Followers

FitNah Itu Mendukakan

Thursday, February 4, 2010


Sejak seminggu yang lalu, saya ulang-ulangi pembacaan sebuah buku Hikmatul Ibtilaa (Hikmat Ujian ) karangan Ibnu Qayyim Al-Jauzyyah. Walau tidaklah setebal buku-buku beliau yang lain, namun ia membekasi jiwa saya. Diselitkan bersama buku tersebut, kisah fitnah terhadap insan suci, Ummul Mukminin Aisyah ra. karangan Syed Qutb

Saya obses dengan kisah beliau, hinggakan tidak tertahan aliran air mata . Pipi tetap akan bergenang meski pun berulang kali dibelek . Kisah yang amat tragis. Padanya ada kesabaran, disebaliknya terselit pengajaran sepanjang zaman buat dai'e dan srikandi. Ada ibrah buat suami isteri. Ada sakti buat abi ummi, bagai tali pengikat ukhuwwah dalam majmuk Islami.

Aisyah ra difitnah oleh Abdullah bin Ubai Ibnu Salul (ketua munafikin Madinah), sekembalinya dari Perang Bani Mustoliq. Dituduh 'khalwat' dengan Sofwan bin Muatthol (nauzubiLLAH).

Nabi saw gundah, ahli iman resah namun disebalik itu, ada juga yang kandil imannya malap.

Tidak ingin saya nukilkan kisah panjang itu, cukulah sekadar saya titipkan pengajaran


Buat Suami
Harus punyai ketenangan bila berdepan situasi sukar. Orang yang hebat, akan diberi ujian yang hebat. Mereka yang dengki akan cuba merobek kebahagian orang lain. Lihatlah betapa dukanya Nabi SAW pabila Aisyah ra difitnah :

" Siapakah yang akan meredakan daku terhadap fitnah yang dilemparkan terhadap isteriku?"

Seharusnya suami tidak patut terburu-buru dalam tindakannya. pintalah nasihat sebagaimana Nabi saw meminta pandangan dari Usamah ra dan Ali ra.


Buat Isteri
Sentiasa percaya dan yakin dengan Allah. Serahkan segalanya kepada Allah, mengadu pada-NYA , selain mencari kekuatan dengan tinggal bersama ibu ayah. Hayatilah kata-kata Aisyah :

"Demi Allah, aku tahu, kamu semua telah dengari apa yang telah dilemparkan kepada ku, kiranya aku mengingkari perkara itu, tentunya kamu semua tidak percaya, kiranya aku mengaku salah pasti kamu semua berpuas hati, demi Allah, tidakku tahu ungkapan apa lagi (harus aku nyatakan) kecuali seumpama ungkapan Nabi Allah Ya'kub "Sobrun Jamil"dan Allah sahaja tempat memohon pertolongan ".


Buat Ibu
Ibulah yang paling mengerti ( setelah Allah), perihal anaknya. Naluri ibu amat sensitif. Sudah menjadi aturan Tuhan, dia diciptakan begitu. Dengarkan kata-kata ibu Aisyah (Ummu Ruman ) kepadanya tika berdepan badai hasutan munafikin :

"Duhai anakanda, janganlah dikisah sangat perkara ini, harus diingat, mana-mana wanita yang menjadi buah hati seorang lelaki yang hebat, pasti akan direka cerita tentangnya "


Buat Ayah
Abu Bakar, turut merasai bahang fitnah. Apatah lagi, cerita Aisyah dijaja oleh orang yang mana kehidupannya dibiayai Abu Bakar ra. Namun beliau tidak melatah, tidak terkesan dengan khabar angin. Tetap sabar.
Tutur bicara beliau hanyalah :

"Demi Allah, kami tidak pernah dituduh sebegini tika di zaman Jahiliyyah, bagaimana harus kami rela (diperlakukan ) sebegini tika zaman Islam."


Buat Kaum Kerabat dan Teman-teman
Janganlah melonjak gembira dengan musibah orang. Hindari hati anda dari menjadi sarang pembiakan fitnah . Sucikan minda dari diterobosi kuman dusta. Teladani Abu Ayyub dan isteri menerusi perbualan mereka.

"Tahukah kamu apa yang sedang orang perkatakan sekarang terhadap Aisyah?" Ummu Ayyub bersuara.
Jawab Abu Ayyub "Apa pandanganmu jika aku berada di tempat Safwan, adakah kamu fikir aku akan lakukan perkara keji terhadap kehormatan RasuluLLAH?"

"Tidak," jawab Ummu Ayyub

Sambung Ummu Ayyub lagi "Jika aku di tempat Aisyah, aku juga tidak akan mengkhianati RasuluLLAH".
Lantas Abu Ayyub menambah "Ingatlah, Safwan lebih mulia dari diriku dan Aisyah lebih mulia dari dirimu (mana mungkin mereka melakukan perkara hina ; pent)"


Buat Masyarakat Islam
Janganah terlalu ghairah dengan berita sensasi. Bukankah Islam menyarankan agar kita menutup terlebih dahulu kisah aib seseorang? Sehinggalah dibuktikan kes, dan hukuman dijatuhkan, barulah diharuskan untuk hadiri proses hukuman.

Sabda Nabi saw

" Sesiapa yang menutupi aib seorang Islam maka Allah akan tutupi keaibannya di dnia mahupun di akhirat, dan Allah akan sentiasa membantu hamba-NYA selama mana dia membantu saudaranya yang lain "

JAUHI FITNAH, JAUHI HASUTAN

2 comments:

Insyirah said...

Kena buat slogan "STOP FITNAH" (",)

salmanfasiri said...

em ye kot...dh tak jalan dah sume slogan...kena guna logam la plak