Followers

SubhanALLAH Ma sya Allah

Tuesday, June 29, 2010

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Seringkali kita mendengar terpacul keluar dari mulut seseorang perkataan " SUBHANALLAH" dan juga " MASYA ALLAH".

Alhamdulillah, gayanya orang yang selalu menyebut ungkapan itu adalah orang yang beragama. Namun jika dikaji secara mendalam, ada sedikit kejanggalan pada ungkapan mereka?

Ya, ada kejanggalan . Bukan hendak memperlekeh orang yang menyebut perkataan itu . Juga bukan hendak mendabik dada . Tolong, tolong jangan pasak perkara negatif di minda anda.


Zikir Yang Menjadi Adat

Di alam Melayu, selalunya kita akan mendengar ungakapan sebagaimana berikut jika kita rasa terkejut bila mendengar atau melihat sesuatu yang negatif, contohnya bila kita dengar orang yang buat maksiat

" Masya Allah , kau berjudi?"

atau juga bila kita dengar cerita sesorang yang zalimi ibu bapa (anak dan sebagainya)

" Masya Allah, anak apa kau ni, buat begitu kat mak ayah kau"

Begitu juga perkataan lain yang terkeluar dari mulut , umpama " SUBHANALLAH"
Biasanya jika berlaku perkara yang difikirkan ajaib, takjub dan indah, ungkapan "SUBHANALLAH" akan keluar

Contohnya jika kita dengar orang dapat 20A1 dalam SPM

"SubhanaLLAH, hebatnya dia"

Begitula kita, jika kita mendengar sesuatu yang baik, pasti kita akan sebut " SubhanaLLAH" dan jika kita mendengar sesuatu yang buruk atau negatif , kita akan ungkap "Masya Allah"


Penggunaan Yang Terbalik

Jika diteliti dan dikaji, perkataan (ungkapan zikir) yang kita gunakan (praktik) tika berhadapan dengan situasi di atas amat berbeza dengan apa yang diajar oleh Islam

Ungkapan " Masha Allah" sepatutnya digunakan untuk perkara yang menggambarkan keindahan, ketakjuban yang positif terhadap sesuatu perkara .

Sebagai contoh, kejayaan seseorang dalam pelajarannya atau bidangya perlu kita sebut

" Masya Allah, hebatnya, dia dapat 20A1 dalam SPM"

" Masya Allah, dia dapat cipta enjin solar berkelajuan tinggi"

Juga kita boleh menyebut

"Masya Allah, cantiknya baju awak"

Al-Quran menukilkan ayat berkenaan penggunaan kalimah "masya Allah inii dalam surah Al-Kahfi ayat 39 (Juzuk 15):

" Mengapakah tidak engkau katakan "masya Allah",tiadalah kekuatan melainkan dari Allah ; tatkala engkau melihat aku kurang berbanding engkau dari segi harta dan anak pinak"

Dari ayat tersebut dapat difahami bahawa jika kita mendapati kita lebih hebat dari orang lain, maka sepatutnya kita menyebut 'masya Allah" .

Bukan dalam bab ini sahaja bahkan dalam apa jua perkara yang indah dan menarik , inilah kalimah yang sepatutnya diucapkan, bukannya perkataan lain .


Dalam masa yang sama, penggunaan kalimah ini boleh menghindari seseorang mendapat penyakit " ain" atau sumpahan mata . Oleh itu tidak hairanlah jika kita dapati di kebanyakan negara Arab, Pakistan dan Iran , mereka akan melakarkan perkataan "masya Allah" jika mereka sedang dalam proses pembinaan bangunan dan kalimah itu kekal sehinggalah bangunan siap dibina .


Manakala penggunaan kalimah SubhanaLLAH pula biasa digunakan oleh baginda SAW dalam perkara yang dianggap pelik atau hairan pada perbuatan yang kurang tepat .

Sebagai contoh dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tirmizi, dari Abu Hurairah ra mafhumnya

" Suatu hari aku berjunub dan ternampak Rasulullah SAW berjalan bersama para sahabat, lantas aku menjauhi mereka dan pulang untuk mandi junub, setelah itu aku datang menemui Rasulullah SAW . Baginda bersabda : Wahai Abu Hurairah, mengapakah engkau melarikan diri tatkala ternampak kami? Aku menjawab: Wahai Rasulullah , aku kotor (berjunub) dan aku tidak selesa untuk bertemu kalian . Rasulullah SAW bersabda : SUBHANALLAH!! sesungguhnya mukmin tidak najis "

Lihatlah bagaimana ungkapan Nabi tika mendengar kata-kata Abu Hurairah . Baginda tersentak dengan fahaman Abu Hurairah yang kurang tepat .

Olehh itu, sepatutnya jika erlaku atau terdengar sesuatu yang negatif , kita ungkapkan "SUBHANALLAH", contohnya

" SubhanaLLAH, awak belum solat lagi?"

" SubhanaLLAH, kenapa boleh jadi macam tu?"


Mungkin kita tertanya-tanya, bagaimana pula ayat Al-Quran yang menggunakan kalimah "SubhanalLLAH" tika membicarakan soal penciptaan langit dan bumi serta seisinya yang cukup mengagumkan?

Jawapannya ialah kerana ketakjuban kita dan keindahan yang memukau itu menyebabkan minda kita melayang-layang yang memudahkan syaitan menusuk 'jarumnya' untuk membayangkan zat Allah , lantas kita perlu sucikan Allah dari segala bentuk bayangan minda yang salah . Juga untuk memasakkan dalam jiwa kita sekalipun kita takjub pada alam, Allah yang lebih layak untuk kita kagumi . Wallahu a'lam

Inilah sebahagian dari mutiara ilmu tafsir yang saya kutip dari ulama Pakistan, walau mungkin tiada sumber rujukan yang mereka nyatakan namun ada jaluran dan rantaian (sanad) ilmu tafsir ini sampai kepada RasuluLLAH SAW

Status Baru

Thursday, June 17, 2010




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

" Dan antara tanda keagungan-NYA; Dia menciptakan untukmu pasangan dari jenis seumpamamu supaya kamu mendapat ketenangan bersama-NYA, dan Dia menjadikan hubungan kasih sayang serta kemesraan "

SubhanaLLAH, benarlah firman-NYA. Sejak bergelar suami, ketenangan yang ama, menerobos masuk ke ruang jantung hati, merembeskan rasa damai ke seluruh anggota badan.

Kalau dulu , diri ini amat ralat untuk bercakap tentang alam perkahwinan . Sungguh janggal rasanya bila membacakan bab nikah tika menyampaikan kuliah . Apa tidaknya, kebanyakan hadirin adalah para suami, para ayah, para datuk sedang diri sendiri belum lagi membina masjid .

Namun kini, keyakinan mula menjalar dalam diri untuk menyampaikan hadis atau membicarakan hukum hakam perkahwinan . Diri membuak-buak untuk berkongsi huraian firman Tuhan atau sabda Nabi berkenaan alam rumahtangga .


Wanita Pilihan

Sebelum melangkah ke alam perkahwinan, seringkali sabda Nabi ini diulang-ulang :

" Wanita itu dikahwini kerana empat perkara; kecantikannya, keturunannya, hartanya dan agamanya , carilah yang beragama, pasti kamu akan beruntung"


Jika sebelum ini, sabda Nabi ini saya fahami secara zahirnya sahaja tanpa memahami apa bentuk keuntungan yang dimaksudkan baginda . Sekarang saya boleh huraikan mengikut pengalaman kecil yang saya peroleh .

Ya benar, memang beruntung mereka yang meletakkan agama sebagai benda asas dalam memilih wanita sebagai isteri . Jika agama diletakkan sebagai syarat utama, mereka akan dapat yang lainnya . Mereka akan dapat rasakan isteri mereka amat cantik, berketurunan mulia dan harta paling berharga . SubhanaLLAH, itulah yang saya faham dari sabda Nabi Junjungan . Mungkin anda diluar sana punyai pendapat lain tapi izinkan saya war-warkan pendapat saya itu.


Tiada Yang Sempurna

Ramai orang mengharapkan pasangan mereka sempurna . Namun kesempurnaan semulajadi tidak akan ditemui dalam alam manusia . Kesempurnaan harus diusahakan . Jika kita mengharapkan orang lain sempurna , maka sempurnakanlah diri kita terlebih dahulu . Adakah anda yakin anda sempurna? atau akan sempurna? Jika anda menganggap diri anda sempurna , adakah orang lain yang memandang anda, menganggap anda sempurna ?

Begitulah dalam membina rumahtangga, jangan mengharapkan pasangan kita sempurna segalanya, bahkan kita adalah pelengkap bagi mereka dan mereka adalah pelengkap hidup kita

" Janganlah kamu mencerca isterimu kerana kekurangan yang ada padanya, boleh jadi kamu tidak suka pada satu perkara padanya namun mungkin kamu akan suka pada perkara lain yang ada padanya"

Orang yang hanya mengharapkan kesempurnaan pada orang lain tanpa memandang pada dirinya sendiri seumpama ketam yang mengharapkan anaknya berjalan betul


Alam perkahwinan akan indah jika sang nakhoda bijak mengemudi bahtera , sebaliknya akan jadi mimpi ngeri jika pengemudi mementingkan diri

Salam dari penulis buat teman-teman yang belum 'berkesempatan' melayari bahtera rumahtangga :d

Pasca Perkahwinan

Wednesday, May 26, 2010




Alam perkahwinan adalah alam yang membiaskan seribu satu perkara samada pahit atau manis.
Mereka yang mampu mengemudi bahtera perkahwinan dengan baik, akan mendapat natijah dan hasil yang amat berbaloi. Sebaliknya jika nakhoda bahtera gagal memainan peranan, impaknya amat besar, hinggakan bahtera yang dibina dengan gah sekalipun, akan karam .


Bayangan Sebelum Kahwin

Menjadi kebiasaan, bakal pengantin akan diusik dengan gurauan nakal rakan taulan dan sanak saudara.

" Ni dah hafal ke lafaz ijab kabul?"

Aduhai, lafaz pun nak kena hafal ke? Mendengar pelbagai kisah ssaudara mara dan sahabat yang berhadapan dengan tuan imam pada majlis akad, terkadang agak melucukan dan terkadang terkilan . Apa tidaknya, sudahlah pengantin berdebar-debar kala itu, 'usikan' saksi turut menambahkan lagi debaran .

"Em sebutan nikah tu kurang makhrajnya, nikah tu bahasa arab jadi kena sebut betul-betul"

Ini lagi la kes naya kan?

Kalau yang nakal sedikit, akan keluar soalan cepu mas

" Ni dah pergi berurut seluruh badan ke? Minyak dhob ada? "

Kadang tertanya-tanya, perlu ke semua tu? Asas utama mungkin? Saya jahil masalah itu


Islam dan Kekeluargaan

Bagi saya, soalan yang perlu ditanya pada bakal ialah,

"Asas fardhu ain dah hadam?"

Atau boleh juga ditanya

" semua keluarga laki dan perempuan meredhai kalian?"

Bukan sedikit di kalangan kita yang membelakangkan keluarga dalam urusan perkahwinan. Ya benar, ibubapa harus memberi kebebasan pada anak-anak untuk memlih pasangan mereka namun anak-anak harus menghormati ( patuh) pandangan dan nasihat orang tua .

Tidak kurang penting untuk kita tanyakan pada bakal pengantin

" Persiapan kalian menepati syara'?"

Maksud saya, semua persiapan dan aturcara perkahwinan , sudahkah menepati kehendak syara? Bermula dari meminang, bertunang dan majlis walimah.

Alam pertunangan adalah alam ujian bagi bakal pengantin . Terkadang, atas nama TUNANG., kelakuan lebih dari sepasang suami isteri . Bila dah berumahtangga, tiada lagi keintiman.

Walimah pula, pelbagai adat yang mengikat, antaranya:

1. hantaran ( maksud di sini dulang ) semasa walimah perlu lebih banyak dari hantaran yang dibawa semasa meminang .

2. Rombongan yang datang bersama pengantin lelaki akan membayar kos makan di rumah pengantin perempuan.

Itu antara adat dalam perkahwinan di Kelantan.

Rasanya kata pepatah Melayu " biar mati anak, jangan mati adat " sudah boleh diberi komentar sekarang ini

Wallahu a'alam