Followers

MASALAH QADHA SOLAT BAGI HAAIDH

Tuesday, July 8, 2008


Para ulama berbeza pendapat bagi wanita yang suci daripada Haid, jika haidnya suci dalam waktu solat kedua yang boleh dijamakkan, apakah dia wajib menunaikan solat yang dia suci ketika itu sahaja atau dia juga wajib menunaikan solat sebelumnya yang mana kedua-dua waktu itu adalah pasangan dalam solat jama’. Sebagai contoh seorang wanita mendapati dirinya suci daripada haid pada waktu ‘Asar, apakah dia perlu menunaikan solat ‘Asar sahaja atau ‘Asar dan Zohor sekali, demikian juga jika dia suci dalam waktu ‘Isyak, apakah dia perlu tunaikan solat ‘Isyak sahaja atau ‘Isyak bersama dengan Maghrib?

1. Jumhur atau kebanyakan ulama berpendapat seorang wanita yang mendapati dirinya suci daripada haid, dan ketika itu dia berada dalam waktu solat ‘Asar, maka hendaklah dia menunaikan solat Zohor dan ‘Asar, kerana kedua-dua solat ini adalah pasangan dalam solat jama’. Demikian juga, jika dia suci dalam waktu ‘Isyak maka dia hendaklah menunaikan solat Maghrib dan ‘Isyak.

Ibn Qudamah R.H. di dalam al-Mughni (
المغني) 1/339, berkata:

َإِذَا طَهُرَتْ الْحَائِضُ , قَبْلَ أَنْ تَغِيبَ الشَّمْسُ , صَلَّت الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ , وإن َطَهُرَتْ قَبْلَ أَنْ يَطْلُعَ الْفَجْرُ , صَلَّت الْمَغْرِبَ وَالعِشَاءَ ؛ لما رَوَى الْأَثْرَمُ , وَابْنُ الْمُنْذِرِ , وَغَيْرُهُمَا , بِإِسْنَادِهِمْ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ , وَعَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ , أَنَّهُمَا قَالَا فِي الْحَائِضِ تَطْهُرُ قَبْلَ طُلُوعِ الْفَجْرِ بِرَكْعَةٍ : تُصَلِّي الْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ , فَإِذَا طَهُرَتْ قَبْلَ أَنْ تَغْرُبَ الشَّمْسُ , صَلَّتْ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا وَلِأَنَّ وَقْتَ الثَّانِيَةِ وَقْتٌ لِلْأُولَى حَالَ الْعُذْرِ , فَإِذَا أَدْرَكَهُ الْمَعْذُورُ لَزِمَهُ فَرْضُهَا , كَمَا يَلْزَمُهُ فَرْضُ الثَّانِيَةِ

Maksudnya: “Jika seorang haid suci sebelum tenggelam matahari (sebelum masuk Maghrib), hendaklah dia solat Zohor dan ‘Asar. Jika dia suci sebelum terbit fajar, maka hendaklah dia menunaikan solat Maghrib dan ‘Isya, berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh al-Athram, Ibn al-Munzir dan selain mereka berdua dengan sanad daripada Abd al-Rahman bin ‘Auf dan Abdullah bin ‘Abbas yang berkata tentang wanita haid yang suci sebelum terbit fajar (sblm masuk waktu subuh), hendaklah dia solat Maghrib dan ‘Isyak, jika suci sebelum tenggelam matahari, hendaklah dia solat Zohor dan ‘Asar, kerana waktu yang kedua (‘Isyak/’Asar) adalah waktu (untuk menunaikan solat) yang pertama (zohor/maghrib) ketika dalam keuzuran, maka apaila orang yang ada keuzuran mendapati waktu pertama, wajib pula ke atasnya kefardhuannya sepertimana wajib ke atasnya kefardhuan waktu kedua.” (tamat nukilan secara ringkas). Inilah juga pandangan Towus, Mujahid, al-Nakha’ie, al-Zuhri, Rabi’ah, Malik, al-Laith, al-Syafie, Ishak dan Abi Thur. Imam Ahmad berkata: “Kebanyakan tabi’ien berpendapat dengan pendapat ini melainkan al-Hasan... inilah juga pandangan al-Thauri dan Ahl al-Ra’yi."

Al-Syeikh Abdul ‘Aziz Abdullah bin Baz berkata: “Apabila wanita yang berhaid, atau nifas suci sebelum tenggelam matahari, wajib ke atasnya solat zohor dan ‘Asar berdasarkan pandangan yang lebih benar, demikian juga jika dia suci sebelum terbit fajar , wajib keatasnya menunaikan solat maghrib dan ‘Isyak. Ini kerana waktu kedua-duanya (solat yang boleh dijamakkan) adalah dikira waktu yang satu bagi orang yang berada dalam keuzuran seperti orang yang sakit dan orang yang bermusafir.” (Majmu’ al-Fatawa 10/217)

2. Mazhab Hanafi berpandangan tidak wajib bagi orang yang haid menunaikan solat melainkan solat yang dia suci ketika itu sahaja. Ini kerana seorang yang berhaid berada dalam waktu solat yang sebelumnya dalam keadaan dia tidak suci, maka tidak perlu dia mengqadhanya. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 13/73). Ini juga pandangan al-Hasan dan al-Thauri,
Qatadah, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Daud R.Anhum

Pendapat ini disokong oleh beberapa dalil iaitu

i. Sunnah

من أدرك ركعةً من الصَّلاة فقد أدرك الصَّلاة

Maksudnya: “Siapa yang dapat satu rakaat dari sesuatu solat, maka sesungguhnya dia telah mendapat solat tersebut.”

Huruf ‘alim’ dan ‘lam’ pada kalimat al-Solah (
الصلاة) menunjukkan kepada waktu, iaitu waktu solat yang diperolehi satu rakaat di dalam waktunya. Adapun solat sebelumnya, tidak didapati satu rakaatpun dari waktunya, waktunya telah berlalu keseluruhannya sedangkan dia bukanlah seorang yang diwajibkan menunaikannya, maka bagaimana kita hendak mewajibkannya qadha waktu tersebut?”


ii. Kaedah dalam Qawaid Fiqhiyyah " Al-aslu baraatul zimah.." (asal sesuatu ialah tiadanya tanggungjawab). Ini bermakna, wanita yang dalam keadaan haidh tidak wajib menunaikan solat,oleh itu jika dia suci pada mana-mana waktu solat, dia hanya perlu tunaikan solat pada waktu itu sahaja dan tidak perlu qadha waktu lain kerana di waktu lain,wanita tersebut belum diwajibkan solat kerana masih haidh.

Persoalannya lagi, pendapat manakah yang harus kita gunakan? Bagi penulis, dalam masalah ini,kekuatan dalil berada di pihak ke 2 iaiut mazhab Hanafi namun sebenarnya permasalahan ini bergantung kepada ketenangan hati wanita. Maksudnya jika dia tenang menggunakan pendapat Jumhur,silakan dan jika lebih tenang pendapat kedua,tiada halangan untuknya.

Ketenangan yang dikehendaki di sini ialah yang tidak melibatkan bermudah-mudah atau suka hati tanpa penelitian.

Jangan memaksa @ menekan mustafti ( peminta fatwa ) berpegang dengan satu-satu pendapat tersebut... kerana Mazhab bagi orang awam adalah mazhab pegangan muftinya....

:: SENDIRIAN aka TANPA TEMAN :::

Pagi tadi tepat jam 4:50 pagi, teman akrab ku yang ke 3 d bumi Mesir 'menongkah' awan. Walau di aiport tadi aku tidak menzahirkan apa-apa perasaan sedih namun jauh d lubuk hati, aku terasa kehilangan. Walau rafiq ku lebih muda dari ku (beza umur 7 tahun), dan amat sensitif serta emosi sikit, namun aku tetap dapat melayannya. Aku kenalinya pada 2001 tika menuntut di Pakistan dan tika itu aku memangku Amir ( Pengerusi ) sebuah persatuan pelajar sana, cawangan Karachi ( Negeri Sindh ). Kala itu, diri ini bertindak sebagai abang kepada pelajar-pelajar junior. Setiap minggu, kami akan berkumpul, bersukan dan berprogram sama-sama. Bermula dari program tarbiyah hinggalah program sukan dan rekreasi,semuanya mengeratkan lagi tali ukhuwwah kami bagi mendepani medan dakwah di Malaysia khasnya.

hari-hari terakhir bersama Zaki

Sebulan sebelum ini, rafiq ku yang ku anggap sebagai mentor,juga meninggalkan bumi Mesir. Dia juga ku kenali tika di Pakistan. Dia Setiausaha Agung Pusat. Orangnya peramah, merendah diri dan mahir dalam pelbagai bidang. Katakan sahaja (kecuali bab komputer kerana hanya tahu perkara asas sahaja,ehe jangan marah ustaz).

sebahagian ahli bait dan seorang rafiq semasa di Pakistan (berkopiah hijau)

Setahun sebelum itu, aku bersama seorang lagi rafiq ku,menjejakkan kaki di Bumi Kinanah ini bagi menggali khazanah ilmu.Qasad kami hendak mendaftar diri di darul ifta' namun masalh birokrasi ala Mesir dari pihak Kedutaan membantutkan segala.Redha. Lalu kami membuat keputusan untuk pulang pada bulan 7 Julai 2007. Semangatku masih membara untuk belajar di sini lantas menghubungi pusat pengajian yang ada 'mua'adalah dengan Jamiah al-Azhar.Alhamdulillah,pihak pusat pengajian sedia membantu, namun aku agak terkilan kerana sahabat tidak mahu melakukan tindakan yang sama sebaliknya membuat keputusan untuk kahwin. Walau apapun,didoakan keputusannya tepat (maklumlah dah 29 tahun masa tu).

Sendirian aku kembali ke Mesir,menggalas impian. Aku masih bertuah kerana masih ada seorang lagi rafiqku yang ku anggap sebagai adik tika di Pakistan dulu. Namun,keputusannya untuk berada di Dasuq,agak mengejutkanku.Katanya ingin berada jauh dari kelompok melayu bagi merentas rintangan menuntut ilmu.Ilmu akan mendatangi kita tika kita bersusah payah untuknya.Itu pendapatnya.Moga rafiq berjaya.

Sayugia aku bersyukur kerana ahli bait semuanya sehati sejiwa,susah senang bersama.Tidak mahu berpisah.Ariffudin,Abd Rahim,Baharudin,Muaz dan Azri. Setiap petang,keluar ronda-ronda sekitar Hayyu 7, Hayyu Zuhur untuk mencari rumah sewa.Penat,letih,panas,pulang lewat, itulah resam kami sepanjang pencarian 'port baru'.
Alhamdulillah,akhirnya dapatlah rumah sewa di akhir mahattah.

Kembali tajuk asal.Kehidupan duniawi,manusia perlukan teman, pastinya untuk ukhrawi atau diniyy,amat diperlukan lagi. Bukankah RasuluLLAH 'memiliki' Abu Bakr sebagai teman rapatnya? Nabi Musa as mempunyai Nabi Harun as? Sewaktu ingin menemui Khidir as, Nabi Musa diiringi Yusya Bin Nun as. Yang pasti,lebih besar tanggungjawab terhadap agama, lebih ramai rafiq yang diperlukan.Tapi jangan la pula rafiq itu seumpama Haman yang sesat dan menyesatkan Fir'aun.
Rafiq penting tapi perlu dipilih.Cuba teliti hadith ini


حَدَّثَنِي ‏ ‏مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ ‏ ‏حَدَّثَنَا ‏ ‏عَبْدُ الْوَاحِدِ ‏ ‏حَدَّثَنَا ‏ ‏أَبُو بُرْدَةَ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ ‏ ‏قَالَ سَمِعْتُ ‏ ‏أَبَا بُرْدَةَ بْنَ أَبِي مُوسَى ‏ ‏عَنْ ‏ ‏أَبِيهِ ‏ ‏رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ‏ ‏قَالَ ‏
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ
بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا
خبيثة



Maksudnya: RasuluLLAh SAW bersabda : Perumpamaan rakan yang soleh dan rakan yang tidak elok seumpama penjual wangian dan penempa besi. Jika penjual wangian, samada kamu membeli wangian tersebut atau terkena wangiannya,manakala jika penempa besi (mungkin) terpercik bunga api ke badan kamu atau pakaian kamu atau terpalit bau kurang elok pada kamu
(Riwayat Bukhari hadith no 1959 )

Moga diri ini akan sentiasa didampingi oleh rafiq yang elok. Moga akan ada yang ingin mengingat dan menasihati,menegur dan memperbaiki.Mengkritik dan membetulkan.Aameen ya Rabb

:: AHLAN YA RAJAB:::

Friday, July 4, 2008

Kedatangan awal bulan Rejab tahun 1429H jatuh pada hari Jumaat. Terkumpul 2 hari yang agung,awal bulan Allah alHaram dan juga hariraya mingguan umat Islam.

Dalam meneliti fadhilat dan kebesaran bulan Rejab ini,di sana ada pertelingkahan yang agak merugikan umat Islam dek kerana masing-masing terlalu ketat dan ta'sub terhadapa fahaman dan pegangan sendiri.

Pada mereka yang menyambut Rejab dengan mengemukakan fadhilat-fadihilat yang terkadang diselangi dengan sumber yang tidak berasas, suka penulis suakan peringatan terhadap penyebar hadith palsu (maudhu3). Andaikata anda belum menempah tiket untuk ke neraka, lakukan sekarang kerana anda amat berkelayakan

Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

" Sesiapa yang mendustai menggunakan namaku, maka tempahlah 'kerusinya' di neraka"

Segolongan yang lain pula menyatakan bangkangan keras terhadap fadhilat-fadhilat bahkan menafikan ibadah-ibadah yang boleh dilaksanakan pada bulan Rejab.Kedua-dua golongan ini masing-masing hendak menegakkan 'kebenaran' yang mereka 'iktiqadkan'.

Alangkah eloknya jikasetiap tho'ifah berlapang dada, mencari jalan tengah dan penyelesaian terhadap pertikaian ini?Tidakkah kita sedar, musuh terbahak-bahak ketawa dek senang hati melihat umat Islam bercakaran sesama sendiri?

Penulis beranggapan, kita masih punyai pelbagai cara untuk 'berdamai', kita punyai bermacam alasan untuk bersatu dan berlapang dada. Ayuh kita lihat jalan tengah terhadap kemelut ini

Di sini penulis kemukakan bebrapa hadith buat renungan semua pihak

حدثنا ‏ ‏أبو بكر بن أبي شيبة ‏ ‏حدثنا ‏ ‏عبد الله بن نمير ‏ ‏ح ‏ ‏و حدثنا ‏ ‏ابن نمير ‏ ‏حدثنا ‏ ‏أبي ‏ ‏حدثنا ‏ ‏عثمان بن حكيم الأنصاري ‏ ‏قال سألت ‏ ‏سعيد بن جبير ‏ ‏عن صوم رجب ونحن يومئذ في رجب ‏ ‏فقال سمعت ‏ ‏ابن عباس ‏ ‏رضي الله عنهما ‏ ‏يقولا ‏
‏كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يصوم حتى نقول لا يفطر ويفطر حتى نقول لا يصوم ‏
و حدثنيه ‏ ‏علي بن حجر ‏ ‏حدثنا ‏ ‏علي بن مسهر ‏ ‏ح ‏ ‏و حدثني ‏ ‏إبراهيم بن موسى ‏ ‏أخبرنا ‏ ‏عيسى بن يونس ‏ ‏كلاهما ‏ ‏عن ‏ ‏عثمان بن حكيم ‏ ‏في هذا الإسناد ‏ ‏بمثله


Mafhumnya(Secara ringkas ):
Aku (Uthman Bin Hakim ) bertanya Sai'd Ibn Jubair tentang puasa bulan Rejab ketika kami berada pada bulan tersebut,lantas beliau menjawab :" Aku mendengar Ibnu Abbas r.a berkata : Nabi SAW sering berpuasa sehingga kami berkata, Baginda tidak pernah berbuka (tinggal puasa) dan Nabi SAW berbuka (tidak puasa) sehingga kami berkata Nabi SAW (seolah-olah) tidak pernah berpuasa"

(Hadith no 1690 bab puasa )
Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim tika menjelaskan makna hadith ini berkata :

"Maksud Sai'd bin Jubair dengan mengemukakan hadith ini ialah, tiada larangan secara tepat ('ain) terhadap ibadah bulan Rejab juga tiada galakkan secara tepat ('ain), bahkan hukumnya seumpama bulan -bulan yang lain-(kata-kata dipotong kerana berulang)-Namun asal puasa itu sunat,kerana di dalam Sunan Abi Daud, adanya galakkan Nabi SAW supaya berpuasa pada bulan-bulan Haram dan Rejab termasuk salah satu darinya .WalLAHu 3alam."

Dalam Sunan Abi Daud sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi tadi, hadith tersebut berbunyi :

حدثنا ‏ ‏موسى بن إسمعيل ‏ ‏حدثنا ‏ ‏حماد ‏ ‏عن ‏ ‏سعيد الجريري ‏ ‏عن ‏ ‏أبي السليل ‏ ‏عن ‏ ‏مجيبة الباهلية ‏ ‏عن ‏ ‏أبيها أو عمها ‏
أنه أتى رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏ثم انطلق فأتاه بعد سنة وقد تغيرت حاله وهيئته فقال يا رسول الله أما تعرفني قال ومن أنت قال أنا ‏ ‏الباهلي ‏ ‏الذي جئتك عام الأول قال فما غيرك وقد كنت حسن الهيئة قال ما أكلت طعاما إلا بليل منذ فارقتك فقال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏لم عذبت نفسك ثم قال ‏ ‏صم شهر الصبر ويوما من كل شهر قال زدني فإن بي قوة قال صم يومين قال زدني قال صم ثلاثة أيام قال زدني قال صم من ‏ ‏ الحرم ‏ ‏واترك صم من ‏ ‏ الحرم ‏ ‏واترك صم من ‏ ‏ الحرم ‏ ‏واترك وقال بأصابعه الثلاثة فضمها ثم أرسلها

Mafhumya (diringkaskan sanad):

Dari Habibah AlBahiliyyah dari ayahnya atau bapa saudaranya bahawa dia (ayah atau bapa saudara) datang bertemu rasulullah SAW,kemudian dia beredar dan menemui Nabi SAW pada tahun berikutnya di mana keadaanya sudah berubah,seraya beliau berkata : Wahai Rasulullah,tidakkah kamu kenal saya?Nabi menjawab: Kamu siapa?,beliau berkata: saya Kaum Bahili yang datang bertemumu pada tahun lepas. Nabi bertanya: Apa yang menyebabkan keadaan kamu berubah,sedang dulu kamu mempunyai paras yang elok? Jawab beliau : Setelah aku berpisah denganmu aku tidak makan melainkan hanya pada waktu malam sahaja ( maksudnya sentiasa berpuasa ). Nabi membalas: Kenapa kamu menyeksa diri?Puasalah pada bulan Ramdhan dan sehari setiap bulan. Beliau menjawab: Tambahkanlah lagi kerana aku mampu. Nabi SAW menjawab : Puasalah 2 hari, jawabnya: Tambahkanlah lagi, Nabi menjawab puasalah 3 hari,beliau berkata : Tambahlah lagi, Nabi menjawab : Puasalah pada bulan haram kemudian tinggal pada bulan lain,kemudian puasalah pada bulan haram dan tinggalkan pada bulan selepasnya,puasalah pada bulan haram dan tinggalkan bulan selepasnya.Nabi menisyaratkan dengan tiga jarinya,sambil mengenggam dan melepaskannya "

(Hadith no 2073 Bab Puasa Bulan Haram)

Berlapang lah dada dalam semua permasalahan selama mana ia tidak melibatkan Aqidah

Khulasahnya, Janganlah kita selalu bercakaran. Juga semoga kita sentiasa berusaha untuk bersatu kerana perpecahan akan hanya menguntungkan pihak musuh yang telah lama menanti saat untuk 'meratah' Umat Islam