Followers

Perbahasan Masa Kini

Saturday, August 16, 2008

Assalamualaikum warahmatuLLAH

Sebenarnya terasa berat juga untuk titipkan entry kali ni. Dah banyak sangat pertanyaan dari rakan dan sahabat yang minta aku ulas tentang nisfu Sya'ban. Walhal kalau mereka cari dan tanya ustaz² lain, boleh aja.

Soalan-soalan mereka :

a. Apakah hukum berpuasa pada 15 Syaaban?

b. Ada ke hadis atau dalil tentang amalan bacaan Yasin pada malam 15 Syaaban?

c. Apakah hukum berpuasa selepas 15 Sya'ban?

Aku kira semua soalan ini adalah soalan yang famous dewasa ini sebagaimana soalan puasa di bulan Rejab yang lepas. Bahkan umat seantero dunia membincangkan perkara ini lebih-lebih lagi bagi yang dilabel sebagai "WAHABI"

Di sini aku nyatakan pandangan aku yang dhaif dalam masalah ini:-

a. Secara umumnya, Nabi SAW menggalakkan umat Baginda untuk berpuasa pada hari-hari tertentu selain dari bulan Ramadhan. Sebagai contoh hari Isnin, Khamis. Begitu juga puasa pada awal bulan dan pada 'hari-hari cerah' 13,14,15 pada tiap bulan Islam

أخبرنا ‏ ‏محمد بن حاتم ‏ ‏قال أنبأنا ‏ ‏حبان ‏ ‏قال أنبأنا ‏ ‏عبد الله ‏ ‏عن ‏ ‏شعبة ‏ ‏عن ‏ ‏أنس بن سيرين ‏ ‏قال سمعت ‏ ‏عبد الملك بن أبي المنهال ‏ ‏يحدث عن ‏ ‏أبيه ‏
أن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏أمرهم بصيام ثلاثة أيام البيض قال هي صوم الشهر ‏


Maksudnya: " Bahwa Nabi SAW menyuruh (menggalakkan) mereka (para sahabat) berpuasa tiga hari pada hari-hari cerah ( Ayyaam Al-Bidh),dan sabdanya ia adalah puasa bagi setiap bulan " (Hadith Riwayat Imam AnNisai)

Dari hadith ini, secara umumnya kita boleh katakan, puasa pada 15 Sya'ban termasuk dalam galakkan Nabi SAW. Namun perlu diberi perhatian di sini ialah Nabi mendorong umatnya untuk berpuasa pada ketiga-tiga hari (13, 14, 15 ) dan bukannya hanya pada 15. Jika kita hanya berusaha untuk berpuasa pada 15 sahaja, itulah yang disebut sebagai bid'ah dalam agama

Satu lagi perkara yang perlu diingat ialah, amalan anak Adam akan diangkat pada malam Nisfu Sya'ban, sebagaimana yang masyhur di kalangan awam (saya tidak menjumpai Hadith, mungkin teman-teman boleh maklumkan ) dan Nabi SAW amat suka jika amalan Baginda diangkat dalam keadaan baginda berpuasa. Oleh yang demikian, sepatutnya kita berpuasa pada 14 dan bukannya 15 kerana pada petang 14, menuju ke malam 15. Perkiraan kalendar Islam bermula pada waktu magrb, jadi puasa kita sepatutnya 14 Sya'ban

WaLLAHu A'lam


b. Berkenaan bacaan Yasin pada malam Nisfu:

Memang tidak hadith yang qat'ie (secara pasti ) atau pun tiada nas ( secara jelas) mahupun dilalah ( bukti khas) tentang bacaan Yasin sebanyak 3 kali pada malam tersebut.
Cuma amalan ini dimulakan oleh seorang 'syeikh' di Damsyiq pada kurun ke 5 Hijrah. Menurut riwayat ( maaf saya kurang pasti riwayat mana), beliau datang ke Damsyiq pada satu ketika dan melakukan solat yang kemudian ramai yang menuruti solat beliau sehinggakan setiap tahun mulai dari saat itu, beliau datang pada malam nisfu untuk melakukan ibadah khas tersebut. Ramai ulama ketika itu menghentam amalan yang telah mula tersebar itu namun tidak diendahkan. Amalan itulah yang kita warisi sehingga kini.

Mungkin akan ada yang mempertikaikan riwayat ini. Tidak mengapa, saya hanya sekadar menyampaikan sahaja.

Kembali kepada persoalan, bagi saya (WaLLAHu A'lam) amalan membaca Yasin ini ada kaitannya dengan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam sunan beliau :

‏ ‏عن ‏ ‏عروة ‏ ‏عن ‏ ‏عائشة ‏ ‏قالت : ‏
‏فقدت رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏ليلة فخرجت فإذا هو ‏ ‏بالبقيع ‏ ‏فقال ‏ ‏أكنت تخافين أن يحيف الله عليك ورسوله قلت يا رسول الله إني ظننت أنك أتيت بعض نسائك فقال إن الله عز وجل ينزل ليلة النصف من شعبان إلى السماء الدنيا فيغفر لأكثر من عدد شعر غنم ‏ ‏كلب

Maksudnya : Dari Urwah, beliau nukilkan dari Aisyah r.a katanya : Aku kehilangan RasuluLLAH SAW pada satu malam lalu aku keluar, tiba-tiba aku dapati Baginda berada di perkuburan Baqi'. Baginda bersabda " adakah kamu bimbang Allah dan Rasulnya akan menzalimi kamu? Aku menjawab" Wahai RasuluLLAH, aku bimbang kamu menemui beberapa orang isteri kamu". Baginda bersabda " Sesungguhnya Allah turun ( atau ditakwilkan rahmatNYA) pada malam Nisfu Sya'ban ke langit dunia dan DIA mengampunkan dosa umat walau sebanyak bulu kambing yang dijaga anjing" (Hadith Riwayat Imam Tirmizi)

Kesimpulannya, amalan bacaan Yasin yang kemudian kita tawassul dengannya dalam doa kita kepada Allah untuk dipanjangkan umur,murah rezeki dan mati dalam Islam merupakan sesuatu yang diaplikasikan dalam hadis di atas. Oleh kerana rahmat Allah turun ( atau Allah turun selayak dengan keagunganNYA dan DIA suci dari segala penyerupaan) pada malam tersebut, sayugia kita merebut peluang yang terbuka ini.

Namun, perlu diingat, hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi itu beliau sendiri mengkritiknya kerana sanad munqati' (terputus) kerana Yahya bin Abi Kathir tidak mendengar hadith ini dari Urwah begitu juga perawi AlHajjaj bin Artot tidak mendengar hadith ini dari Yahya. Walau bagaimanpun ada riwayat dari Abu Bakar Assiddiq yang menyamai hadith ini.
Oleh sebab itu, untuk lebih berhati-hati,alagkah eloknya jika kita membaca Yasin pada setiap pagi, atau juga kita bermunajat pada Allah d setiap sepertiga malam kerana ia mempunyai dalil dan bukti sahih!!!

WalLLAHu 'Alam

c. Hukum berpuasa selepas 15 Sya'ban

Persoalan yang mayshur yang dibahaskan sejak dahulu,ini berdasarkan hadith Nabi SAW:



‏ ‏عن ‏ ‏أبي هريرة ‏ ‏قال
قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏إذا بقي نصف من شعبان فلا تصوموا

Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a katanya, RasuluLLAH SAW bersabda : Apabila tinggal separuh bulan Sya'ban maka janganlah kamu berpuasa. (Hadith Riwayat Imam Tirmizi)

Menurut Imam Tirmizi, ia adalah hadith hasan sohih. Manakala Imam Ahmad dan Abdur Rahman bin Mahdi beranggapan ia adalah hadith mungkar. Oleh yang demikian,wujud perbezaan hukum berpuasa selepas 15 sya'ban, ada yang mengharamkan, memakruhkan, dan mengharuskan.

Haram kerana hadith di atas
Makruh kerana wujud perbezaan penerimaan hadith
Harus kerana tidak menerima hadith di atas

Bagi saya (WaLLAHU A'lam), kita boleh selaraskan hadith larangan berpuasa dengan hadith fadhilat berpuasa pada bulan Sya'ban ( Nabi banyak berpuasa pada bulan Sya'ban). Bagaimana?

Kita dapati, hadith di atas ,adalah umum yang di takhsiskan oleh hadith Nabi SAW yang lain. Maksud saya, hadith larangan berpuasa selepas 15 Sya'ban adalah secara kasar, dan larangan puasa selepas 15 Sya'ban hanyalah sehari atau dua hari sebelum datangnya Ramadhan. Ini kerana, bagi membezakan antara puasa fardhu Ramadhan dengan puasa sunat Sya'ban. Cuba kita perhatikan Hadith Nabi SAW di bawah:

عن ‏ ‏أبي هريرة ‏ ‏قال ‏
‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏لا تقدموا شهر رمضان بصيام قبله بيوم أو يومين


Maksudnya: "Dari Abu Hurairah r.a katanya; RasuluLLAH SAW bersabda : Janganlah kamu dahului puasa Ramadhan dengan puasa
sehari atau dua hari sebelumnya.."
(Hadith Riwayat Imam Tirmizi)

Itulah perbahasan yang sekadar mampu saya kemukakan untuk para sahabat. Jika ada yang tidak setuju, masing-masing boleh bermuzkarah, kerana kita mahukan amalan kita adalah yang terbaik dan tepat dengan syariat Islam. Janganlah kita wujudkan perbalahan yang tidak menguntungkan umat Islam

WALLAHU 'ALAM.

0 comments: