Followers

Dia Aisyah Ku 3

Thursday, February 4, 2010

Sesusai solat maghrib Fauzan merapatkan tubuhnya pada dinding Masjid Sultan Ahmad Shah. Fauzan merasa ketenangan menyusup ke dalam hatinya. Masjid ini rancak dengan aktiviti keagamaan. Kemeriahan siri kuliah dari beberapa profesor dan ulama UIA menyuburkan diri Fauzan dengan semangat cintakan ilmu. Fauzan tidak mahu ketinggalan dalam lapangan ilmu yang tersedia, seboleh-bolehnya Fauzan berusaha untuk menghadiri kuliah yang diadakan.

Kebiasaannya, Dr Abu Laith akan memberi kuliah hadith Bukhari. Dr Abu Laith merupakan lepasan Darul Uloom Deoband India, sebuah Universiti Islam yang tertua dan terkenal selain dari Universiti Al-Azhar di Mesir. Jika Al-Azhar diwujudkan bertujuan untuk mengawal dan menghapuskan ajaran Syiah di Mesir dan dunia Islam, Darul Uloom juga tidak kurang pentingnya dalam memainkan peranan tersebut.

Darul Uloom Deoband didirikan pada tanggal 15 Muharram 1283 hijriyah, bertepatan dengan tanggal 1 Mei 1866 semasa penjajahan British. Semasa penjajahan, Kerajaan British mengambil alih kuasa dalam lembaga pendidikan dengan merampas dan menguasai seluruh pusat ilmu pengetahun dan pendidikan. Menurut British, mereka melakukan gerakan pembaharuan sistem pendidikan. Dengan cara itu, British dapat menyuntik virus ideologi ala Barat dan mengikis pemikiran dan keyakinan agama warga setempat.

Saat itu, para ulama Muslim khuatir tergesernya kepercayaan Islam akibat politik imperialis di dunia pendidikan. Keprihatinan tersebut mendorong mereka untuk berusaha keras menjaga, melindungi dan mempertahankan aqidah, budaya dan ajaran Islam di negeri itu. Masyarakat menerima dan menyambut baik usaha keras para ulama dan cendekiawan Muslim. Menggunakan dana yang terkumpul dari swadaya masyarakat, maka dibangunkan beberapa lembaga pendidikan yang menyebarkan berbagai cabang ilmu keislaman, sejarah Nabi SAW dan pemikiran murni Islam.

Banyak ulama dan cendekiawan yang terlibat dalam pekerjaan besar dan mulia ini diantaranya adalah Sheikh Imdadullah Muhajir Makki, Rashid Ahmad Gangguhi, Sheikh Dzul Fiqar Ali Deobandi, Hajj Abed Husein Kuceki, Sheikh Mohammad Ya’qub Nanutoui, Sheikh Fadhlur Rahman Utsmani Deobandi dan sederet nama lainnya.

Desa Deoband yang kecil semakin terkenal secara luas di India dan menjelma sebagai salah satu kota terpenting di negeri itu yang hanya berjarak 150 kilometer dari ibu kota, New Delhi. Sesuai dengan peredaran waktu, sekolah Islam Darul Uloom Deoband semakin berkembang dan maju dengan pesat sehingga berubah menjadi perguruan tinggi dengan nama Universiti Islam Darul Uloom.

Itulah antara intipati kuliah Dr Abu Laith. Panjang lebar tentang sejarah Universiti yang menjadi ‘taman asuhan’ beliau. Tidak dinafikan, Dr Abu Laith mahir dalam bidang hadith, tambahan pula, aliran pengajian beliau diakhiri dengan pengajian Kutub Sittah .Beliau hadami Sohih Imam Bukhari, Imam Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan Tirmizi, Sunan Nisai dan Sunan Ibnu Majah. Di samping itu, Dr Abu Laith juga mempunyai pelbagai ilmu pelengkap yang lainnya.

Fauzan amat mengagumi Dr Abu Laith. Fauzan bertekad titisan mutiara dari Dr Abu Laith tidak akan dibiarkan jatuh tanpa ditadah. Niat mahu melanjutkan pelajaran ke India atau Pakistan selepas tamat SPM tempoh hari dipendam, ibubapanya berharap agar Fauzan terus berada di dalam negeri sahaja.

Fauzan akur. Redha ibu bapa sentiasa didahulukan Fauzan. Rasa terkilan apabila bapanya terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi sebelum tibanya majlis ‘pengisytiharan’ kemahiran beliau dalam bidang agama. Kendati mawar pujaannya juga turut berperangai pelik sepanjang sebulan lalu selepas Hari Raya Puasa. Sepatutnya ceria untuk menyambut Hari Raya Korban yang bakal kunjung tiba, tapi kasihnya seakan turut akan di'korban'kan.

Syura dikenali tika dia kebetulan menziarahi sahabatnya Hasnul Razi di Banggol Stol, Pasir Mas Kelantan pada Hari Raya Puasa dua tahun lepas.

Syura pula menziarahi ibu saudaranya, bersebelahan rumah Hasnul.

Tika bersiap untuk pulang, Syura tiba-tiba jatuh pengsan. Adik Syura, Naimah pula tak semena-mena meraung. Dalam kelam kabut itulah, Hasnul pinta Fauzan cuba rawati mereka. Kata Hasnul, Syura telah lama ‘sakit’.

Muka Syura yang iras perempuan Cina, kulit halus lembut, bijak dalam kelas membuatkan ramai yang meminatinya. Sejak di tingkatan 3 lagi, Syura telah dipinang, namun ditolak. Fikir Syura, dia masih mentah, masih mahu meneruskan pengajian. Tanpa diduga, Syura jatuh sakit hingga terpaksa menangguhkan pengajian selama dua tahun. Setelah itu, dia gagahkan diri untuk meneruskan pengajian.

Pengajian Syura di Universiti Kebangsaan Malaysia turut menguji ketabahannya. Rebah dan pengsan di dewan kuliah, di bilik hostel sudah menjadi kebiasaan. Pernah suatu ketika, pensyarah menasihatkan agar Syura tangguhkan pengajian namun Syura ketepikan semua itu. Dia mahu buktikan yang dia yakin pada kuasa Tuhan yang menentu segala. Kejayaan bukan mustahil digapai dalam keadaan dirinya yang ‘sakit’.

Itu cerita Hasnul.

Sekarang, Syura pengsan lagi, adiknya pula meracau.

Terkumat kamit mulut Fauzan membaca ayat-ayat jampi . Pengajian yang diladeni di Darul Syifa dimanfaatkan sebaiknya pada saat ini. AlhamduliLLAH, setelah habis membacakan ayat-ayat penawar, Syura mula sedar. Kelihatan raut wajah seorang demi seorang kembali tenang setelah kalut melihat keadaan Syura.

"Emm untuk rawatan susulan, saya cadangkan makcik ambil 21 helai daun bidara, ditumbuk dengan lesung batu, kemudian dibacakan ayat-ayat yang akan saya tulis nanti. Air itu digunakan untuk bilasan mandi Syura. Kalau boleh, air yang digunakan tadi ditakung dan buang ke tempat yang tidak menjadi laluan manusia. Juga jangan lupa baca ‘la ilaaha illa Allah wahdahu la syarika lah,lahu almulk wa lahu alhamd yuhyi wa yumiit wa hua ‘al kulli syai’in qodiir sebanyak seratus kali setiap pagi."

Sejak peristiwa itu, Syura beransur pulih. Ketenangan merembes ruang hatinya. Tidak pernah dirasakan ketenangan sebegini sebelum ini. Bermula dari peristiwa tersebut, Syura mula berutus khabar dengan Fauzan. Terhutang budi yang amat. Hubungan mereka disenangi orang tua Syura. AlhamduliLLAH. Hidup Syura yang sebelum ini suram sedikit demi sedikit menjadi cerah. Langit hidupnya kembali ceria, awan yang suram sudah berarak pergi...

0 comments: