Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah Engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
(Surah Al-Baqarah ayat 106)
KETERANGAN AYAT
Nasakh ialah perubahan, pertukaran atau penggantian kepada sesuatu hukum awal kepada hukum yang baru mengikut kesesuaian yang hanya diketahui Allah.
Golongan Yahudi mengkritik syariat Nabi Muhammad kerana berlaku nasakh pada hukum. Mereka menganggap perubahan dari hukum pertama kepada hukum kedua merupakan satu tindakan orang bodoh sahaja kerana tidak tetap pendirian.
Allah telah membuat perbezaan antara golongan Nabi dan Rasul dengan golongan manusia pintar. Manusia yang pintar mendpaat ilmu melalui perantaraan guru atau pengajian di samping membuat eksperimen dan percubaan ilmiah terlebih dahulu, sedangkan para Nabi dan Rasul mendapat ilmu melalui perantaraan alam rohani (malaikat).
Oleh itu al-Quran bukanlah karangan daripada Nabi Muhammad kerana jika ia merupakan karangan manusia, sudah tentu memerlukan penelitian dan pemikiran serta pengajian dengan guru.
Mukjizat Nabi Musa antaranya ialah tongkat yang boleh berubah menjadi ular, membelah lautan menjadi jalan dan banyak lagi. Manakala mukjizat Nabi Isa ialah menyembuhkan penyakit sopak, kusta serta boleh menghidupkan orang mati.
Mukjizat Nabi Muhammad yang paling agung ialah Al-Quran.
Perbezaan mukjizat bagi setiap Rasul bersesuaian dengan keadaan dan suasana umat. Pada zaman Nabi Musa, orang berbangga dengan sihir lantas mukjizat Nabi Musa seakan sihir, manakala pada zaman Nabi Isa, kemajuan ilmu perubatan.
Begitu juga dalam masalah syariat, tentunya kehidupan dan suasana manusia setiap zaman berbeza yang memerlukan pensyariatan hukum sesuai dengan manusia pada masa tersebut.
Sebagai contoh, dalam syariat Nabi Musa as jika pakaian terkena najis, bahagian pakaian tersebut perlu digunting sedangkan syariat Nabi Muhammad hanyalah perlu dibasuh bahagian yang terkena najis itu.
Antara contoh lain, syariat Nabi Isa dan Musa, solat perlu dilakukan di tempat khas sahaja iaitu di gereja dan biara sedangkan dalam syariat Nabi Muhammad, solat boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan suci.
PENGAJARAN AYAT
1. Nasakh berlaku kerana mengikut kesesuaian tempat, masa serta suasana kehidupan umat manusia.
2. Perubahan yang berlaku bukanlah hasil daripada tindakan orang yang bodoh tetapi menunjukkan kebijaksanaan Allah.
3. Manusia yang beriman akan sentiasa menurut perintah dan larangan Allah dan Rasul tanpa memerlukan hikmah di sebalik arahan dan larangan Allah.
4. Yahudi akan sentiasa mencari jalan untuk menimbulkan keraguan terhadap akidah umat Islam.
0 comments:
Post a Comment