Followers

Kematian : Pengerat Hubungan

Thursday, March 11, 2010

Kematian dan makhluk umpama isi dengan kuku, tidak boleh dipisahkan. Kematian adalah pintu perpisahan dengan kaum keluarga, sanak saudara, rakan taulan dan kenalan .

Kematian akan memutuskan segala kelazatan dan nikmat dunia . RasuluLLAH SAW sering mengingatkan umat agar sentiasa:


" Ingatilah pelebur kelazatan; iaitu MATI"

Benar, seseorang yang mengingati kematian, pasti gementar jiwa raga, hatinya luluh, resah bercampur gelisah .

Itu pada sisi mereka yang berfikir tentang kematian. Namun jika kita lihat pada pandangan yang lain, bila berlaku kematian, ia sebenarnya penghubung tali persaudaraan. Mungkin pengerat hubungan.

Pengalaman yang dilalui sendiri tempoh hari ( juga sebelum ini ) mengesahkan 'teori' ini .

Datuk sepupu meninggal tempoh hari dan saya sempat menziarahi juga bersolat jenazah untuk arwah. Ketika hendak menghidupkan enjin kereta, ma melambai-lambai supaya datang ke arahnya.

Rupanya ma ingin perkenalkan sepupu arwah datuk yang tinggal di Dewan Beta . SubhanaLLAH, rupanya orang yang saya sapa sebelumnya tadi ialah sanak saudara saya. Panjang bualan kami. Maklumlah pakcik tu pun dah bercucu yang belajar di Kolej Masterskill Kota Bharu ( baru sahaja berhenti sebab masalah kewangan )


Apa pun, saya bersyukur kerana ada hikmah (kalau boleh gunakan perkataan ini ) di sebalik kematian. Bukan satu ini sahaja peristiwa yang saya sendiri alami tika ada kematian bahkan banyak kali.

Itulah yang saya katakan, KEMATIAN PENGERAT HUBUNGAN



Saya juga yakin, bukan hanya majlis kematian sahaja yang mempertemukan sanak saudara tapi juga Hari Raya dan Majlis Perkahwinan .

Ma selalu bercerita, jika Hari Raya, biasanya akan ke Thailand, menziarahi sanak saudara, atau mereka dari Thailand bertandang ke Kelantan. Tatkala nenek ada, ziarah menziarahi agak rancak, namun setelah ketiadaan orang tua, amalan itu kini berkurangan.

Teringat akan sabda RasuluLLAH SAW :

" Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, atau dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia hubungkan silaturrahim"

Ayuh, kenali dan hubungkan tali persaudaraan dengan sanak saudara kita

0 comments: