Hari ini gerhana matahari
Umat Islam digalakkan untuk bersolat dan memperbanyakkan doa. Saya pernah tulis entry pasal gerhana disini
Di Malaysia gerhana berlaku jam 3 petang tapi di Mesir , gerhana berlaku waktu pagi jam 7.45
Esok pula akan masuk bulan Safar. Perkataan ini berasal dari bahasa Arab yang membawa makna 'kosong'. Hal ini kerana, masyarkat Arab pada bulan Safar akan mengosongkan kampung mereka. Mereka akan keluar mencari kawasan baru atau keluar untuk urusan perniagaan dan sebagainya.
Bulan Safar menurut masyarakat Arab juga, dianggap sebagai bulan sial.Namun Islam telah menghapuskan kepercayaan karut tersebut.
Bukan itu sahaja, masyarakat Melayu kuno ( mungkin juga sekarang ini) ada terikut-ikut dengan kepercayaan karut ini. Mereka merasakan bulan Safar membawa bencana, hasilnya pelbagai amalan direka untuk menepis bencana antaranya mandi bulan Safar, sembelihan binatang korban, pemujaan laut
Ada juga ritual keagaamaan dilakukan bagi menampakkan amalan yang direka itu Islamik.
Pernah tika saya masih di alam kanak-kanak, amalan di kampung ialah soalt hajat di tempat terbuka, pulut kuning turut disediakan. AstaghfiruLLAH
Namun sekarang, alhamduliLLAH amalan ini semakin pupus.
Nabi SAW bersabda :
لا عدوى ولا طيرة ولا هامة ولا صفر ، وفُـرّ من المجذوم كما تَفرّ من الأسد
Maksudnya : Tiada penyakit berjangkit (dengan sendiri), tiada burung melintas, tiada burung hantu (yang membawa malang) tiada ( bencana) pada bulan Safar, dan larilah dari penyakit kusta sebagaimana kamu larikan diri dari singa( hadis riwayat Bukhari dan Muslim )
Menurut sejarah Syiah, bulan Safar memang banyak berlaku peristiwa malang menurut pandangan mereka :
1 Safar - pada tahun 37 hijrah berlaku perang Siffin, manakala pada 61 Hijrah, kepala Sayyidina Husin dibawa masuk Dimasyk. Juga pada 121 Hijrah, Zaid bin Ali bin Husin bin Ali ra terbunuh syahid
7 Safar - Kematian Sayyidina Husin ra menurut Al Kaf'ami (ahli sejarah Syiah). Kelahiran Musa Al-Kazim bin Ja'afar As-Sodiq
28 Safar - Kewafatan RasuluLLAH SAW
29 Safar - Kematian Assyahid Imam ar-Redha ra kerana termakan buah anggur beracun.
Menurut ahli Sunnah bulan Safar hanya masyhur dengan dua peristiwa penting iaitu :
1. Peperangan Abwa
Ia merupakan peperangan pertama dalam Islam sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibnu Ishaq dalam kitab beliau. Imam Bukhari menolak dakwaan Ibnu Ishaq, beliau berpendapat peperangan pertama ialah Usairah atau Usyairah
Abwa merupakan salah satu petempatan di Madinah, terletak selepas Juhfah sejauh 46 kilometer.
Baginda bersama para sahabat keluar untuk menahan perdangan Quraisy namun tidak sempat kerana Quraisy lebih dahulu melepasi kawasan tersebut.
Kemudian Baginda SAW bertemu dengan Bani Dhomirah lalu memeterai perjanjian. Ali ra yang turut serta dalam peperangan ini, diberitakan sebagai penulis butiran perjanjian antara kedua pihak
2. Perkahwinan Sayidina Ali ra dengan Fatimah ra
Sayyidina Ali ra berkahwin dengan Fatimah ra setelah dua bulan kembali dari Perang Badar. Dalam erti kata lain, pada bulan Zulhijjah, namun mereka disatukan (dibenarkan bersama ) pada bulan Safar tahun berikutnya
Jadi kepada sesiapa yang hendak berkahwin pada bulan Safar, dipersilakan...ambil berkat perkahwinan puteri Rasulullaah SAW . Kalau hendak ambil keberkatan perkahwinan Nabi SAW dengan Aisyah ra, kahwinlah pada bulan Syawal ;)
0 comments:
Post a Comment