Followers

Ujian Adalah Sunnah Kehidupan

Thursday, May 24, 2012

155. Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

156. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali."

157. mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

(Surah Al-Baqarah)

KETERANGAN

Kehidupan manusia adalah ujian. Ujian bukanlah bertujuan untuk merendahkan martabat seseorang bahkan sebagai pemangkin untuk meninggikan tahap keimananan seseorang. Manusia yang berakal akan sentiasa positif dalam menghadapi ujian.

1. Jenis-jenis ujian daripada Allah 

a. Ketakutan

Takut adalah satu sifat yang ada pada manusia. Sekuat mana pun manusia, pasti akan ada perasaan takut. Takut kepada mati, takut kepada makhluk lain dan sebagainya. Manusia memang dibekali dengan sifat takut namun ketakutan itu tidak harus melebihi daripada ketakutan kepada Allah. Firman Allah swt dalam Surah Annuur ayat 55:

dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Ku.

b. Kelaparan

   Makhluk di muka bumi semuanya memerlukan makanan. Makanan yang baik akan menghasilkan sifat dan naluri yang baik. Oleh sebab itu Allah menyuruh manusia untuk memakan benda-benda yang baik. Kelaparan akan menyebabkan manusia tidak stabil sama ada dari segi zahir atau batin. Justeru Nabi berpesan supaya makan sebelum lapar. 

    c. Kekurangan harta

Harta adalah salah satu daripada keperluan hidup. Oleh itu manusia berlumba-lumba untuk mencari dan mengumpul seberapa banyak harta. Pengurangan harta benda sesudah bersusah payah mendapatkannya akan menyebabkan jiwa manusia yang tidak beriman akan  meracau seterusnya akan menjadikan tindakannya tidak menentu. 

d. Kekurangan jiwa

Secara amnya, makhluk diberi fitrah menyayangi dan berkasih sayang. Jika mereka disentap dengan kematian orang yang disayangi, kadang-kadang dia tidak dapat menerima takdir bahkan tidak redha.

    e. Kekurangan bekalan/hasil

Semua kejadian alam adalah tadbir urus dari Allah. Kemarau panjang, hujan berterusan adalah penentuan dari-Nya, justeru manusia perlu memohon anugerah dan limpah kurniaan-Nya.



2. Cara menangani ujian 

a. Kawalan emosi

Minda yang jernih akan meneliti dan membuat koreksi terhadap perkara yang menimpanya 

   b. Kawalan hati

Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya di dalam jasad ada seketul daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad, apabila ia rosak maka rosaklah seluruh jasad, itulah hati

Jangan biarkan syaitan menusuk jarumnya: Firman Allah dalam surah AlHijr ayat 42:

 "Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang Kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa Yang menurutmu dari orang-orang Yang sesat (dengan pilihannya sendiri).


   c.  Kawalan tindakan:

i. Lidah mengungkapkan perkataan yang baik
ii. Tangan tidak melakukan tindakan melampau
iii. Kaki tidak melangkah ke tempat yang tidak elok
iv. Badan melakukan solat


3.      Hasil menangani ujian dengan baik

a. Keampunan dari Allah
b. Mendapat keprihatinan Allah
c. Mendapat hidayah dari Allah

Hikmah Perubahan Hukum Dan Syariat

Wednesday, April 25, 2012

Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah Engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. 
(Surah Al-Baqarah ayat 106)


KETERANGAN AYAT 

Nasakh ialah perubahan, pertukaran atau penggantian kepada sesuatu hukum awal kepada hukum yang baru mengikut kesesuaian yang hanya diketahui Allah. 

Golongan Yahudi mengkritik syariat Nabi Muhammad kerana berlaku nasakh pada hukum. Mereka menganggap perubahan dari hukum pertama kepada hukum kedua merupakan satu tindakan orang bodoh sahaja kerana tidak tetap pendirian. 

Allah telah membuat perbezaan antara golongan Nabi dan Rasul dengan golongan manusia pintar. Manusia yang pintar mendpaat ilmu melalui perantaraan guru atau pengajian di samping membuat eksperimen dan percubaan ilmiah terlebih dahulu, sedangkan para Nabi dan Rasul mendapat ilmu melalui perantaraan alam rohani (malaikat). 

Oleh itu al-Quran bukanlah karangan daripada Nabi Muhammad kerana jika ia merupakan karangan manusia, sudah tentu memerlukan penelitian dan pemikiran serta pengajian dengan guru. 

Mukjizat Nabi Musa antaranya ialah tongkat yang boleh berubah menjadi ular, membelah lautan menjadi jalan dan banyak lagi. Manakala mukjizat Nabi Isa ialah menyembuhkan penyakit sopak, kusta serta boleh menghidupkan orang mati. 

Mukjizat Nabi Muhammad yang paling agung ialah Al-Quran. Perbezaan mukjizat bagi setiap Rasul bersesuaian dengan keadaan dan suasana umat. Pada zaman Nabi Musa, orang berbangga dengan sihir lantas mukjizat Nabi Musa seakan sihir, manakala pada zaman Nabi Isa, kemajuan ilmu perubatan. 

Begitu juga dalam masalah syariat, tentunya kehidupan dan suasana manusia setiap zaman berbeza yang memerlukan pensyariatan hukum sesuai dengan manusia pada masa tersebut. 

Sebagai contoh, dalam syariat Nabi Musa as jika pakaian terkena najis, bahagian pakaian tersebut perlu digunting sedangkan syariat Nabi Muhammad hanyalah perlu dibasuh bahagian yang terkena najis itu. 

Antara contoh lain, syariat Nabi Isa dan Musa, solat perlu dilakukan di tempat khas sahaja iaitu di gereja dan biara sedangkan dalam syariat Nabi Muhammad, solat boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan suci. 


PENGAJARAN AYAT 

1. Nasakh berlaku kerana mengikut kesesuaian tempat, masa serta suasana kehidupan umat manusia.

2. Perubahan yang berlaku bukanlah hasil daripada tindakan orang yang bodoh tetapi menunjukkan kebijaksanaan Allah.

3. Manusia yang beriman akan sentiasa menurut perintah dan larangan Allah dan Rasul tanpa memerlukan hikmah di sebalik arahan dan larangan Allah.

4. Yahudi akan sentiasa mencari jalan untuk menimbulkan keraguan terhadap akidah umat Islam.

Tahniah!! Anda Berjaya

Saturday, May 14, 2011

Bismillahirrahmanirrahim..


Baru hari ini dapat meluangkan masa untuk mencoret di kanvas 'terbiar' ini.

Setelah berhempas pulas menghadapai peperiksaan semester II, kini tiba masanya meredakan ketegangan minda.

Tempoh masa gap antara peperiksaan semester, ana mengambil peluang untuk balik menjenguk ibunda dan ayahanda di kampung, juga bertemu sanak saudara. Maklumlah, keredhaan dan doa ibunda dan ayahanda amat diperlukan dalam apa jua saat lebih-lebih lagi saat 'genting'.

Niat asal untuk bersua, akhirnya menjadi satu majlis solat hajat dan kesyukuran, dek kerana sang ibu menyarankan untuk mengadakan doa selamat kerana usia kandungan sudah menjangkau 7 bulan. Biasalah adat orang Melayu dulu-dulu (sekarang pun, di beberapa tempat), jika usia andungan sudah sampai 7 bulan, maka melenggang perut le jawabnya. Namun bidan yang dijemput tidak dapat menghadirkan diri :) ( alhamdulillah sebab dengar khabarnya adat melenggang ini kurang sesuai dengan Islam ).

Khalas.....


Sudah banyak kali mendapat SMS dari pusat servis 63888

"Tahniah no anda 013 969 **** telah dipilih untuk memenangi hadiah content percuma, sila taip ON ** untuk menerima servis percuma "


Bukan itu sahaja, SMS dari salah sebuah syarikat telekomunikasi turut diterima :

"C****mOffer: M/turn2Call MeTones Kmp Sejati&Azura-Pasrah Cinta+Segala Yang Tak Pasti.....Dail *118*......."


Pastinya ramai yang keliru dengan tawaran ini. Saya juga tidak terkecuali. Jika sebelum ini, saya hanya men'delete' sahaja segala bentuk SMS sebegini, namun oleh kerana saya mengagak bahawa nombor yang diminta untuk didail itu memberi maklumat yang ingin saya ketahui, saya hanya klik untuk mengetahui lebih lanjut. Apa yang keluar selepas mendail nombor yang diberi, saya menerima SMS :

" 22990:Pembelian lagu berjaya. RM1.50 telah dicaj ke akaun anda. Langganan lagu akan diperbaharui setiap minggu. Tertakluk kepada terma dan syarat"


Itulah 'hasil' yang saya perolehi. Terkedu.


Jika syarikat telekomunikasi yang diyakini dimiliki oleh Bumiputra, promosi yang mengunakan tag "berbaloi-baloi" dan "memang berbaloi", dengan menggunakan aktres wanita popular, tuntas untuk mengaut keuntungan sebegini, apatah lagi syarikat telekomunikasi yang lain?


Dasar Hukum

Ya, Islam memang menggalakkan umatnya untuk mencari sebanyak mungkin harta. Perniagaan digalakkan kerana ia banyak memberi manfaat pada kedua-dua pihak. Segala perkara yang boleh mendatangkan keuntungan dibolehkan, namun kawalan juga dibuat dan terikat dengan garis panduan. Ringkasnya sebagaimana berikut :


1. Persetujuan bersama

Kedua-dua pihak,pembeli dan penjual mesti saling berpuas hati dalam urusan jual beli barang/ perkhidmatan. Tiada unsur syak wasangka atau ketidapuasan yang bersarang dihati setelah urusniaga barang/ perkhidmatan dilakukan.


2. Tiada gharar (penipuan)

Segala bentuk perniagaan hendaklah perlu jelas, tanpa ada terselit sesuatu yang kurang jelas, kurang difahami. Bahkan pembeli punyai hak untuk memulangkan barang atau mendapat gantirugi sekiranya barang/ perkhidmatan tidak sebagaimana yang dijelaskan.

Perkataan "mengikut terma dan syarat" adalah sesuatu yang tidak jelas dari aspek perjanjian dan kontrak. Ia berbentuk umum, bahkan terkadang pihak penjual/ server mengepilkan ayat terma dan syarat yang sukar difahami orang awam. Juga terlampau 'banyak' untuk dibaca kesemuanya. Ya memang kesalahan tidak harus dituding kepada server jika orang tidak membacanya, tetapi server seolah-olah sengaja 'membuatkan' orang awam untuk 'malas' membacanya.


3. Bidang Halal

Barang/ Perkhidmatan yang ditawarkan wajib dalam ruang lingkup yang dibenarkan agama. Tidak boleh melibatkan arak, judi, tenung nasib. Dalam masalah ini, banyak perkara yang hampir kepada judi sms. Sebagai contoh":

"Sms ke 63488 dan jawab soalan, anda mungkin memenangi iPod4. Setiap SMS akan dikenakan caj RM0.30".

Saya agak, hadiah yang ditawarkan mungkin nampak besar pada mata seorang individu, namun ia jauh lebih kecil berbanding keuntungan server yang menawarkan hadiah. Bayangkan jika sejuta orang yang mencuba nasib, secara mudahnya pihak yang menganjur akan mendapat RM300 000!!! Sungguh mudah untuk mendapat wang (dengan memanipulasi kehendak pengguna).




Dunia Kapitalis

Dunia kapitalis tidak mementingkan semua itu. Yang penting ialah mendapatkan keuntungan sebanyak-banyaknya. Matlamat menghalalkan cara. Tiada sekatan melainkan akta-akta yang digubal oleh kerajaan. Ia tidak dikaitkan dengan agama. Tidak mementingkan halal haram.

Keadilan jarang dapat ditegakkan jika fahaman kapitalis masih terpasak kukuh . Diharapkan sahabat di luar sana tidak terpedaya dengan SMS yang memberi kekeliruan dan tawaran 'hebat' dari mana-mana server.