Followers

Anak Luar Nikah : Terbelakah?

Wednesday, December 16, 2009

AlhamduliLLAh sekarang ini agak mempunyai kelapangan masa untuk mencoretkan sesuatu
Beberapa hari lepas, ada pelbagai persoalan yang saya kira agak menarik untuk dikongsikan bersama sahabat pengunjung blog

Kelahiran anak luar nikah ( atau dalam istilah lebih kasar " anak zina"), semakin hari semakin terpampang di dada akhbar. Dari timur hinggalah ke Barat, utara ke Selatan, mana-mana negara berdepan dengan masalah ini.

Pelbagai pihak tampil memberi pandangan tentang penyelesaian yang terbaik untuk mengatasi kemelut ini. Saya percaya, sahabat semua sependapat dengan saya bahawa, hanya dengan pemantapan rohani dan penguatkuasaan undang-undang Islam sahaja yang mampu membawa kita keluar dari kepompong ini.


Penguatkuasaan Undang-undang Islam bukan sahaja bermaksud, melaksanakan hukum hudud bahkan lebih luas dari itu. Pengawalan bahan bacaan, undang-undang media,akta seni hiburan, akta jalur lebar dan sebagainya yang mempunyai kaitan rapat dengan punca kemelut.

Juga apa yang perlu dititik beratkan ialah pindaan Undang-undang Keluarga Islam yang diamalkan oleh Mahkamah Syariah. Saya mungkin bukan orang yang berautoriti untuk membicarakan soal Undang-undang Mahkamah Syariah, namun saya masih berhak untuk menyuarakan pandangan sesuai dengan bidang keagamaan.


Kita tengok beberapa kajian kes

Kes 1

Seorang wanita yang terlanjur dengan suami orang, yang kemudian lelaki tadi tidak mahu bertanggungjawab dengan membiarkan wanita tersebut. Atas keinsafan dan ingin bertaubat, wanita ingin menjaga 'baby' tapi dalam masa yang sama bimbang baby apabila besar kelak akan tertekan bila mengetahui dia adalah anak luar nikah. Sementelah 'tradisi' masyarakat yang memandang hina terhadap anak luar nikah


Kes 2

Wanita yang mengandung anak luar nikah, ingin menasabkan ( mem'bin'kan) anaknya kepada 'bapa anak' tetapi tidak dapat mengesahkannya dengan mengemukakan bukti dan dokumen perkahwinan atau sebagainya. Masalah muncul sekali lagi apabila anak luar nikah ingin dikahwini, tiada wali


Dari 2 kes tersebut kita dapati bahawa, dalam kerangka masyarakat Malaysia, kejadian ini saban hari menghantui dan memberi impak yang kurang elok.

Ada beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan dalam menghadapi permasalahan ini.


1. Pindaan akta dan undang-undang keluarga

Apa yang menjadi amalan sebelum ini ialah, anak luar nikah (zina) tidak boleh di'bin'kan kepada penzina. Berdasarkan kepada pandangan Jumhur dan ia digunapakai sejak berzaman

Namun setelah perbahasan dibuka semula dalam permasalah ini, telah wujud resolusi yang membenarkan anak luar nikah (zina) di'bin' kepada penzina ( saya tidak mahu membahaskan persoalan dalil dan komentar-komentar di sini, ada baiknya para sahabat merujuk kepada beberapa artikel di sini)

Mungkin ada yang ingin bertanya : " Apa faedah jika pindaan dibuat?"

Saya ingin nyatakan, banyak faedah dan kesan dari pindaan undang-undang ini :

a. Anak akan di'bin' kepada 'bapa', dengan itu dia mempunyai bapa

b. Wanita boleh membuat tuntutan 'nafkah' dari 'bapa baby' melalui mahkamah, kerana lelaki
yang membuat hubungan dengan wanita tadi dianggap
'bapa'

c. Sekiranya 'bapa' enggan/ingkar arahan mahkamah, tindakan lain boleh dikenakan terhadap lelaki tersebut, seperti memaksa bayar melalui pengeluaran surat kepada pihak bank (jika ) lelaki mempunyai akaun di mana-mana bank atau aset/akaun dibekukan sehinggalah membayar nafkah.


2. Pindaan Undang-undang Sivil

Hasil daripada pindaan yang dibuat pada Undang-undang Keluarga Islam atau Mahkamah, ia akan mengheret sama pindaan dalam undang-undang sivil.

Maksud saya, jika pindaan membenarkan anak luar nikah didaftar dengan ber'bin'kan atas nama 'penzina' (sebagai bapa), ia akan memudahkan lagi proses-proses yang memerlukan pengisian nama dan dokumen-dokumen berkaitan dengannya.

Begitu juga, tuntutan-tuntutan hak akan boleh difailkan di mahkamah sivil, kerana mahkamah sudah mempunyai autoriti untuk membicarakan kes.

Walaupun begitu, ada beberapa hak yang tidak boleh dituntut oleh anak luar nikah seperti harta warisan, namun sekurang-kurangnya ada sedkit pembelaan terhadap anak luar nikah


3. Adanya masyarakat yang tampil untuk menjadikan anak luar nikah sebagai anak angkat mereka

Cara ini agaknya menurut mereka boleh mengurangkan 'tekanan' yang dijangka berlaku pada anak tersebut. Sekurang-kurangnya, membawa keluar mereka dari suasana dan orang-orang sekeliling yang maklum peristiwa/kisah yang berlaku.

Dalam beberapa ketika, dapat 'menutup' kisah malangnya


Bukanlah bermakna pandangan saya ini akan lebih membuka ruang kepada yang diluar sana untuk membuat hubungan haram secara suka sama suka sebagaimana amalan di Barat, tetapi lebih kepada pandangan alternatif untuk apa yang berlaku. Ia umpama pengharusan amalan demokrasi pilihanraya, yang mana bukanlah dengan penerimaan demokrasi pilihanraya ini bermakna akan menafikan sistem khilafah Islam, tapi ia hanya berbentuk "temporary"

Ia lebih kepada memberi pembelaan kepada anak luar nikah yang tidak berdosa.

Di samping itu juga, ia untuk menghindari daripada anak luar nikah dibuang merata, kerana dianggap sebagai beban.

Juga bagi memberi harapan dan semangat kepada yang terlanjur untuk menginsafi 'lorong gelap' yang dilalui sebelum ini.

Kita sedia maklum bahawa ramai juga yang inginkan jalan pulang, buktinya ramai anak-anak muda yang berteduh di Pusat-pusat Perlindungan umpamanya di Darus Sakinah, Raudhah dan sebagainya yang memberi sinar harapan kepada mereka.

Masyarakat juga sepatutnya tidak membuka aib seseorang selama mana orang tersebut tidak mengulangi perbuatan buruk atau tidak berbangga dengan dosa yang dilakukan.

Pihak media juga janganlah memberi saham menyebar rata aib orang, bahkan menyandarkan " hak kebebasan media" demi mengharuskan tindakan mereka atau berhujah mengatakan " ia adalah berita sensasi dan ingin memberi keinsafan/teguran membina".


5 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum,
apa khabar, no.hp ust.fadhli shaari ana ada, ana ada hal sikit dr ilias

HURULAIN SAKINAH said...

Salam..

Dah lama rasanya tak baca 'buah tangan' ustaz di sini.

Erm..Ana tertarik dengan isu yang cuba ustaz kupaskan ini.

Ana bersetuju jika si ibu boleh membuat tuntutan nafkah bagi anak terbabit. Sukarang-kurangnya nasib anak itu akan terbela.

Selain itu ia akan mengajar si bapa tadi akan erti tanggungjawab sebab kebanyakan dalam kes anak luar nikah ini, pihak lelaki akan lepas tangan setelah mengetahui pasangan mereka hamil.

Namun begitu, akan terbelakah anak-anak ini dengan cuba untuk membin/ti anak-anak luar nikah ini dengan nama bapa kandung mereka?

Mungkin tindakan ini mampu menutup aib sementara. Tapi untuk jangka masa panjang bagaimana?

Contohnya, jika si anak ini berkahwin. Mustahil si bapa boleh mewalikan anaknya. Bahkan mungkin boleh mengudang aib, jika status anak itu lewat diketahui.

Apa pun..masalah utama yang perlu dibendung ialah keruntuhan akhlak yang membawa kepada penzinaan...

salmanfasiri said...

em ye..secara umum, jika dh diubah undang2 kkluargaan islam, dg sdri akn boleh mewalikan khawinnya
wallahu'alam

Anonymous said...

salam,ustaz..
kalo hamil dlm 4 minggu, mcm mane nak percepat proses nikah? prosedur rumit tak?

Anonymous said...

Salam,
Saya ingin bertanya bagaimana pula seorang lelaki bujang terlanjur dengan wanita berstatus janda sehingga hamil dan lelaki bujang ini ingin bertanggungjawab terhadap anak itu tanpa mengahwini wanita tersebut. Minta pandangan ustaz.