Followers

MASALAH QADHA SOLAT BAGI HAAIDH

Tuesday, July 8, 2008


Para ulama berbeza pendapat bagi wanita yang suci daripada Haid, jika haidnya suci dalam waktu solat kedua yang boleh dijamakkan, apakah dia wajib menunaikan solat yang dia suci ketika itu sahaja atau dia juga wajib menunaikan solat sebelumnya yang mana kedua-dua waktu itu adalah pasangan dalam solat jama’. Sebagai contoh seorang wanita mendapati dirinya suci daripada haid pada waktu ‘Asar, apakah dia perlu menunaikan solat ‘Asar sahaja atau ‘Asar dan Zohor sekali, demikian juga jika dia suci dalam waktu ‘Isyak, apakah dia perlu tunaikan solat ‘Isyak sahaja atau ‘Isyak bersama dengan Maghrib?

1. Jumhur atau kebanyakan ulama berpendapat seorang wanita yang mendapati dirinya suci daripada haid, dan ketika itu dia berada dalam waktu solat ‘Asar, maka hendaklah dia menunaikan solat Zohor dan ‘Asar, kerana kedua-dua solat ini adalah pasangan dalam solat jama’. Demikian juga, jika dia suci dalam waktu ‘Isyak maka dia hendaklah menunaikan solat Maghrib dan ‘Isyak.

Ibn Qudamah R.H. di dalam al-Mughni (
المغني) 1/339, berkata:

َإِذَا طَهُرَتْ الْحَائِضُ , قَبْلَ أَنْ تَغِيبَ الشَّمْسُ , صَلَّت الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ , وإن َطَهُرَتْ قَبْلَ أَنْ يَطْلُعَ الْفَجْرُ , صَلَّت الْمَغْرِبَ وَالعِشَاءَ ؛ لما رَوَى الْأَثْرَمُ , وَابْنُ الْمُنْذِرِ , وَغَيْرُهُمَا , بِإِسْنَادِهِمْ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ , وَعَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ , أَنَّهُمَا قَالَا فِي الْحَائِضِ تَطْهُرُ قَبْلَ طُلُوعِ الْفَجْرِ بِرَكْعَةٍ : تُصَلِّي الْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ , فَإِذَا طَهُرَتْ قَبْلَ أَنْ تَغْرُبَ الشَّمْسُ , صَلَّتْ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا وَلِأَنَّ وَقْتَ الثَّانِيَةِ وَقْتٌ لِلْأُولَى حَالَ الْعُذْرِ , فَإِذَا أَدْرَكَهُ الْمَعْذُورُ لَزِمَهُ فَرْضُهَا , كَمَا يَلْزَمُهُ فَرْضُ الثَّانِيَةِ

Maksudnya: “Jika seorang haid suci sebelum tenggelam matahari (sebelum masuk Maghrib), hendaklah dia solat Zohor dan ‘Asar. Jika dia suci sebelum terbit fajar, maka hendaklah dia menunaikan solat Maghrib dan ‘Isya, berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh al-Athram, Ibn al-Munzir dan selain mereka berdua dengan sanad daripada Abd al-Rahman bin ‘Auf dan Abdullah bin ‘Abbas yang berkata tentang wanita haid yang suci sebelum terbit fajar (sblm masuk waktu subuh), hendaklah dia solat Maghrib dan ‘Isyak, jika suci sebelum tenggelam matahari, hendaklah dia solat Zohor dan ‘Asar, kerana waktu yang kedua (‘Isyak/’Asar) adalah waktu (untuk menunaikan solat) yang pertama (zohor/maghrib) ketika dalam keuzuran, maka apaila orang yang ada keuzuran mendapati waktu pertama, wajib pula ke atasnya kefardhuannya sepertimana wajib ke atasnya kefardhuan waktu kedua.” (tamat nukilan secara ringkas). Inilah juga pandangan Towus, Mujahid, al-Nakha’ie, al-Zuhri, Rabi’ah, Malik, al-Laith, al-Syafie, Ishak dan Abi Thur. Imam Ahmad berkata: “Kebanyakan tabi’ien berpendapat dengan pendapat ini melainkan al-Hasan... inilah juga pandangan al-Thauri dan Ahl al-Ra’yi."

Al-Syeikh Abdul ‘Aziz Abdullah bin Baz berkata: “Apabila wanita yang berhaid, atau nifas suci sebelum tenggelam matahari, wajib ke atasnya solat zohor dan ‘Asar berdasarkan pandangan yang lebih benar, demikian juga jika dia suci sebelum terbit fajar , wajib keatasnya menunaikan solat maghrib dan ‘Isyak. Ini kerana waktu kedua-duanya (solat yang boleh dijamakkan) adalah dikira waktu yang satu bagi orang yang berada dalam keuzuran seperti orang yang sakit dan orang yang bermusafir.” (Majmu’ al-Fatawa 10/217)

2. Mazhab Hanafi berpandangan tidak wajib bagi orang yang haid menunaikan solat melainkan solat yang dia suci ketika itu sahaja. Ini kerana seorang yang berhaid berada dalam waktu solat yang sebelumnya dalam keadaan dia tidak suci, maka tidak perlu dia mengqadhanya. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 13/73). Ini juga pandangan al-Hasan dan al-Thauri,
Qatadah, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Daud R.Anhum

Pendapat ini disokong oleh beberapa dalil iaitu

i. Sunnah

من أدرك ركعةً من الصَّلاة فقد أدرك الصَّلاة

Maksudnya: “Siapa yang dapat satu rakaat dari sesuatu solat, maka sesungguhnya dia telah mendapat solat tersebut.”

Huruf ‘alim’ dan ‘lam’ pada kalimat al-Solah (
الصلاة) menunjukkan kepada waktu, iaitu waktu solat yang diperolehi satu rakaat di dalam waktunya. Adapun solat sebelumnya, tidak didapati satu rakaatpun dari waktunya, waktunya telah berlalu keseluruhannya sedangkan dia bukanlah seorang yang diwajibkan menunaikannya, maka bagaimana kita hendak mewajibkannya qadha waktu tersebut?”


ii. Kaedah dalam Qawaid Fiqhiyyah " Al-aslu baraatul zimah.." (asal sesuatu ialah tiadanya tanggungjawab). Ini bermakna, wanita yang dalam keadaan haidh tidak wajib menunaikan solat,oleh itu jika dia suci pada mana-mana waktu solat, dia hanya perlu tunaikan solat pada waktu itu sahaja dan tidak perlu qadha waktu lain kerana di waktu lain,wanita tersebut belum diwajibkan solat kerana masih haidh.

Persoalannya lagi, pendapat manakah yang harus kita gunakan? Bagi penulis, dalam masalah ini,kekuatan dalil berada di pihak ke 2 iaiut mazhab Hanafi namun sebenarnya permasalahan ini bergantung kepada ketenangan hati wanita. Maksudnya jika dia tenang menggunakan pendapat Jumhur,silakan dan jika lebih tenang pendapat kedua,tiada halangan untuknya.

Ketenangan yang dikehendaki di sini ialah yang tidak melibatkan bermudah-mudah atau suka hati tanpa penelitian.

Jangan memaksa @ menekan mustafti ( peminta fatwa ) berpegang dengan satu-satu pendapat tersebut... kerana Mazhab bagi orang awam adalah mazhab pegangan muftinya....

1 comments:

Anonymous said...

1) Mana mungkin saudara letakkan mazhab kedua lebih kuat dalilnya sedangkan sadara tidak membawakan dalil mazhab pertama.

Tambahan pula, kedua-dua dalil mazhab kedua telah dijawab lumat oleh mazhab pertama.

Setelah saya membuat kajian, saya dapati dalil-dalil mazhab pertama adalah lebih kuat, dan pendapat mereka lebih rajih.

2) Cuba saudara bawakan juga kaedah ijtiyath dan khuruj minal khilaf mustahab. Tentu sekali mustafti akan menjadi lebih tenang dengan mazhab pertama, agar tidak melakukan perkara yang meragukan. Da' ma yuribuk ila ma la yuribuk..

3) Oleh kerana mazhab awam adalah mazhab muftinya, maka tidak boleh bagi seorang mufti menjawab terpulanglah kepada anda hendak memilih mana2 satu. Perlulah dijawab dengan apa yang mufti tersebut percaya dengannya dan bersesuaian dengan keadaan mustafti. Begitulah adabul futya..

4) Dalam masa yang sama, kita berlapang dada dalam perkara khilaf. Kita tahu bahawa pendapat yang kita sokong bukanlah 100% pasti benar dan berdasarkan kepada sunnah Rasul yang sebenar. Hanya Allah yang mengetahui kebenaran sebenar.

Wallahu A'lam