Followers

Ibrah Itu Aku Insafi

Wednesday, February 23, 2011

Bismillahirrahmanirrahim...

Mata telah lama merenung ke arah blog sepi. Sesawang mula tampak. Perlahan-lahan debu-debu dilap dari dashboard. Lalu jemari menari-nari di keyboard untuk mencoretkan sesuatu.

Agak lama meninggalkan encik blog dek sengaja menyibukkan diri dalam dunia master d UKM. Semester kedua menuntut untuk lebih 'struggle'. Padahal ada sahaja pejuang agama yang lebih sibuk dari saya. Namun saya tidak sekuat mereka untuk memikul pelbagai amanah yang terpundak ini.
Sepanjang mengikuti pengajian master di UKM, saya pernah menyewa di Taman Universiti, Bangi bersama sahabat yang turut sama memulakan pengajian sarjana di UKM Hanya sempat dua bulan sahaja menyewa di situ. Mungkin kerana ketika itu saya kira kuliah yang tidak banyak, hanya 3 hari sahaja seminggu, jadi elok rasanya berulang alik dari Sungai Buloh ke UKM yang mengambil masa sejam.

Semester kedua mula mengkalutkan saya, kelas empat hari seminggu ditambah 'timbunan' assignment menuntut untuk saya lebih memacakkan diri di Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL), lantas saya mengambil keputusan untuk tinggal di sekitar kawasan UKM.



Sebenarnya bukan itu yang ingin saya kongsikan bersama teman. Sedari dulu, banyak yang ingin ditulis di sini namun, terhenti separuh jalan. Banyak isu terkini yang hendak disuakan. Berkenaan rahsia tarikh lahir, patung untuk wanita yang baligh, isu perpecahan aliran fahaman dalam umat Islam di Malaysia, metod pengajian, teori realisme dalam filem, konsep dakwah dalam filem seram dan bermacam-macam lagi. Semua itu hanya bermain diminda sahaja atau disampaikan dalam kuliah-kuliah. Namun saya tetap harapkan ada individu yang mengutarakan idea atau komen seperti yang berlegar dalam kotak minda saya, sama ada melalui tulisan atau sebaran media . Alhamdulillah, ramai sefikrah dengan saya dan persoalan yang bermain di minda itu pun dirungkaikan oleh mereka yang lebih dikenali, manfaatnya juga lebih luas.

Peristiwa malam tadi terus mendorong untuk menyelak kembali lembaran blog. Minda juga mula bersemangat untuk memerah idea. Ya, peristiwa malam tadi.


Ketika ingin menunaikan solat zohor di Surau Bangi Perdana, saya terpana pada sesosok badan di belakang imam, tampak ada kelainan. Seusai solat sunat, si fulan terus keluar dari surau dan berada di beranda. Mata ini tertancap pada segala hasil seni yang dipamer. Indah dan cantik .


Sesosok tubuh yang tidak mempunyai kedua-dua belah kaki, dari paras pinggang dan ke atas sahaja yang ada. Beliau bergerak menggunakan skateboard. Sudah beristeri dan mempunyai empat orang anak. Tampak ketenangan pada wajah itu. Menawarkan khidmat beliau untuk melukis apa sahaja yang diminta. Dari Zohor hingga Isya dia di situ, berjemaah bila tiba waktu solat.

Subhanallah. Manusia sempurna anggota ini (saya), adakah mampu untuk setabah beliau? Adakah mampu untuk setenang beliau?
Ramai yang memerhati dari jauh sahaja. Sekadar melihat hasil seni beliau.

Awalnya saya juga turut menjadi pemerhati setia. Pernah timbul dalam hati, di sini ramai golongan yang berpendapatan selesa. Ada yang bergelar Datuk, Dato' Seri dan pelbagai lagi. Tidak terlihat oleh saya, ada yang menghulur bantuan.





Saya juga terhasut, bisikan dalam hati mengungkapkan : Ahh, biarlah orang yang kaya je yang hulurkan sumbangan dan membeli hasil seninya, duit kamu sekadar lima ringgit tak mampu menandingi dan tak memberi apa-apa makna.


Astaghfirullah....itu mainan syaitan. Yang dinilai Allah bukan kadar pemberian tapi kadar keikhlasan. Yang dinilai ialah siapa yang dahulu membuat kebaikan, yang dinilai ialah siapa yang mendorong melakukan kebaikan. Itu yang dinilai.


Teringat pesanan junjungan besar Nabi Muhammad SAW:

Seseorang yang mengumpul kayu api, kemudian dia menjualnya dan mendapat hasil darinya adalah lebih baik dari meminta-minta dari manusia


Ya, si fulan tadi lebih baik dari yang meminta-minta. Tidak menggunakan kekurangan untuk berduka. Tidak menjadikan kekurangan untuk tidak berusaha. Ya Allah, aku bersyukur atas kurniaanMu. Aku manusia yang lalai. Bantulah hambaMu untuk lebih bersyukur.

3 comments:

mariah said...

Alhamdulillah.. entri yg cukup mudah difahamai, dijelaskan lagi dengan gambaran yang menusuk hati...

begitu tenang dan cekal hatinya.. melalui kehidupan, tanpa keluhan, dan kalaupun ada keluhan itu, tidak dipamerkan kerana dia sudah redha....

kerdilnya diri ini..

salmanfasiri said...

2mariah:
sememangnya orang yang sentiasa bersangka baik dg Pencipta, akan mendapat ketenangan.moga kita memperolehinya

nadia mustafa said...

Allah kuatnya hati dia.
Entry yang difahami ditambah dengan bantuan gambar.Tahniah ustaz, dapat menyedarkan diri ini, apalah sangat dengan ujian yg dihadapi sekarang kerana lebih ramai lagi yang tabah dengan ujian masing-masing.

La tahzan~