Alam pertunangan adalah alam ujian bagi bakal pengantin . Terkadang, atas nama TUNANG., kelakuan lebih dari sepasang suami isteri . Bila dah berumahtangga, tiada lagi keintiman.

Walimah pula, pelbagai adat yang mengikat, antaranya:

1. hantaran ( maksud di sini dulang ) semasa walimah perlu lebih banyak dari hantaran yang dibawa semasa meminang .

2. Rombongan yang datang bersama pengantin lelaki akan membayar kos makan di rumah pengantin perempuan.

Itu antara adat dalam perkahwinan di Kelantan.

Rasanya kata pepatah Melayu " biar mati anak, jangan mati adat " sudah boleh diberi komentar sekarang ini

Wallahu a'alam

Penulis Nasi Kerabu

Thursday, May 20, 2010


Agak lama meninggalkan laman blog . Tidak dapat dinafikan bahawa menulis di blog adalah umpama makan nasi kerabu . Awalannya tidak mahu makan kerana zahirnya tiada daya penarik. Nampak macam bersepah sahaja ulam di atas nasi, campuran pelbagai sayuran menyesakkan lagi rupa nasi kerabu.

Namun bila hidangan dijamah , rasa-rasanya ada yang hendak tambah bahkan kalau boleh, menu sarapan paginya adalah nasi kerabu. Ditambah pula dengan pelbagai lauk telur masin, daging bakar, solok lada dan yang terpenting sekali paling tidak dua tiga sudu budu . Nah itulah penangan nasi kerabu . Zahirnya tidak menampakkan daya penarik atau menyebabkan kecur air liur ( tapi penulis saat menulis perihal nasi kerabu ini pun sudah mula kecur).

Jadi bagi penulis, mereka yang sudah mula menaip di blog, pasti akan ada satu masa dia ketagihan untuk menulis . Maka akan ditulis disitu pelbagai rencam hidup . Ada sahaja yang hendak diulas, yang hendak dikomen dan hendak dikongsi bersama . Ada kala dia rasa macam sudah jemu menulis , meminggirkan diri dari arena maya . Lesu.

Bagi yang suka menulis ( atau ketagih) segala aneka benda dia mahu tulis, dari hal peribadi diri hinggalah isu antarabangsa menjadi adunan tulisan. Benar atau salah, itu belakang kira yang penting dia ingin turut memeriahkan 'acara arena maya' . Itu bagi yang tidak kisah . Tulisannya umpama nasi kerabu, pelbagai rencah dan aneka suaan untuk 'meyeronokkan' pembaca .

Bagi yang meraikan garis panduan Islam, pastinya tulisan akan berhemah, berpaksikan fakta, meraikan garis panduan Islam dalam , diolah dengan bahasa yang menarik dan santai, sesuai untuk dibaca semua lapisan, madah bertapis . Bak nasi kerabu yang cukup adunan dan budu yang bersukat .

Jadi menulis umpama menjamah nasi kerabu!!!!!

Pada Siapa Amanah Itu

Wednesday, April 28, 2010


Saban hari, dada-dada akhbar dipampang kes dera yang berlaku. Jika dahulu kes dera orang gaji dengan majikan, sekarang ini kes dera yang banyak dipaparkan ialah antara pengasuh dan bayi atau kanak-kanak.

Terbaru kes kanak-kanak Cina Chua Wee Leong, 2 , yang dijaga pengasuh, tangannya dicelup dalam sup panas, hingga menurut pakar perubatan, akan mengalami cacat kekal sekalipun luka pada jari-jarinya akan sembuh.

Walaupun ibubapa kanak-kanak malang itu ‘menggajikan’ pengasuh sebanyak rm900 sebulan ( cukup tinggi) namun tidak menjamin keselamatan anak mereka.

Terkadang kita bertanya, berbaloikah wang dibelanjakan sebanyak itu ?


Dalam aspek lain, bagaimana pula sang pengasuh? Adakah mereka benar-benar terlatih untuk membuka pusat penjagaan kanak-kanak (nursery)? Memang benar, pengasuh terdiri daripada perempuan dan emosi perempuan amat sukakan bayi/kanak-kanak. Namun itu tidak cukup untuk kita rasa selamat dan tenang tika menghantar anak ke pusat penjagaan.

Bukanlah tujuan saya untuk merendahkan martabat wanita. Juga bukanlah tujuan saya untuk mengatakan bahawa saya tidak punyai niat untuk menghantar anak ke pusat jagaan atau mendabik dada . Bukan juga untuk mempersenda ibubapa .

Mustahil (menurut pandangan saya) pusat penjagaan kanak-kanak akan menggaji seorang pengasuh untuk seorang kanak-kanak. Kebiasaannya seorang pengasuh akan mengawal paling kurang dua hingga 4 orang . Jika yang dijaga itu bayi yang berusia bawah 1 tahun, mungkin tidaklah berat kerana bayi biasanya menghabiskan masa mereka dengan tidur sahaja berbeza dengan kanak-kanak yang berumur lebih setahun, mereka sudah mula aktif, oleh itu tahap keselamatan mereka perlu lebih diberi perhatian.

Kita sepatutnya ada alternative lain. Tidak dinafikan bahawa ‘tekanan’ hidup menyebabkan pasangan perlu bekerja. Saya kira, tidak ada isteri ( atau mungkin segelintir) yang sanggup berhenti kerja demi menjaga anak mereka. Apatah lagi mungkin tidak direstui ibubapa yang mengharapkan anak perempuan mereka terus bekerja . Alasannya, waspada jika apa-apa berlaku kemudian hari, ada juga simpanan.

"Awak senang cakap sebab awak belum kahwin lagi" satu suara membidas gegendang telinga saya.

Saya hanya senyum.

"Saya rasa kalau awak kahwin, awak, sebelum isteri awak bersalin, awak dah booking nursery" sambungnya lagi.

Wah, hebatnya saya .

"Err, encik, jangan cakap gitu, kang saya tak kahwin kang" saya cuba tenangkan keadaan.

" Tau takut, jadi jangan cakap benda yang awak belum alami" syarahnya lagi.

Saya hanya senyum. Senyum dan Senyum lagi.... Pengajaran bermakna buat saya hihi.

Ya mungkin apa yang berlaku hanyalah kes picisan atau satu (1) dalam seribu (1000), namun sampai bilakah baru kita mula sedar? Adakah bila anak kita yang terkena baru kita mula untuk turun naik mahkamah? Budaya saman menyaman akan terus hidup dan membesar lagi

Ibarat kata Karam Singh Walia mati semut kerna gula, mati manusia juga kerna gula… anak kerbau mati tertambat anak manusia mati terbiar..

p/s : Sori mr Karam, jangan saman saya