Followers

Hak Allah Dicabuli

Friday, October 1, 2010



Bismillahirrahmanirrahim...

Pujian hanya kepada Yang Haq.

Sementara menunggu sahabat-sahabat dari Kelantan datang bertamu, tangan terasa ingin mencoretkan sesuatu untuk dikongsikan bersama .

Mungkin kita pernah menonton filem 2012; 2012 ialah sebuah filem Amerika Syarikat bergenre cereka sains arahan Roland Emmerich. Filem ini dilakonkan oleh John Cusack, Amanda Peet, Danny Glover, Thandie Newton, Oliver Platt, Chiwetel Ejiofor, Woody Harrelson dan George Segal. Filem ini diedarkan oleh Columbia Pictures .



Filem ini mengisahkan berlaku bencana seluruh dunia yang menuju kepada hujung dunia dan mempunyai orang yang mungkin terselamat berusaha sedaya upaya untuk meneruskan kehidupan mereka. filem itu mendapat inspirasi oleh beberapa hipotesis menyatakan yang bahawa kaum mayans purba meramalkan peristiwa kiamat akan berlaku di sekeliling musim sejuk solstis 2012.

Hasil dari filem ini, ramai pula yang terkesan hatta orang Islam sendiri . Bimbang kehancuran dunia, resah .

Beberapa hari lalu, saya melayari facebook, masih ada rakan-rakan yang bersembang, komen mengomen tentang kiamat dan tarikh 2012 .


Adakah Islam membuka ruang untuk kita perbahaskan tentang kiamat seluas-luasnya? Atau menutup pintu perbahasannya serapat-rapat? Atau masih ada sedikit ruang?


Hak Eksklusif Allah


Allah punyai hak ekslusif yang tidak boleh diperdebatkan . Ada batasan yang perlu dijaga tika berbicara berkenaan dengan hak tersebut.

Permasalahan perkara ghaib hanyalah milik DIA . Sebagaimana perihal syurga dan neraka, alam malaikat, alam jin, alam arwah, kisah umat terdahulu yang sahih dan terperinci kesemuanya tidak dapat diketahui melainkan melalui perkhabaran dari-NYA .

"Sesungguhnya di sisi Allah (sahaja) pengetahuan tentang kiamat, Dialah yang menurunkan hujan, Dia mengetahui apa yang berlaku dalam rahim-rahim, dan mana-mana jiwa tidak mengetahui apa yang akan dia usahakan pada keesokan hari juga tidak mengetahui di bumi manakah dia akan mati, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Ilmu-NYA"
(Luqman 31:34)

Ya, manusia boleh meramal hujan, namun tidak mampu mengetahui dengan tepat bilakah hujan akan turun . Bahkan jika Allah menyekat hujan dari turun, manusia tidak akan mampu mencipta apa jua alat untuk menurunkan hujan, hatta pembenihan awan sekalipun.

Kita boleh mengetahui jantina ketika janin dalam rahim ibu, namun kita tidak tahu apa yang berlaku pada janin setiap saat dalam rahim ibu, bahkan jantina janin hanya boleh diketahui dengan bantuan alat sahaja . Bahkan kita tidak mampu membentuk janin mengikut kehendak kita .

Kita boleh merancang apa yang hendak dilakukan pada hari-hari tertentu, namun terkadang kia tidak dapat melaksanakan apa yang kita rancang.

Kita boleh menyimpan hasrat untuk meninggal di tempat yang diinginkan, namun kesdahannya hanya Allah yang menentukan .

Kesemuanya itu tidak beerti kita telah melangkaui sempadan ilmu Allah. Ia hanya berlegar sekitar 'kulit' ilmu Allah sahaja.

Berkenaan kiamat, Allah menyatakan ianya hak eksklusif-NYA, tidak ada perkara dan cara untuk mengetahui dengan tepat tentangya .

Ya hadith Nabi ada menjelaskan beberapa tanda kiamat, namun untuk mengatakan dengan tepat berkenaan tahun, tarikh terjadinya kiamat, ia bukan dalam sempadan perbahasan umat manusia.

Kiamat adalah persoalan akidah. Keimanan kita terhadap perkara ghaib . Jika kita sibuk meramal perkara yang menjadi hak eksklusif Allah, bukankah kita telah mencabuli sempadan keimanan kita tentang perkara ghaib?

Jika kita sibuk menentang golongan yang memperihalkan tentang zat Allah ( contohnya yang mengatakan Allah bertangan, berada di Arasy ), mengapa kita bersikap lepas tangan terhadap orang yang menafikan ilmu hak eksklusif Allah apabila mereka bercakap tentang tarikh kiamat?

Sebaiknya, bicarakanlah tentang persiapan menghadapi 'kiamat kecil' bagi semua manusia. Jika kiamat kecil pun kita tidak dapat meramalkannya, apatah lagi kiamat besar?

1 comments:

limaumaniss said...

sungguh menyokong artikel ini....mmg tak puas hati dengan agenda kafir ini...