Followers

Petir dan Guruh Menurut Sains Dan Perspektif Islam

Saturday, September 18, 2010

Bismillahirrahmanirrahim.

Rayuan sang isteri yang berkali-kali meminta untuk dicoretkan sesuatu pada kanvas mayanya, baru sekarang nampak bersahut.

Asalannya, ia berkisar tazkirah ringkas yang ana sampaikan di Surau al-Islah Bandar Baru Sungai Buloh lewat Ramadhan yang lalu.

Apakah Kilat?


Udara yang turun naik di dalam awan ribut petir mengakibatkan pemisahan cas positif dan cas negatif. Kilat adalah nyahcas yang terhasil apabila perbezaan cas elektrik di antara permukaan bumi dan atmosfera cukup besar untuk mengatasi kesan penebatan udara. Kilat boleh terjadi samada di dalam awan, dari awan ke awan, atau antara awan dengan permukaan bumi. Kilat kerap menyambar di luar kawasan hujan lebat dan boleh berlaku sejauh 10 batu dari kawasan hujan tersebut.

Udara berhampiran kawasan yang dipanah kilat menjadi panas dan mencapai suhu melebihi 27,000°C - iaitu lebih panas daripada permukaan matahari. Pemanasan dan penyejukan cepat udara berhampiran kawasan yang terkena kilat menghasilkan rencatan gelombang yang mengejut lalu menghasilkan guruh.

Pemanasan dan penyejukan cepat udara berhampiran kawasan yang terkena kilat menghasilkan rencatan gelombang yang mengejut lalu menghasilkan guruh. Akibatnya, udara tersebut terbias melebihi kelajuan suara (bunyi) walaupun rencatan gelombang kembali ke gelombang suara normal dalam jarak beberapa meter. Gelombang suara terbentuk mengikut udara atmosfera dan bentuk permukaan selepasnya.

Itulah penjelasan proses kejadian petir dan guruh terjadi susul menyusul menurut pemerhatian sains. Namun Islam ada huraian yang berbeza.

Petir atau Kilat

Kilat merupakan panahan terhadap syaitan dan jin yang cuba untuk mencuri dengar takdir Allah SWT.

Dikisahkan bahawa, sebelum kerasulan Nabi SAW, syaitan bebas mencuri dengar segala berita di langit, namun semuanya terhalang setelah Nabi diangkat menjadi Rasul. Lantas Iblis mengarahkan tenteranya mencari sebab kenapa mereka terhalang. Akhirnya mereka mendapati puncanya adalah kerana Rasul akhir zaman telah dibangkitkan.

Jika dahulu mereka bebas mencuri maklumat di langit, sekarang ini mereka pasti berdepan dengan lontaran panahan api yang sentiasa mengekori. Panahan itulah yang kita lihat sebagai kilat.

Semuanya ini dapat kita maklumi menerusi firman Allah dalam surah al-Jinn.

Guruh

Nabi SAW bersabda :

الرعد ملك من الملائكة موكل بالسحاب بيده أو في يده مخراق من نار يزجر به السحاب والصوت الذي يسمع منه زجره السحاب إذا زجره حتى ينتهي إلى حيث أمره

Maksudnya : Guruh itu merupakan golongan malaikat yang diwakilkan untuk mengawal awan, ditangannya ada penukul dari api yang digunakan untuk mengarah/mengekang awan. Suara yang didengari itu merupakan arahannya sehinggalah awan berada ditempat yang diarahkan.

Imam al-Qurtubi pula menukilkan dalam kitab beliau al-Jami' li Ahkamil Quran, ketika beliau membicarakan tentang tafsir surah Saba ayat 23:

"Apabila Allah SWT memutuskan sesuatu maka para malaikat tunduk hormat kegerunan sambil melebarkan sayapnya, suara yang didengari merupakan geseran antara sayap-sayap malaikat" .

Ia bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari (hadis no. 4800) dan Tirmizi (hadis no.3233) dalam sunan beliau.

Begitulah huraian dan penjelasan menurut perspektif Islam, sama ada kita menerima atau menidakkannya, itu terpulang kepada keimanan masing-masing.


Salmanfasiri