Followers

Pada Siapa Amanah Itu

Wednesday, April 28, 2010


Saban hari, dada-dada akhbar dipampang kes dera yang berlaku. Jika dahulu kes dera orang gaji dengan majikan, sekarang ini kes dera yang banyak dipaparkan ialah antara pengasuh dan bayi atau kanak-kanak.

Terbaru kes kanak-kanak Cina Chua Wee Leong, 2 , yang dijaga pengasuh, tangannya dicelup dalam sup panas, hingga menurut pakar perubatan, akan mengalami cacat kekal sekalipun luka pada jari-jarinya akan sembuh.

Walaupun ibubapa kanak-kanak malang itu ‘menggajikan’ pengasuh sebanyak rm900 sebulan ( cukup tinggi) namun tidak menjamin keselamatan anak mereka.

Terkadang kita bertanya, berbaloikah wang dibelanjakan sebanyak itu ?


Dalam aspek lain, bagaimana pula sang pengasuh? Adakah mereka benar-benar terlatih untuk membuka pusat penjagaan kanak-kanak (nursery)? Memang benar, pengasuh terdiri daripada perempuan dan emosi perempuan amat sukakan bayi/kanak-kanak. Namun itu tidak cukup untuk kita rasa selamat dan tenang tika menghantar anak ke pusat penjagaan.

Bukanlah tujuan saya untuk merendahkan martabat wanita. Juga bukanlah tujuan saya untuk mengatakan bahawa saya tidak punyai niat untuk menghantar anak ke pusat jagaan atau mendabik dada . Bukan juga untuk mempersenda ibubapa .

Mustahil (menurut pandangan saya) pusat penjagaan kanak-kanak akan menggaji seorang pengasuh untuk seorang kanak-kanak. Kebiasaannya seorang pengasuh akan mengawal paling kurang dua hingga 4 orang . Jika yang dijaga itu bayi yang berusia bawah 1 tahun, mungkin tidaklah berat kerana bayi biasanya menghabiskan masa mereka dengan tidur sahaja berbeza dengan kanak-kanak yang berumur lebih setahun, mereka sudah mula aktif, oleh itu tahap keselamatan mereka perlu lebih diberi perhatian.

Kita sepatutnya ada alternative lain. Tidak dinafikan bahawa ‘tekanan’ hidup menyebabkan pasangan perlu bekerja. Saya kira, tidak ada isteri ( atau mungkin segelintir) yang sanggup berhenti kerja demi menjaga anak mereka. Apatah lagi mungkin tidak direstui ibubapa yang mengharapkan anak perempuan mereka terus bekerja . Alasannya, waspada jika apa-apa berlaku kemudian hari, ada juga simpanan.

"Awak senang cakap sebab awak belum kahwin lagi" satu suara membidas gegendang telinga saya.

Saya hanya senyum.

"Saya rasa kalau awak kahwin, awak, sebelum isteri awak bersalin, awak dah booking nursery" sambungnya lagi.

Wah, hebatnya saya .

"Err, encik, jangan cakap gitu, kang saya tak kahwin kang" saya cuba tenangkan keadaan.

" Tau takut, jadi jangan cakap benda yang awak belum alami" syarahnya lagi.

Saya hanya senyum. Senyum dan Senyum lagi.... Pengajaran bermakna buat saya hihi.

Ya mungkin apa yang berlaku hanyalah kes picisan atau satu (1) dalam seribu (1000), namun sampai bilakah baru kita mula sedar? Adakah bila anak kita yang terkena baru kita mula untuk turun naik mahkamah? Budaya saman menyaman akan terus hidup dan membesar lagi

Ibarat kata Karam Singh Walia mati semut kerna gula, mati manusia juga kerna gula… anak kerbau mati tertambat anak manusia mati terbiar..

p/s : Sori mr Karam, jangan saman saya

Kesalahan Dalam Mendidik Anak 1

Sunday, April 25, 2010


Dewasa ini gejala sosial semakin berleluasa. Krisis jatidiri anak muda remaja makin teruk.
Pelbagai cara dirangka dan dilaksana untuk menangani, membentuk remaja.

Dulu pernah diperkenalkan program Rakan Muda dan rakan-rakan yang lainnya. Namun kini sepi. Entah ke mana program tersebut.

Trend sekarang pula, bercambahnya Consultancy yang memberi khidmat rundingan dan nasihat, terencana pula kem-kem motivasi dan sebagainya khusus untuk membentuk semula peribadi remaja.

Pendidikan Anak-anak

Antara keistimewaan orang-orang tua ialah punyai resepi hidup yang real. Dari pengalaman hidup, segala pahit maung, susah senang semua dah dilalui yang akhirnya menerbitkan alunan kata indah bermakna.

Dari situ keluarla kata kata indah, berhikmah dan penuh pengajaran berguna. Bukan sahaja di alam melayu bahkan dikatakan kalangan orang Arab, punyai kata-kata hikmah yang bernilai .
Umpamanya kata -kata Zuhair bin Abi Salma:

Aku telah bosan dengan kehidupan, sesiapa yang hidup 80 tahun pastinya banyak yang dikesali.


Masyarakat melayu juga ada pelbagai pepatah seperti

"melentur buluh biar dari rebungya"
"sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan"


Pendidikan dari rumah perlu diberi perhatian sewajarnya. Masih segar dalam kotak minda saya, sewaktu kecil saya sering dibekalkan dengan buku-buku dan bahan bacaan kanak-kanak.

Ayah bukanlah berduit sangat tapi sikap ayah yang selalu melewati kilang percetakan buku tiap kali pulang dari meniaga. Buku-buku yang rosak dan salah cetak yang dibuang syarikat percetakan akan ayah kutip untuk kami. Kesalahan- kesalahan akan ayah betulkan.

Ma (ibu) pula akan pantau kami sambil membuat kuih untuk dijual keesokan harinya. Jadi tidak mustahil kami dua beradik ( pada masa tu hanya saya dan abang long baru masuk tadika ) sudah pandai membaca jawi. Indahnya hidup walau tidak punyai kemewahan.


Kesalahan-kesalahan Yang Tidak Disengajakan

Tidak ada ibubapa yang inginkan anak-anaknya gagal. Paling tidak anak-anak mendapat lebih baik dari apa yang mereka dapat , namun terkadang wujud kesalahan dalam mendidik , antaranya :
1. Meminta anak melakukan sesuatu perkara tanpa menjelaskan sebab contohnya :

"pergi mandi!" "jangan main air!!!" " pergi tidur!!"


2. Tidak sabar dengan karenah anak

Nabi saw bersabda :

" Sesiapa yang menahan kemarahan di saat dia mampu melampiaskan marahnya, Allah akan memanggilnya di hadapan segala makhluk dan diberi penghormatan untuk memilih syurga mana yang dia kehendaki " (HR Attirmidzi)

3. Terlalu mengikut kehendak Anak

Sememangnya anak-anak akan selalu meminta apa-apa sahaja yang menarik perhatiannya. Tiada akal yang menimbang antara keperluan atau kehendak. Semuanya bagi mereka, perlu dipenuhi.

Ibu bapa yang tidak dapat 'memujuk' anak-anak tentang keperluan mereka atau mengalihkan perhatian anak mereka, pastinya anak tersebut membesar dalam suasana yang tiada batasan. Selalunya remaja yang dibesarkan dengan kemewahan mudah memberontak pabila keinginan mereka dihalang

Budaya Saman Menyaman, Lapor Melapor

Monday, April 19, 2010

Gambar sekadar hiasan


Zaman Jahiliyah terdahulu banyak digambarkan dengan keadaan jelik dan zalim.

Dari institusi diri, keluarga hinggalah masyarakat, semua digambarkan amat buruk.

Individu lelaki Jahiliyah diwar-warkan suka minum arak (pemabuk), kaki perempuan manakala yang wanita dianggap hina, pemuas nafsu. Anak perempuan adalah aib bagi mereka.

Keluarga Jahiliyah dianggap kurang pengetahuan dan tiadanya sistem hidup teratur. Anak lelaki yang meunjukkan ciri-ciri keperwiraan dan banyak berjasa akan diberi keutamaan.

Masyarakat Jahiliyah diberitakan hidup berpuak. Akan tetap memenangkan puaknya sekalipun jelas mereka salah.

Itu yang digariskan oleh sejarah.

Kedatangan Islam telah merubah kejelekan mereka dan membentuk jatidiri manusia bertamadun. Islam telah mengembalikan mereka kepada sifat manusia normal . Islam berjaya memanusiakan manusia.

Sebagaimana kata-kata Umar ra :

" Kita adalah bangsa yang telah dimuliakan dengan Islam, sesiapa yang mencari selain daripada Islam, pasti akan diberi kehinaan.."

Realiti Kita

Sekian lama kita hidup beragama Islam di Malaysia, bibit dan unsur Jahiliyah kembali mencengkam. Fitnah, pembohongan, pengaiban, semuanya sudah menampakkan tunasnya bahkan sudah berakar tunjang.

Saban hari kita melihat semakin banyak tulisan dan artikel berkenaan keaiban individu.
Atas nama "memberi kesedaran" kepada masyarakat, kesemuanya ini dimomokkan.

Benarkah alasan "memberi kesedaran" boleh diterima dalam Islam. Adakah dengan hanya matlamat elok, kesemuanya boleh dilaksana?

Nabi saw bersabda :

" Sesiapa yang menutupi keaiban muslim, Allah akan tutupi keaibannya dunia akhirat.."

Ini adalah pernyataan umum dari Nabi saw . Bukan semua perkara perlu kita war-warkan. Logikkah kalau kita katakan bahawa Nabi saw tidak reti realiti manusia? Atau tuntaskah kita anggap Nabi saw tidak berada pada zaman kita, kalau zaman dulu memanglah perlu disembunyikan keaiban sebab mereka semua baik.

Dalam fekah, seseorang Islam digalakkan untuk menutup keaiban saudaranya disamping menasihatinya namun jika saudaranya masih enggan menghentikan tabiat buruk / dosa bahkan berbangga dengan dosa yang dilakukan, pada masa tersebut dia digalakkan untuk melaporkan kepada pihak berwajib untuk tindakan susulan.

Apa yang berlaku sekarang, pihak media berhempas pulas untuk war-warkan 'berita sensasi' tanpa menghiraukan garis panduan dan etika seorang Islam terhadap saudarannya . Yang penting bagi mereka ialah akhbar/ majalah/ rancangan tv mereka 'meletup' dan laris.

Bahkan ada dalam golongan ini seakan berbangga pula jika dapat menjadi 'skuad terjah' atau menjadi orang pertama menyiarkan 'berita sensasi' . Bagi mereka, rakyat ( penonton/pembaca) perlu tahu setiap inci pergerakan 'golongan tersohor' .

Akhirnya wujudlah pertembungan dan rasa tidak puas hati 'golongan tersohor' ini . Apa tidaknya, semua yang tampak zahir di mata, semuanya akan dilapor, ditulis tanpa ketahui hakikat yang berlaku, lalu wujudnya tindakan seterusnya ..SAMAN!!!

Kalau dulu kita hanya tahu , pihak polis dan trafik je keluarkan saman dan menyaman orang yang tidak pakai topi keledar (kecuali Sikh, kalau pandai-pandai nak pakai serban, tetap kena saman ) atau tidak pasang lampu motor di siang hari, sekarang semua orang berhak saman hatta polis pun kita boleh saman .

Jom Kita Saman Mereka!!!!!! Eh ada juga yang tak makan saman