Followers

Tahniah!! Anda Berjaya

Saturday, May 14, 2011

Bismillahirrahmanirrahim..


Baru hari ini dapat meluangkan masa untuk mencoret di kanvas 'terbiar' ini.

Setelah berhempas pulas menghadapai peperiksaan semester II, kini tiba masanya meredakan ketegangan minda.

Tempoh masa gap antara peperiksaan semester, ana mengambil peluang untuk balik menjenguk ibunda dan ayahanda di kampung, juga bertemu sanak saudara. Maklumlah, keredhaan dan doa ibunda dan ayahanda amat diperlukan dalam apa jua saat lebih-lebih lagi saat 'genting'.

Niat asal untuk bersua, akhirnya menjadi satu majlis solat hajat dan kesyukuran, dek kerana sang ibu menyarankan untuk mengadakan doa selamat kerana usia kandungan sudah menjangkau 7 bulan. Biasalah adat orang Melayu dulu-dulu (sekarang pun, di beberapa tempat), jika usia andungan sudah sampai 7 bulan, maka melenggang perut le jawabnya. Namun bidan yang dijemput tidak dapat menghadirkan diri :) ( alhamdulillah sebab dengar khabarnya adat melenggang ini kurang sesuai dengan Islam ).

Khalas.....


Sudah banyak kali mendapat SMS dari pusat servis 63888

"Tahniah no anda 013 969 **** telah dipilih untuk memenangi hadiah content percuma, sila taip ON ** untuk menerima servis percuma "


Bukan itu sahaja, SMS dari salah sebuah syarikat telekomunikasi turut diterima :

"C****mOffer: M/turn2Call MeTones Kmp Sejati&Azura-Pasrah Cinta+Segala Yang Tak Pasti.....Dail *118*......."


Pastinya ramai yang keliru dengan tawaran ini. Saya juga tidak terkecuali. Jika sebelum ini, saya hanya men'delete' sahaja segala bentuk SMS sebegini, namun oleh kerana saya mengagak bahawa nombor yang diminta untuk didail itu memberi maklumat yang ingin saya ketahui, saya hanya klik untuk mengetahui lebih lanjut. Apa yang keluar selepas mendail nombor yang diberi, saya menerima SMS :

" 22990:Pembelian lagu berjaya. RM1.50 telah dicaj ke akaun anda. Langganan lagu akan diperbaharui setiap minggu. Tertakluk kepada terma dan syarat"


Itulah 'hasil' yang saya perolehi. Terkedu.


Jika syarikat telekomunikasi yang diyakini dimiliki oleh Bumiputra, promosi yang mengunakan tag "berbaloi-baloi" dan "memang berbaloi", dengan menggunakan aktres wanita popular, tuntas untuk mengaut keuntungan sebegini, apatah lagi syarikat telekomunikasi yang lain?


Dasar Hukum

Ya, Islam memang menggalakkan umatnya untuk mencari sebanyak mungkin harta. Perniagaan digalakkan kerana ia banyak memberi manfaat pada kedua-dua pihak. Segala perkara yang boleh mendatangkan keuntungan dibolehkan, namun kawalan juga dibuat dan terikat dengan garis panduan. Ringkasnya sebagaimana berikut :


1. Persetujuan bersama

Kedua-dua pihak,pembeli dan penjual mesti saling berpuas hati dalam urusan jual beli barang/ perkhidmatan. Tiada unsur syak wasangka atau ketidapuasan yang bersarang dihati setelah urusniaga barang/ perkhidmatan dilakukan.


2. Tiada gharar (penipuan)

Segala bentuk perniagaan hendaklah perlu jelas, tanpa ada terselit sesuatu yang kurang jelas, kurang difahami. Bahkan pembeli punyai hak untuk memulangkan barang atau mendapat gantirugi sekiranya barang/ perkhidmatan tidak sebagaimana yang dijelaskan.

Perkataan "mengikut terma dan syarat" adalah sesuatu yang tidak jelas dari aspek perjanjian dan kontrak. Ia berbentuk umum, bahkan terkadang pihak penjual/ server mengepilkan ayat terma dan syarat yang sukar difahami orang awam. Juga terlampau 'banyak' untuk dibaca kesemuanya. Ya memang kesalahan tidak harus dituding kepada server jika orang tidak membacanya, tetapi server seolah-olah sengaja 'membuatkan' orang awam untuk 'malas' membacanya.


3. Bidang Halal

Barang/ Perkhidmatan yang ditawarkan wajib dalam ruang lingkup yang dibenarkan agama. Tidak boleh melibatkan arak, judi, tenung nasib. Dalam masalah ini, banyak perkara yang hampir kepada judi sms. Sebagai contoh":

"Sms ke 63488 dan jawab soalan, anda mungkin memenangi iPod4. Setiap SMS akan dikenakan caj RM0.30".

Saya agak, hadiah yang ditawarkan mungkin nampak besar pada mata seorang individu, namun ia jauh lebih kecil berbanding keuntungan server yang menawarkan hadiah. Bayangkan jika sejuta orang yang mencuba nasib, secara mudahnya pihak yang menganjur akan mendapat RM300 000!!! Sungguh mudah untuk mendapat wang (dengan memanipulasi kehendak pengguna).




Dunia Kapitalis

Dunia kapitalis tidak mementingkan semua itu. Yang penting ialah mendapatkan keuntungan sebanyak-banyaknya. Matlamat menghalalkan cara. Tiada sekatan melainkan akta-akta yang digubal oleh kerajaan. Ia tidak dikaitkan dengan agama. Tidak mementingkan halal haram.

Keadilan jarang dapat ditegakkan jika fahaman kapitalis masih terpasak kukuh . Diharapkan sahabat di luar sana tidak terpedaya dengan SMS yang memberi kekeliruan dan tawaran 'hebat' dari mana-mana server.

Yang Dinanti Akan Bermula

Monday, April 4, 2011



Bismillahirrahmanirrahim.

Selang seminggu lagi, peperiksaan semester II pelajar sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia akan bermula. Kebanyakan kuliah di Jabatan Syariah telah pun berakhir, kalau ada pun cuma perbincangan berkenaan isu semasa di Malaysia.

Saya fikir, sahabat di seluruh dunia (Timur Tengah) sekarang ini juga sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan yang akan dijalankan oleh pusat pengajian masing-masing.

Teringat ketika diri masih menuntut di Pakistan, perasaan gusar sering melanda setiap kali musim peperiksaan. Apa tidaknya, di sana lebih menekankan soal hafazan dan penghuraian terperinci terhadap sesuatu permasalahan, hatta jika dikemukakan pendapat mana-mana ulama, perlu disebutkan secara tepat siapakah yang mengutarakan pendapat tersebut. Tidak boleh ditulis 'sebahagian ulama' atau ' ada ulama', bahkan wajib ditulis 'kata Abu Hanifah bla bla bla, menurut Ibrahim Nakhaie bla bla bla'.

Ketika di Mesir, saya bermula dengan Tahun 3 (bagaimana saya boleh menempatkan diri di Tahun 3, panjang ceritanya ;) ). Saya sempat menghadiri kuliah selama seminggu sahaja, namun dengan rahmat Allah, saya lulus dengan jaya.

Melangkah ke Tahun 4 juga amat mencabar. Walaupun saya hanya ke kuliah sekali sahaja pada tahun itu, saya tumpukan kepada pembacaan kitab-kitab karangan Profesor yang mengajar subjek -subjek tahun 4. Sebahagian besar sukatan telah pun saya pelajari sebelum ini. Cuma yang berbeza dari bentuk huraian dan contohnya sahaja.

Memang nampak saya 'kurang sopan' bila tidak menghadiri kuliah, tetapi bukan bermakna saya tidak bertanya tentang apa yang dipelajari dikuliah. Saya punyai ramai sahabat yang sentiasa memberi nota-nota bahkan kami berdiskusi bersama. Apatah lagi saya banyak keluar Kaherah bagi memenuhi permintaan sahabat dan sahabiah yang memerlukan kelas tutorial, lalu saya banyak 'tuang' kuliah. Saya jiga inginkan mereka faham kesemua subjek melebihi apa yang saya faham. Alhamdulillah, ramai yang lebih berjaya dari saya . Tahniah !!


Pada semester kedua tahun ini saya telah mendaftar dan mengesahkan diri untuk menduduki peperiksaan bagi 5 subjek.

Kursus wajib Jabatan Syariah yang saya ambil ialah Fiqh Muamalat (pensyarahnya Dato' Dr Hailani Muji Tahir) dan Usul Fiqh (Dr Hayatullah Laludin). Manakala satu subjek pilihan Jabatan ialah Sistem Ekonomi Islam ( Dr Abdul Ghafar Ismail). Bagi subjek pilihan luar Jabatan Syariah, saya memilih Kajian Musykil Hadith dan Nasakh (Dr Arif Nazri). Subjek Kaedah Penyelidikan pula merupakan subjek pra syarat bagi semua pelajar sarjana (dan Phd).

Kalau semester lepas, saya mempunyai keyakinan yang tinggi untuk lulus namun pada semester kali ini agak gusar sedikit. Tiga subjek yang saya kurang hadam iaitu Fiqh Muamalat, Sistem Ekonomi Islam dan Kaedah Penyelidikan. Ini kerana, subjek-sebjek ini agak baru bagi saya (walaupun saya punyai minat yang tinggi dalam dua bidang pertama).Harap mendapat bantuan sahabat saya Ustaz Azali ( Dato' Dr Hailani banyak memuji beliau ;) ). Ustaz Hamidi juga wajib membantu saya kali ini :p.



Peperiksaan di dunia pun kita sudah gusar, apatah lagi nun di akhirat sana. Kita punyai nasib berbeza.

Kepada semua sahabat yang akan menduduki peperiksaan, semoga mendapat ketenangan dan dapat menjawab dengan baik.

p/s : saya masih punyai 2 assignments yang belum dihantar ngeh2..

Pelajar Mesir, Bersukurlah!

Tuesday, March 15, 2011

Bismillahirrahmanirrahim.

Berulang alik dari rumah sewa di Bangi Pedana ke perpustakaan Tun Sri Lanang UKM sudah menjadi rutin sejak bermulanya semester kedua pengaian master saya.

Isteri memilih untuk berada di Batu 19 Tapah, kerana ingin memberi ruang untuk saya berbgerak bebas katanya. Namun mungkin saya tidak betah untuk tinggal berasingan, membuatkan saya mengubah fikiran untuk menumpang di rumah bapa saudara di Seksyen 3 Bangi.

Berada di perpustakaan yang terbesar di Malaysia, memungkinkan saya untuk menambah bahan bacaan dan khazanah minda. Rupanya, banyak yang saya dapat melalui pembacaan di sini. Tidak terlarat untuk membelek satu persatu bahan ilmiah. Terkadang, bila melalui rak-rak buku, mata terpana pada apa jua yang dilihat sehinggakan terlupa objektif kedatangan saya ke rak tersebut.

Stop.

Sebetulnya seorang pelajar telah dijamin oleh Allah. Memetik artikel di harakahdaily, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Kelantan dan tahniah kepada para sahabat yang mendapat pembiayaan perjalanan pulang ke Mesir.

"Sesiapa yang menuntut ilmu maka Allah akan jamin rezekinya"

Ya, alam pelajar amat banyak bantuan yang diperolehi. Apatah lagi jika anda seorang pelajar agama. Banyak keberkatan, ramai yang ingin membantu, beramal jariah, menaja dan membiayai pelajar agama. Itulah penangan keberkatan belajar ilmu agama.

Namun disebalik curahan bantuan yang terkadang melimpah, ada jua insan dalam bidang yang sama tidak dipandang oleh mereka. Insan itu berhempas pulas bahkan lebih gigih menuntut ilmu. Lebih jerih dari yang lain, namun masih tiada yang sudi hulurkan tangan. Pengajian tetap diteruskan juga.

Pengalaman saya di ketika bersama para sahabat di Mesir, dapat saya perhatikan, ada yang gigih dan maju dalam pengajian namun mereka tidak pernah mendapat bantuan. Bahkan bantuan yang dipohon tidak pernah mereka perolehi.

Ramai pelajar yang mendapat bantuan namun mereka 'lena' dengan bantuan. Alpa dalam kesenangan. Pelajaran terabai. 'Aksesori' makin ditambah. Laptop sudah menjadi fenomena seolah-olah satu kewajipan . Tidak saya nafikan bahawa ianya satu keperluan bagi setiap pelajar, namun mungkin itu di Malaysia tapi seingat saya, jika di Timur Tengah (Mesir khasnya), pelajar bidang agama tidak perlukannya. (Mungkin sekarang mereka memerlukannya? banyak assignment?)

Sewaktu saya mendalami ilmu hadis di Pakistan, pelajar Malaysia di sana juga ramai ketika itu. Pada 2002, pergolakan makin serius, visa pelajar dibatalkan hatta pelajar perubatan sekalipun. Ada yang baru sahaja menghabisi waktu cuti di Malaysia, datang semla untuk memulakan sesi baru pengajian, telah dibatalkan serta merta visa pelajar. Apa yang kedutaan lakukan ? Hanya lepas tangan sahaja bahkan menyalahkan pelajar kerana memilih Pakistan sebagai destinasi mendalami ilmu (perubatan atau agama).

Para pelajar terpaksa membiayai sendiri perjalanan balik mereka, dan untuk kembali harus menggunakan duit poket sendiri. Tiada pun bantuan sama ada dari Pusat mahupun negeri. Tiada pun pembiayaan pulang atau kembali semula menyambung pengajian. Adakah hanya kerana sijil yang mereka perolehi tidak diiktiraf, maka bantuan tidak diberi? Pihak berwajib di bahagian zakat turut menyepi?

Di Libya tindakan kerajaan telah menyusuli, adakah memadai?
Sekarang pergolakan di Yaman. Bagaimana tindakan kerajaan nanti? Akan adakah yang bersimpati?

Bersyukurlah wahai pelajar (sahabatku di) Mesir, gunakanlah peluang anda. Berpersatuan biar berpada, bertalaqqi biar berkala. Yang bertalaqqi usah diabai persatuan, yang berpersatuan usah dicicir pengajian yang ada. Tiada alasan untuk berjaya melainkan takdirnya setelah berusaha.

Gunakanlah peluang yang ada untuk anda berjaya. Betapa ramai yang idamkan untuk menjejakkan kaki ke Mesir namun impian dan harapan hanya tinggal impian. Bittaufiq wannajah tsumma annikah!!!:)

Ibrah Itu Aku Insafi

Wednesday, February 23, 2011

Bismillahirrahmanirrahim...

Mata telah lama merenung ke arah blog sepi. Sesawang mula tampak. Perlahan-lahan debu-debu dilap dari dashboard. Lalu jemari menari-nari di keyboard untuk mencoretkan sesuatu.

Agak lama meninggalkan encik blog dek sengaja menyibukkan diri dalam dunia master d UKM. Semester kedua menuntut untuk lebih 'struggle'. Padahal ada sahaja pejuang agama yang lebih sibuk dari saya. Namun saya tidak sekuat mereka untuk memikul pelbagai amanah yang terpundak ini.
Sepanjang mengikuti pengajian master di UKM, saya pernah menyewa di Taman Universiti, Bangi bersama sahabat yang turut sama memulakan pengajian sarjana di UKM Hanya sempat dua bulan sahaja menyewa di situ. Mungkin kerana ketika itu saya kira kuliah yang tidak banyak, hanya 3 hari sahaja seminggu, jadi elok rasanya berulang alik dari Sungai Buloh ke UKM yang mengambil masa sejam.

Semester kedua mula mengkalutkan saya, kelas empat hari seminggu ditambah 'timbunan' assignment menuntut untuk saya lebih memacakkan diri di Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL), lantas saya mengambil keputusan untuk tinggal di sekitar kawasan UKM.



Sebenarnya bukan itu yang ingin saya kongsikan bersama teman. Sedari dulu, banyak yang ingin ditulis di sini namun, terhenti separuh jalan. Banyak isu terkini yang hendak disuakan. Berkenaan rahsia tarikh lahir, patung untuk wanita yang baligh, isu perpecahan aliran fahaman dalam umat Islam di Malaysia, metod pengajian, teori realisme dalam filem, konsep dakwah dalam filem seram dan bermacam-macam lagi. Semua itu hanya bermain diminda sahaja atau disampaikan dalam kuliah-kuliah. Namun saya tetap harapkan ada individu yang mengutarakan idea atau komen seperti yang berlegar dalam kotak minda saya, sama ada melalui tulisan atau sebaran media . Alhamdulillah, ramai sefikrah dengan saya dan persoalan yang bermain di minda itu pun dirungkaikan oleh mereka yang lebih dikenali, manfaatnya juga lebih luas.

Peristiwa malam tadi terus mendorong untuk menyelak kembali lembaran blog. Minda juga mula bersemangat untuk memerah idea. Ya, peristiwa malam tadi.


Ketika ingin menunaikan solat zohor di Surau Bangi Perdana, saya terpana pada sesosok badan di belakang imam, tampak ada kelainan. Seusai solat sunat, si fulan terus keluar dari surau dan berada di beranda. Mata ini tertancap pada segala hasil seni yang dipamer. Indah dan cantik .


Sesosok tubuh yang tidak mempunyai kedua-dua belah kaki, dari paras pinggang dan ke atas sahaja yang ada. Beliau bergerak menggunakan skateboard. Sudah beristeri dan mempunyai empat orang anak. Tampak ketenangan pada wajah itu. Menawarkan khidmat beliau untuk melukis apa sahaja yang diminta. Dari Zohor hingga Isya dia di situ, berjemaah bila tiba waktu solat.

Subhanallah. Manusia sempurna anggota ini (saya), adakah mampu untuk setabah beliau? Adakah mampu untuk setenang beliau?
Ramai yang memerhati dari jauh sahaja. Sekadar melihat hasil seni beliau.

Awalnya saya juga turut menjadi pemerhati setia. Pernah timbul dalam hati, di sini ramai golongan yang berpendapatan selesa. Ada yang bergelar Datuk, Dato' Seri dan pelbagai lagi. Tidak terlihat oleh saya, ada yang menghulur bantuan.





Saya juga terhasut, bisikan dalam hati mengungkapkan : Ahh, biarlah orang yang kaya je yang hulurkan sumbangan dan membeli hasil seninya, duit kamu sekadar lima ringgit tak mampu menandingi dan tak memberi apa-apa makna.


Astaghfirullah....itu mainan syaitan. Yang dinilai Allah bukan kadar pemberian tapi kadar keikhlasan. Yang dinilai ialah siapa yang dahulu membuat kebaikan, yang dinilai ialah siapa yang mendorong melakukan kebaikan. Itu yang dinilai.


Teringat pesanan junjungan besar Nabi Muhammad SAW:

Seseorang yang mengumpul kayu api, kemudian dia menjualnya dan mendapat hasil darinya adalah lebih baik dari meminta-minta dari manusia


Ya, si fulan tadi lebih baik dari yang meminta-minta. Tidak menggunakan kekurangan untuk berduka. Tidak menjadikan kekurangan untuk tidak berusaha. Ya Allah, aku bersyukur atas kurniaanMu. Aku manusia yang lalai. Bantulah hambaMu untuk lebih bersyukur.