Followers

Pelajar Mesir, Bersukurlah!

Tuesday, March 15, 2011

Bismillahirrahmanirrahim.

Berulang alik dari rumah sewa di Bangi Pedana ke perpustakaan Tun Sri Lanang UKM sudah menjadi rutin sejak bermulanya semester kedua pengaian master saya.

Isteri memilih untuk berada di Batu 19 Tapah, kerana ingin memberi ruang untuk saya berbgerak bebas katanya. Namun mungkin saya tidak betah untuk tinggal berasingan, membuatkan saya mengubah fikiran untuk menumpang di rumah bapa saudara di Seksyen 3 Bangi.

Berada di perpustakaan yang terbesar di Malaysia, memungkinkan saya untuk menambah bahan bacaan dan khazanah minda. Rupanya, banyak yang saya dapat melalui pembacaan di sini. Tidak terlarat untuk membelek satu persatu bahan ilmiah. Terkadang, bila melalui rak-rak buku, mata terpana pada apa jua yang dilihat sehinggakan terlupa objektif kedatangan saya ke rak tersebut.

Stop.

Sebetulnya seorang pelajar telah dijamin oleh Allah. Memetik artikel di harakahdaily, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Kelantan dan tahniah kepada para sahabat yang mendapat pembiayaan perjalanan pulang ke Mesir.

"Sesiapa yang menuntut ilmu maka Allah akan jamin rezekinya"

Ya, alam pelajar amat banyak bantuan yang diperolehi. Apatah lagi jika anda seorang pelajar agama. Banyak keberkatan, ramai yang ingin membantu, beramal jariah, menaja dan membiayai pelajar agama. Itulah penangan keberkatan belajar ilmu agama.

Namun disebalik curahan bantuan yang terkadang melimpah, ada jua insan dalam bidang yang sama tidak dipandang oleh mereka. Insan itu berhempas pulas bahkan lebih gigih menuntut ilmu. Lebih jerih dari yang lain, namun masih tiada yang sudi hulurkan tangan. Pengajian tetap diteruskan juga.

Pengalaman saya di ketika bersama para sahabat di Mesir, dapat saya perhatikan, ada yang gigih dan maju dalam pengajian namun mereka tidak pernah mendapat bantuan. Bahkan bantuan yang dipohon tidak pernah mereka perolehi.

Ramai pelajar yang mendapat bantuan namun mereka 'lena' dengan bantuan. Alpa dalam kesenangan. Pelajaran terabai. 'Aksesori' makin ditambah. Laptop sudah menjadi fenomena seolah-olah satu kewajipan . Tidak saya nafikan bahawa ianya satu keperluan bagi setiap pelajar, namun mungkin itu di Malaysia tapi seingat saya, jika di Timur Tengah (Mesir khasnya), pelajar bidang agama tidak perlukannya. (Mungkin sekarang mereka memerlukannya? banyak assignment?)

Sewaktu saya mendalami ilmu hadis di Pakistan, pelajar Malaysia di sana juga ramai ketika itu. Pada 2002, pergolakan makin serius, visa pelajar dibatalkan hatta pelajar perubatan sekalipun. Ada yang baru sahaja menghabisi waktu cuti di Malaysia, datang semla untuk memulakan sesi baru pengajian, telah dibatalkan serta merta visa pelajar. Apa yang kedutaan lakukan ? Hanya lepas tangan sahaja bahkan menyalahkan pelajar kerana memilih Pakistan sebagai destinasi mendalami ilmu (perubatan atau agama).

Para pelajar terpaksa membiayai sendiri perjalanan balik mereka, dan untuk kembali harus menggunakan duit poket sendiri. Tiada pun bantuan sama ada dari Pusat mahupun negeri. Tiada pun pembiayaan pulang atau kembali semula menyambung pengajian. Adakah hanya kerana sijil yang mereka perolehi tidak diiktiraf, maka bantuan tidak diberi? Pihak berwajib di bahagian zakat turut menyepi?

Di Libya tindakan kerajaan telah menyusuli, adakah memadai?
Sekarang pergolakan di Yaman. Bagaimana tindakan kerajaan nanti? Akan adakah yang bersimpati?

Bersyukurlah wahai pelajar (sahabatku di) Mesir, gunakanlah peluang anda. Berpersatuan biar berpada, bertalaqqi biar berkala. Yang bertalaqqi usah diabai persatuan, yang berpersatuan usah dicicir pengajian yang ada. Tiada alasan untuk berjaya melainkan takdirnya setelah berusaha.

Gunakanlah peluang yang ada untuk anda berjaya. Betapa ramai yang idamkan untuk menjejakkan kaki ke Mesir namun impian dan harapan hanya tinggal impian. Bittaufiq wannajah tsumma annikah!!!:)