Bismillaahirrahmaanirrahiim..
Jemputan dan tawaran seorang sahabat untuk membantu beliau menyemak Al-Quran untuk cetakan di bawah kelolaan Yayasan Restu, saya terima dengan hati terbuka dan penuh amanah. Tugasan ini dirasakan amat berat . Maklumlah, pelbagai aspek perlu diteliti sebelum ia dicetak. Jika tersalah sedikit, kesannya amat besar.
Al-Quran cetakan Saudi juga pernah ditarik balik hanya kerana kesalahan tidak meletakkan baris fathah (atas) huruf ha pada perkataan فيها dalam surah a-Furqan ayat 61. Dikatakan bahawa cetakan itu telah melalui proses penyemakkan sebanyak 400kali sebelum ia dicetak, itu pun masih ada yang terlepas pandang. Walaupun bagi mereka yang mengetahui dan mempelajari bahasa Arab, ia tidak diangap sebagai satu kesalahan, kerana perkaaan tersebut sudah boleh dibaca namun bagi memastikan Al-Quran dapat dibaca oleh semua orang, perkara sebegini amat dititikberatkan.
Bersama dengan sang isteri, kami keluar awal dari rumah. Sebetulnya kami perlu tumpangkan 2 orang pelajar tahfiz dari sekolah Ustaz Hasmin . Kedua-duanya turut dijemput untuk menyemak tulisan Al-Quran. Jalan yang dipilih untuk ke sana ialah Lebuhraya Guthrie. Lebih senang dan tidak jam. Bayaran tol keseluruhannya hanya Rm2.80 ( Mahal juga tu ).
Kami tiba lewat, namun amat berterima kasih pada Ustaz Hamdan yang sudi belanja sarapan pagi.
Proses semakan Al-Quran ini diketuai dan dipantau oleh Ustaz Hannan, yang bertugas di bahagian Ulum Quran di Yayasan Restu. Taklimat ringkas dari beliau berkenaan teknik semakan Al-Quran, memberikan kami gambaran yang jelas apa yang perlu dilakukan.
Setiap dari kami, diberi 3 juzuk untuk dibuat semakan, dengan kadar 1juz sehari. Ini bermakna kami punyai masa 3 hari untuk siapkan tugasan yang diberi. Wah mencabar juga.
Setiap patah perkataan perlu diteliti baris, gaya seni penulisan, jarak antara perkataan, tanda bacaan dan kedudukan baris setiap huruf. Fuhhh...
Hari pertama semakan (Rabu 22.12.2010) semuanya berjalan lancar. Setiap penyemak menampakkan ketelitian masing-masing. Mata saya sempat memerhati gelagat dan ketekunan mereka. Hasilnya, saya yang paling lewat siap membuat semakan dek kerana asyik memerhai gelagat orang :d
Pada hari kedua, saya diberi tambahan juzuk kerana ada sahabat yang tidak dapat menghadirkan diri . Saya perlu siapkan semakan ini seawal mungkin kerana perlu pulang ke Penang pada hari Jumaat memandangkan ada kenduri sepupu belah isteri.
Pelbagai rintangan dan kesukaran, akhirnya team kami siap membuat semakan awal AlQuran pada petang Jumaat 24.12.2010.
Semakan berikutnya akan dibuat oleh team JAKIM,Kementerian Dalam Negeri dan akan dibuat final touching oleh para pakar yang lain (saya kurang pasti).